![]() ENGKU EMRAN bersama wakil dari rumah Nur Salam dan Pernim bersama artis yang bakal terbabit dalam Siri Jelajah Lelongan, esok. |
Siri jelajah Suria FM bukan sekadar persinggahan hiburan semata-mata
SEKIRANYA orang ramai dan kebanyakan organisasi kini memberikan tumpuan kepada peperangan di Palestin yang mengorbankan beribu-ribu nyawa serta mewujudkan Tabung Gaza bagi membantu insan yang tertindas kerana kekejaman Israel, stesen radio Suria FM pula memilih jalan sebaliknya.
Bukan tidak mahu menyokong usaha murni itu, tetapi Suria FM mempunyai matlamat lain iaitu membantu masyarakat kurang bernasib baik di negara ini yang ramai lagi tidak terbela. Mereka akan memulakan langkah pertama yang menjadi aktiviti pertama Suria FM untuk 2009 pada Sabtu ini.
Siri jelajah Suria FM yang sebelum ini hanya sekadar persinggahan hiburan semata-mata bakal diisi dengan aktiviti amal bagi mengisi tabung Rumah Nur Salam yang membela nasib anak-anak terbiar di Chow Kit dan Pusat Perlindungan Pernim yang dihuni anak-anak kepada penghidap HIV.
Jelajah pertama Suria FM akan diadakan di Mydin USJ, Subang Jaya bermula dari jam 8 hingga 10 malam. Selain persembahan artis, mereka yang berkunjung ke siri jelajah Suria FM juga boleh membida barangan yang bakal dilelong artis. Antara artis yang bersetuju untuk melelong barang mereka ialah Erra Fazira, Dafi, Dayang Nurfaizah, Farah Asyikin, Lyana Jasmay, Nubhan, Nikki, Imran Ajmain dan Diana Danielle.
Erra bakal melelong beg tangan dan kaca mata hitam. Sementara Nubhan pula akan melelong topi, manakala Nikki ingin melelong baju yang dipakai ketika menghadiri uji bakat Malaysian Idol dan Imran Ajmain mahu melelong kain songket.
Ketua Pegawai Operasinya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, berkata hasil kutipan lelongan itu nanti akan disumbangkan kepada kedua-dua rumah ini.
Emran menjelaskan, sebagai permulaan kepada aktiviti kebajikan mereka, Suria FM tidak mahu membabitkan terlalu banyak pusat kebajikan. Sebaliknya mereka selesa dengan dua pusat saja supaya dapat memberikan lebih perhatian.
“Ini adalah satu aktiviti baru yang ingin Suria FM suntikan kepada pendengar dan juga di kalangan artis sendiri. Kami mencari rumah yang memerlukan dan berharap dengan cara ini dapat meringankan beban mereka.
“Kami gembira kerana ramai artis yang mahu turut serta dalam aktiviti amal sebegini demi menunjukkan keprihatinan mereka terutama kepada kanak-kanak yang amat memerlukan perlindungan.
“Setakat ini dalam perancangan Suria, kami akan menjelajah ke sembilan buah negeri dan ke semua hasil kutipan di semua lokasi akan diserahkan kepada kedua-dua buah rumah ini. Kami mahu lebih fokus dengan cara begini. Suria FM juga bukan tidak prihatin dengan pertempuran di Palestin tetapi banyak lagi insan kurang bernasib baik yang memerlukan pertolongan kita,” katanya pada sidang media Siri Jelajah ‘Lelong’ Suria FM, Selasa lalu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Program Suria FM, Subarma Mokhtarudin serta wakil dari Rumah Nursalam iaitu Pengasas yang juga Pengarah Eksekutifnya, Raja Azizan Suhaimi Raja Abd Latif dan Pengasas dan juga Yang Dipertua Pernim, Norlina Alawi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: