Friday, January 16, 2009

Saingan sengit di Cap Square


ENAM kumpulan yang bakal merebut gelaran juara Hot FM Twisties Bingit, esok.

Kumpulan Hunterz, Modread, Mystery Call, Rockstar, Pardon Me dan Sodo mara ke final Hot FM Twisties Bingit

SELEPAS mengharungi tiga minggu yang cukup mendebarkan, akhirnya enam kumpulan bertuah terpilih untuk bergelar finalis kepada pertandingan yang membabitkan pertarungan antara kumpulan muzik iaitu Hot FM Twisties Bingit.

Enam kumpulan itu adalah Hunterz, Modread, Mystery Call, Rockstar, Pardon Me dan Sodo.

Pun begitu, bukan mudah untuk pihak juri membuat pilihan kerana berdasarkan persembahan yang ditonjolkan pada peringkat separuh akhir yang berlangsung Sabtu lalu di Borneo Rainforest, Sunway, masing-masing kelihatan berusaha keras meraih perhatian juri dengan mempamerkan persembahan menghiburkan.

Ternyata, walaupun setiap kumpulan baru saja mengenali anggota masing-masing namun keserasian itu ada. Dan perkara ini diakui sendiri ketua juri, pertandingan berkenaan, Edris Adrien G.

“Saya lihat kebanyakan mereka ada peningkatan dari minggu ke minggu. Setiap kumpulan ada kelebihan dan kekurangan mereka sendiri. Namun apa yang membanggakan kami, walaupun mereka tidak mengenali antara satu sama lain tetapi keserasian boleh wujud.

KUMPULAN Hunterz dikatakan tidak serasi.

“Apabila ini berlaku, kami turut gembira kerana objektif pertandingan ini nampaknya tercapai,” ujar Edris ketika ditemui sejurus pertandingan itu berakhir.

Tambah Edris, dalam pertandingan komunikasi juga penting untuk setiap kumpulan kerana dari situlah kami panel juri boleh mengesan sama ada mereka boleh bersatu atau pun tidak.

“Macam kumpulan Hunterz tadi. Sewaktu mereka membuat persembahan, nampak jelas mereka tidak ada keserasian antara satu sama lain. Masing-masing seperti buat hal sendiri. Mungkin perkara ini disebabkan masalah komunikasi antara mereka.

“Jadi sebab itu mereka menerima teguran juri supaya pada masa akan datang, persembahan mereka nampak lebih natural,” katanya.

JURI pening kepala untuk memilih kumpulan yang layak ke peringkat akhir.

Melihat aksi yang ditonjolkan kebanyakan kumpulan yang bertanding, Edris mengakui mereka berpuas hati dengan apa yang mereka persembahkan sebelum ini.

“Nampaknya hasrat kami untuk mencari lebih ramai pelapis baru dengan menganjurkan pertandingan ini bakal menjadi kenyataan kerana mereka yang bertanding bukan saja berbakat besar tetapi ada di antara mereka kelihatan seperti pemuzik profesional.

“Dan saya percaya andai kesemua mereka rajin memperbaiki diri dan bekerja keras, tidak mustahil dalam lima atau enam bulan akan datang mereka mampu menjadi sessionist,” puji Edris.

Seperti yang dijanjikan awal, juara pertandingan berkenaan bukan hanya bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000, malah mereka juga akan menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman Monkey Bone.

“Dan tidak mustahil kami juga akan mengambil mereka yang bukan juara sebagai artis rakaman kami sekiranya mendapati mereka mempunyai potensi yang cerah untuk menjadi seorang artis yang berkaliber. Pun begitu, ini semua bergantung kepada perbincangan,” ujar Edris.

Empat kumpulan yang tersingkir lebih awal ialah Fury, The Rhymes, Nada Band dan Canaries. Pertandingan akhir ini akan berlangsung esok di Cap Square, Kuala Lumpur jam 2 petang.

Apa kata finalis:

Mystery Call
“Pertandingan ini bagi kami sangat bagus kerana ia berjaya mengetengahkan bakat kumpulan muzik yang sebelum ini sering terlepas pandang gara-gara terlalu memberi tumpuan kepada program untuk penyanyi solo. Sekurang-kurangnya hasrat untuk mencari pelapis kumpulan muzik generasi akan tercapai.

Sodo
“Tak sangka akan tersenarai ke peringkat akhir kerana saingan hari ini hebat-hebat belaka. Apapun, untuk hari final nanti kami berjanji akan memberikan yang terbaik kepada peminat yang selama ini banyak menyokong kami.

Rockstars
“Persembahan kami untuk final nanti akan memfokuskan dari segi attitude kerana ia bersesuaian dengan imej dan muzik kami. Paling penting, kami perlu mencari lagu yang sesuai dan mungkin kami akan menyanyikan lagu hasil ciptaan kami sendiri pada hari itu. Insya-Allah.

Hunterz
“Mungkin juri tak nampak yang kami sebenarnya ada keserasian. Tapi tak mengapa kami anggap apa saja kritikan yang dilemparkan juri tadi sebagai suatu kritikan yang membina untuk kejayaan kami pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: