Tuesday, January 20, 2009

Makyung boleh pupus


BARISAN pelakon dan penari yang menjayakan Makyung Raja Besar Senyanya.

Usaha berterusan perlu dibuat supaya seni warisan negara diiktiraf Unesco ini terus hidup

GERAK badannya ketika menarikan rentak tarian Raja Besar Senyanya cukup memikat. Diiringi muzik tradisional teater Makyung seperti rebab, gendang dan gong, Rosnan Rahman bersama penari pengiring menyusun tari gemalai, mempesona wakil media yang hadir menyaksikan pratonton persembahan Makyung Raja Besar Senyanya di Istana Budaya baru-baru ini.

Selama tiga hari, bermula 9 Januari, pementasan berkenaan dibawakan Istana Budaya sebagai sebahagian usaha memulihara seni warisan negara yang diiktiraf Unesco pada 2005. Biarpun dipersembahkan di pentas lebih kecil, namun usaha itu sendiri cukup murni tatkala seni warisan bangsa berkenaan bagai makin dilupa generasi muda.

Rosnan sendiri melahirkan kebimbangan apabila tidak ramai anak muda hari ini yang berminat mempelajari lebih mendalam seni Makyung. Malah pada ketika ini, hanya dia satu-satunya Pakyung yang aktif mendalami seni warisan itu dan menjelajah seluruh negara mengadakan persembahan.

"Saya amat sedih apabila memikirkan, siapalah yang akan mengambil ilmu seni Makyung daripada saya, sebagaimana saya mempelajarinya daripada beberapa guru seperti Jumilah Tahir, Mak Su Yam, Che Mat Jusoh dan Fatimah Abdullah (pengarah Raja Besar Senyanya).

"Saya sedar, agak ramai pelajar yang cuba mendalami ilmu seni pementasan tradisional ini di institusi pengajian tinggi, namun ramai juga yang berhenti separuh jalan apabila mereka berputus asa setelah gagal menguasai lakonan Makyung dengan sempurna. Faham sajalah, Makyung punya gaya lakonannya sendiri. Saya sendiri mendalaminya selama lapan tahun bersama Fatimah. Ia ilmu yang mengambil masa untuk dikuasai.

ROSNAN beraksi sebagai Raja Besar Senyanya.

"Begitu juga aspek pendapatan membuatkan mereka tidak berminat untuk terus menguasai seni ini. Dalam seni ini, apa yang paling penting ialah keikhlasan. Jika kita ikhlas mempelajarinya, insya-Allah kita akan mendapat apa yang dihajatkan. Kebanyakan generasi muda hari ini pula mempelajarinya hanya untuk mendapatkan ijazah," ujar Rosnan sebaik tamat persembahan.

Menurut pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina daripada Universiti Sains Malaysia (USM) ini, dia aktif mempersembahkan Makyung atas dasar tanggungjawab yang diletakkan di bahunya.

"Saya bertuah kerana berada dalam Kumpulan Makyung Nilam Sari Istana Budaya. Di sini kami mempunyai segala-galanya - penari, pemuzik, kostum dan sebagainya. Paling tidak, ia memudahkan kami mengadakan persembahan. Saya memastikan, paling tidak lima atau enam persembahan diadakan dalam setahun di seluruh negara, bagi menghidupkan seni warisan bangsa kita," katanya yang kini bertugas sebagai Penolong Pengarah Produksi di Istana Budaya.

Seni bawa Rosnan ke New York

PADA masa yang sama Rosnan gembira melihat beberapa kumpulan kecil aktif bergerak mengadakan persembahan Makyung. Jangka hayat seni itu sendiri banyak bergantung kepada kumpulan kecil ini untuk terus menghidupkan minat orang ramai terhadap persembahan drama tari berasal dari Kelantan yang menggabungkan elemen seni tari, seni suara, lakon, lawak dan muzik itu.

"Seni persembahan Makyung hanya akan kekal apabila kita berterusan mengadakan pementasan. Jika kita menghentikannya, lambat laun orang akan lupa," kata pemuda berasal dari Pokok Sena, Kedah, yang juga pensyarah sambilan di Aswara ini.

Kini, Rosnan berusaha membawa kembali seni pementasan tradisional ke Istana atas bantuan beberapa kenalan. Dia berasa amat gembira sekiranya Makyung dapat pulang ke tempat asal, iaitu dipersembahkan di hadapan sultan serta orang besar istana.

Menganggap Makyung sebagai seni yang membawa seseorang mengenali diri sendiri, Rosnan turut menggesa sektor korporat turut menghulurkan sokongan mereka dalam memulihara seni tradisional terbabit.

Katanya, sememangnya Istana Budaya berperanan besar dalam menghidup dan mengangkat martabat Makyung, namun tanpa sokongan golongan korporat, usaha itu sedikit sebanyak akan terbantut.

Begitu juga Rosnan yang pernah mengadakan persembahan Makyung di New York, Amerika Syarikat pada 2007 berharap lebih ramai generasi muda dari Kelantan yang berminat mendalami seni berkenaan, mengenangkan Makyung ialah warisan berharga daripada negeri terbabit.

"Sedih jugalah apabila orang luar seperti saya pula yang diundang untuk mengajar seni ini kepada pelajar Makyung Kelantan, sedangkan Makyung itu sendiri berasal dari sana," kata cucu kepada pelakon Makyung Kedah yang mula memupuk minat terhadap seni itu ketika menuntut di USM pada 1996.

SINOPSIS: Raja Besar Senyanya:

CERITA Raja Besar Senyanya ialah kisah awal mengenai cerita Anak Raja Gondang. Kisah bermula dalam Negeri Serendah Si Pagar Ruyung yang diperintah Raja Besar Senyanya. Baginda sedang menantikan kelahiran anak sulung hasil perkahwinannya dengan Puteri Gak Petera. Sebagai persiapan menyambut kelahiran seorang putera, baginda keluar berburu ke hutan mencari Gajah Putih Gading Hitam. Ketika itulah Puteri Gak Petera melahirkan seekor Siput Gondang.

Setelah kembali ke istana, baginda amat marah apabila mendapati anaknya bukan manusia, lalu menuduh isterinya membuat hubungan sulit. Baginda menghalau puteri terbabit, yang kemudian meninggalkan istana bersama anak gondangnya. Mereka mendapatkan perlindungan di pondok Wak Pakil Jenang, bekas pekerja istana.

Ketika menumpang di situ, Puteri Gak Petera meminta Wak Pakil Jenang menjaga anaknya apabila dia keluar mencari kayu api. Sewaktu ketiadaannya, siput gondang menetaskan seorang putera yang tampan. Setelah mendapati gondangnya kosong, Puteri Gak Petera berselisih faham dengan Wak Pakil Jenang, sehinggalah Anak Raja Gondang tampil memberikan penjelasan.

Anak Raja Gondang kemudian meminta izin bondanya untuk keluar bermain dengan anak-anak Mak Inang Kurang Sa Empat Puluh. Maka bermulalah pengembaraan Anak Raja Gondang mencari ayahandanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: