Friday, January 16, 2009

Farawahida jadi gadis Cina


FARAWAHIDA akan membawakan lagu Persoalan Cinta ciptaan Julfekar.

Di sebalik keyakinan, Julfekar dan Ayu tetap bersederhana menghadapi AJL23

DEBARAN Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke23 kian memuncak menjelang Ahad ini menyaksikan persaingan sengit karya muzik anak seni tempatan yang dipersembahkan oleh penyanyi angkatan baru seperti Faizal Tahir, Farawahida, Ayu One In A Million (OIAM), Heliza & Zahid (menggantikan Mawi), Aiman Akademi Nasyid, Meet Uncle Hussein, Sofaz, Estranged, Stacy, Elyana dan Aizat.

Ini satu perkembangan positif membuktikan kita tidak pernah ketandusan bakat baru yang perlu diberi perhatian. Tidak dilupakan, tiada yang lama, maka tiada yang baru, lalu mewakili generasi lama, kumpulan Spider dan Ziana Zain dilihat mampu memberikan persaingan sengit sekali gus menghangatkan suasana AJL23.

Harus diingat AJL ialah medan mengiktiraf sumbangan karyawan muzik tempatan, terutama komposer dan penulis seni kata, namun kewibawaan dan tanggungjawab yang dipikul penyanyi tidak dipandang ringan. Masing-masing memainkan peranan dan saling bergantungan untuk memikat mata juri profesional.

Turut sama berkongsi debar ialah Farawahida yang buat julung kalinya terbabit dalam peringkat akhir AJL menerusi lagu Persoalan Cinta ciptaan Julfekar dan seni kata oleh Ku Seman Ku Hussein. Farawahida yang dihubungi Hip memberitahu dia sudah 80 peratus persiapan dilakukan dan selebihnya hanya akan dilunaskan apabila berada di pentas nanti.

Bertepatan dengan konsep lagu dendangannya yang menerapkan elemen muzik Oriental, gadis kelahiran Taiping, Perak ini akan dijelmakan persis gadis Cina dengan mengenakan rekaan Jue, manakala soal dandanan serta tatarias dipertanggungjawabkan kepada jurusolek, Heri.

Julfekar

"Hari-hari terakhir ini memang membuatkan deruan adrenalin Fara mengalir laju. Perasaan bercampur baur. Teruja ada, takut pun ada. Apa-apapun Fara akan melakukan sebaik-baiknya baik apatah lagi AJL ini adalah pentas berprestij yang perlu dihargai. Kalau tanya sesiapapun, semuanya mesti cakap mengenai keinginan untuk menang.

"Kalau sebelum ini, dengan kulit saya yang gelap, peminat selalu mengaitkan saya sebagai Kajol Malaysia. Tapi demi kelainan, nantikan penampilan saya malam itu kerana saya akan bertukar menjadi seakan gadis Cina. Jangan risau sangat tidak akan memutihkan kulit semata-mata demi tuntutan gaya itu," katanya.

Julfekar yakin dengan Persoalan Cinta

Sementara itu, komposer yang memainkan peranan penting menaikkan nama Farawahida iaitu Julfekar mengakui keistimewaan lagu Persoalan Cinta kerana mempunyai adunan muzik Melayu dan iringan alatan muzik Oriental, Erhu yang jarang sekali dipraktikkan di Malaysia.

AYU berharap persembahan pada malam AJL23 berakhir dengan jaya.

Katanya, kalau ada sekalipun, hanyalah muzik Cina tanpa membabitkan instrumen kaum itu.

"Muzik Melayu dan Cina diadun dalam lagu ini dengan sentuhan kontemporari. Erhu selalu digunakan untuk menggambarkan kesedihan dan biarpun lagu ini bernada rancak, liriknya masih menyuarakan perasaan amarah seseorang yang kecewa dengan kekasihnya.

"Susunan muzik, melodi dan lirik lagu ini cukup membantu memperlengkapkan ia menjadi sebuah naskhah lagu yang baik. Setiap lagu yang tercalon di dalam AJL mempunyai kekuatan tersendiri dan semuanya bergantung kepada rezeki," katanya.

Julfekar tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap lagu ciptaannya, bagaimanapun kejayaan lagu ini ke peringkat akhir AJL23 menjadi penanda aras membuktikan kewujudan Farawahida di persada seni.

"Dia (Farawahida) sudah menempa kejayaan apabila berjaya dipilih sebagai Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006, albumnya juga pernah tercalon di Anugerah Industri Muzik dan kini dia berentap menerusi AJL23 mempertaruhkan lagu Persoalan Cinta.

"Ketiga-tiga anugerah itu terlalu besar kesannya terhadap kerjaya seni Fara.

"Sudah tercalon atau berada sebagai finalis sudah menjadi satu kebanggaan saya sendiri terhadapnya. Ia sebagai tapak untuk terus memantapkan kerjaya nyanyiannya dan pastinya kalau menang di AJL-23, ia satu bonus," kata Julfekar.

Tampil gimik istimewa

DALAM pada itu, Ayu tidak mahu terlalu memikirkan corak persembahan ia boleh menyebabkan hilang tumpuan apabila dalam suasana sebenar di AJL23 nanti. Dia yang bakatnya dicungkil daripada program realiti OIAM, akan menyanyikan lagu karya Aubrey Suwito dan seni kata oleh Habsah Hassan iaitu Hanya Di Mercu.

Jika sebelum ini Ayu menggunakan khidmat Lah VE, namun pada saat akhir sebelum kemuncak, Juwita Suwito dipilih untuk bertanggungjawab mengasah lagi mutu suaranya.

"Saya akan menyanyi berseorangan tanpa penari. Harapnya tumpuan semua yang datang akan tertumpu kepada saya," kata Ayu.

Menurutnya, dia akan menyerahkan kepada Liza untuk menguruskan soal penampilannya pada malam kemuncak itu nanti. Kalau Farawahida dengan kejutan bergaya ala gadis Cina, Ayu juga tidak mahu ketinggalan menampilkan gimik istimewa.

"Gimik itu nanti akan dilakukan di pertengahan persembahan dan biarlah kejutan itu menjadi rahsia sehinggalah sampai waktunya. Sebagai penyanyi, saya akan cuba menyanyi dengan baik dan harapnya semua akan berjalan dengan lancar dan jayanya.

"Apabila berada di pentas nanti, saya akan cuba membawa lagu dan semangat lagu itu. Kalau ada rezeki untuk menang, saya terima dengan hati gembira, tapi kalau tak ada, ia bukan penamat dan saya akan cuba lagi pada masa mendatang," kata Ayu.

Jika dihayati lagu Hanya Di Mercu itu menjurus kepada kejayaan seseorang daripada bawah hinggalah ke peringkat yang boleh dibanggakan. Lagu ini sebenarnya memberi lambang kepada diri Ayu sendiri. Jika dulu dia hanyalah gadis kampung dari Sabah yang sering menonton AJL dan mengharapkan artis kegemarannya mampu dinobatkan sebagai juara.

"Tak sangka kini saya pula yang berada di pentas AJL. Tambahan pula akan bersaing dengan nama-nama besar ibarat satu pencapaian terbesar di dalam hidup saya," kata Ayu yang sejak November 2008 mengikuti kelas komunikasi dengan Fatimah Abu Bakar.

FAKTA: AJL23

  • AJL 23 akan dipancarkan secara langsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 18 Januari ini jam 9 hingga 11.30 malam dan boleh ditonton di TV3 dan didengari di stesen Hot FM

  • Alternatif untuk menonton AJL 23 juga boleh dilakukan dengan melayari laman web www.tv3.com.my atau www.gua.com.my untuk

  • Cheryl Samad, Ally Iskandar & Faizal Ismail dipertanggungjawabkan sebagai hos.

  • Bertemakan Iluminasi Muzik yang bermaksud membawa sinar cahaya

    mentafsir keajaiban irama dan lagu, AJL23 disifatkan memberi sumber ilham

    sekali gus memberi inspirasi baru kepada penggiat industri muzik.

    INFO: Hadiah AJL23

  • Hadiah Juara Lagu: Trofi dan wang tunai RM25,000

  • Juara Etnik Kreatif: Trofi dan wang tunai RM12,000

  • Juara Balada: Trofi dan wang tunai RM12,000

  • Juara Pop Rock: Trofi dan wang tunai RM12,000

  • Persembahan Terbaik: Trofi dan wang tunai RM10,000

  • Vokal Terbaik: Trofi dan wang tunai RM10,000
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: