Wednesday, January 21, 2009

Faizal ingin berehat menyanyi

REKOD gemilang yang dicatat Faizal Tahir pada malam Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL 23) di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Ahad merupakan catatan manis buat kerjaya seninya.

Jika tahun lalu, Faizal terlepas peluang keemasan untuk beraksi di gelanggang yang sama, namun di pentas AJL23, Faizal menterjemahkan suara hatinya.

Namun begitu, penghibur berusia 30 tahun itu dengan pantas menyangkal dakwaan bahawa AJL23 sebagai platform dirinya untuk membalas dendam selepas tidak dapat beraksi di AJL tahun lalu.

Pada masa yang sama, Faizal yang juga bapa kepada tiga anak ini memberitahu bahawa, dia berhasrat untuk berehat seketika daripada menyanyi.

Menurut Faizal, keputusan itu dibuat bagi membolehkan dia menumpukan perhatian kepada keluarga dan anak-anak.

"Saya seorang yang mementingkan keluarga. Dalam tempoh berehat itu, saya akan mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan bidang nyanyian atau tidak.

"Kalau tidak pun, saya tetap akan menyumbang tenaga dan berkemungkinan bertindak di belakang tabir, jadi komposer atau mencipta lirik.

"Bukan merajuk dan kecewa terhadap senario muzik tanah air atau selesa dengan apa yang dimiliki ketika ini, saya hanya mahu berehat,'' jelasnya.

Menurut Faizal, jika ada orang mengatakan keputusannya untuk berhenti sebagai sesuatu yang merugikan tatkala namanya kini berada di kemuncak, dirinya beranggapan sebaliknya.

Ditanya mengenai hadiah kemenangan iaitu RM32,000, Faizal yang begitu mengagumi Meet Uncle Hussain (MUH) memberitahu, sebahagian daripada wang itu akan disumbangkan ke tabung-tabung bantuan rakyat Palestin.

Sementara itu, kemenangan MUH menerusi lagu Lagu Untuk Mu membuktikan band indie semakin mendapat tempat di persada muzik tanah air.

Menobatkan MUH selaku juara, ia mengulangi sejarah AJL tahun lalu apabila band daripada aliran yang sama iaitu Estranged merangkul anugerah berkenaan.

Bagi MUH, AJL23 bertambah manis apabila mereka turut merangkul juara bagi kategori Pop Rock dan keseluruhannya, band berkenaan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM37,000.

Ia merupakan percubaan pertama MUH beraksi di pentas AJL dan berjaya menepis ramalan pelbagai pihak bahawa mereka akan hanya mengungguli untuk kategori tersebut sahaja.

Masakan tidak, ketika Faizal membolot anugerah Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik dan juara kategori Balada, tanpa disangka, MUH yang mempertaruhkan lagu berjudul Lagu Untuk Mu dipilih sebagai juara.

MUH mahu perluas pengaruh indie

Dipilih selaku juara atas penilaian menampilkan sesuatu yang segar dan ditambah dengan vokal serta persembahan mantap di pentas, kejayaan MUH memang tidak perlu dipersoalkan.

Dengan lagu-lagu daripada band indie semakin menguasai persada muzik tanah air, kejayaan MUH pastinya menjadi pemangkin kepada band indie lain untuk bersama memperluaskan pengaruh mereka.

"Sudah tentu kejayaan ini akan dijadikan sebagai alat untuk kami mengembangkan muzik indie. Dengan wang sebanyak RM37,000, ia tentu akan dapat membantu kami menghasilkan yang terbaik,'' kata Norazlan Yuslee atau Lan, vokalis Meet Uncle Hussein.

Menurut Lan, bergelar juara, ia memberikan tekanan kepada MUH kerana peminat pastinya akan tertunggu-tunggu apa perancangan MUH selepas ini.

Kepada persoalan mengenai AJL23, Lan memberitahu, pada dasarnya, MUH risau akan kekuatan lagu Kalis Rindu kerana ia mendapat sentuhan komposer Aidit Alfian yang cukup dikagumi mereka.

"Kami juga tidak sangka akan menjadi juara AJL kerana Faizal Tahir cukup kuat. Tetapi, ini adalah rezeki kami,'' katanya.

Percubaan berani Julfekar, Farawahida

Bagi kategori Etnik Kreatif, lagu Persoalan Cinta nyanyian Farawahida dengan kombinasi kerja keras komposer dan pencipta lirik oleh Julfekar, Ku Seman serta Izza Rosley turut mencipta kejayaan biarpun di mata ramai pihak, lagu Doa Dalam Lagu nyanyian Zahid dan Heliza bakal bergelar juara.

Mencipta kelainan untuk kategori Etnik Kreatif dengan membawa elemen budaya serta instrumen muzik masyarakat Cina, ia sesuatu yang cukup berbaloi kepada Julfekar serta Ku Seman dan Izza menerusi lagu Persoalan Cinta.

Menggabungkan sesuatu yang jarang dilakukan, kategori tersebut sebelum ini banyak menampilkan gabungan elemen kemelayuan, nusantara dan Arab.

Berlainan dengan Persoalan Cinta, selaku komposer, Julfekar berkata, pihaknya memahami betapa kategori terbabit sukar untuk mendapat perhatian audiens.

"Oleh itu, kita gunakan melodi dan gabungan instrumen Cina ke dalam lagu Melayu agar ia kelihatan lebih bertenaga dan baru. Lagipun, lagu itu dirakam di China.

"Selepas ini, saya akan meneroka elemen-elemen baru untuk diketengahkan terutama muzik Borneo,'' ujarnya.

Sementara itu, Farawahida berkata, ketika di pentas, dirinya tidak terlintas untuk memikirkan siapa pesaing, persembahan siapa yang mantap atau siapa yang akan bergelar juara.

Baginya, apa yang penting adalah untuk membuat yang terbaik.

"Untuk kategori lagu dan lirik, penilaian itu sudah dilakukan awal oleh pihak juri. Persembahan malam ini adalah untuk melengkapkan pemarkahan.

"Memang tidak sangka lagu Persoalan Cinta akan menang. Kombinasi lagu serta persembahan etnik Cina merupakan satu kelainan dan ia membantu lagu itu untuk menguasai Etnik Kreatif,'' katanya.

Audi, Izham terus bekerjasama

"Saya gembira kerana diberikan ruang yang cukup besar untuk berkarya di samping bekerjasama dengan Ahmad Izham Omar serta Faizal Tahir.''

Itu ekspresi kegembiraan Audi Mok, selaku komposer kepada lagu Sampai Syurga yang telah mencipta tiga kejayaan dalam AJL23.

Bergandingan dengan Ahmad Izham, Audi memberitahu, kerjasamanya dengan Ketua Pegawai Operasi 8TV itu akan diteruskan pada masa mendatang.

"Bukan sahaja Ahmad Izham, Faizal dan saya juga seakan ada keserasian untuk menghasilkan sesuatu yang baik,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: