![]() Antara babak membabitkan Puteri Gunung Ledang (lakonan Tiara) dan Bayan (Ida Mariana). |
Pementasan pada 6 Februari hingga 21 Februari adalah yang terakhir
TEMPAT jatuh lagi dikenang, inikan pula watak Gusti Puteri Raden Ajeng Retno Dumilah yang cukup sinonim dengan Datin Seri Tiara Jacquelina dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL).
Sepanjang terikat dan demi tuntutan watak dalam PGL itu, Tiara seakan-akan mengabadikan hidupnya dalam ‘roh’ Gusti Puteri Raden Adjeng Retno Dumilah supaya terus menyerap ke dalam tubuhnya.
PGL menerusi versi teater mahupun filem, sudah mampu membuatkan isteri kepada Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi ini tersenyum bangga kerana mampu melakar kejayaan di dalam dan luar negara, sekali gus memberi impak yang nyata terhadap perjalanan dunia seni tanah air.
Malah kerana watak itu Tiara pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik pada Festival Filem Asia Pasifik ke50 di Kuala Lumpur pada tahun 2005.
Pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang di bawah penerbitan syarikatnya, Enfiniti Production juga menjadi sebutan dan terlaris di Malaysia dan Singapura. Namun, pada pertemuan bersama rakan media pada 14 Januari lalu di rumah tetamu kediamannya di Jalan Ipoh, Tiara mengumumkan untuk meninggalkan teater muzikal kesayangannya itu sebaik saja pementasannya di Istana Budaya, pada 6 Februari hingga 21 Februari nanti berakhir.
![]() |
| tiara nekad meninggalkan watak Puteri bagi memberi peluang kepada bakat baru dan meneruskan minat mengarah dan berlakon filem. |
Kelopak air matanya bergenang, biarpun hasrat menamatkan tanggungjawab memegang watak Puteri dilakukan dengan berat hati.
Menurut Tiara, perasaan ini sudah lama difikirkan namun dia tidak mempunyai kekuatan untuk menjadikannya kenyataan.
Kekuatan itu akhirnya hadir apabila dia memberanikan diri menyuarakan isi hatinya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ‘Puteri’.
Tindakannya itu wajar dipuji kerana mengikuti langkah beberapa nama selebriti yang gah ‘berhenti’ pada saat nama mereka memuncak. Ia dilakukan secara realistik tanpa didesak mana-mana pihak, jauh sekali merajuk dan semuanya dilakukan demi mencuba perkara baru.
Malahan suaminya tidak tahu langsung mengenai keputusannya itu dan hanya dimaklumkan pada saat akhir ketika berada di Sarawak.
“Pasti persembahan terakhir saya Februari nanti akan memberi emosi berbeza daripada tahun sebelumnya. Mungkin apa yang saya lakukan ini bersifat mementingkan diri sendiri, tapi saya yakin setiap apa yang dilakukan pasti ada hikmah di sebaliknya.
“Saya tidak boleh terus statik dengan apa yang saya capai kini, tapi harus terus melangkau ke satu fasa yang lebih baik daripada semalam. “Tak saya nafikan watak Puteri bagaikan sudah sebati di dalam hidup saya, namun saya tidak boleh selamanya memegang watak itu. Ia satu pengalaman berharga yang tidak boleh dijual beli, ia satu penghormatan buat diri saya,” katanya.
Sambungnya lagi, dia berbangga dapat berada di dalam kelompok PGL ini kerana berjaya mencipta satu penanda aras dan memberi kepada pacuan dunia seni tanah air.
“Kalau saya tak lakukan sekarang pun, nescaya saya akan lakukan pada masa mendatang.
“Selepas ini saya akan terus menggapai impian dan melakukan perkara lain. Ia satu proses mencabar diri untuk terus melakukan yang terbaik pada masa depan dan semuanya mampu direalisasikan dengan sokongan kerajaan, keluarga, media dan peminat. Ada projek lain yang saya akan pertimbangkan selepas ini.
“Mungkin juga saya akan kembali mengarah dan berlakon di dalam filem. Rindu di hati saya untuk mengarah dan berlakon filem sangat tidak terkata,” katanya yang ditemani teman baiknya, Ida Mariana yang memegang watak Bayan di dalam teater muzikal itu ketika mengumumkan hasratnya di hadapan rakan media.
Berhasrat tubuhkan sekolah seni persembahan
Tiara juga mendedahkan yang dia merancang untuk mempertimbangkan membuka sekolah persembahan seni dalam usaha mewujudkan lebih banyak pelakon berkaliber di negara kita.
Percaya kepada darah dan tenaga baru yang sentiasa mengalir deras, Tiara percaya kehidupan ini ibarat putaran roda dan pengganti watak Puteri pasti akan ditemui kelak. Cuma akuinya, potensi pelakon baru itu ada cuma boleh dibilang dengan jari. Sebelum ini pun, Tiara pernah menawarkan beberapa watak seperti Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang kepada pelakon di negara kita, tapi ada di antara mereka yang tidak sanggup untuk memberi komitmen penuh.
Berpaksi kepada baik dan buruk, Tiara sedar jika ada pengganti watak itu sekalipun, perbandingan akan tetap dilakukan pihak lain.
Katanya, itu lumrah, namun jelas Tiara, masyarakat harus membuka mata, setiap daripada kita bergelar manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan.
“Kadang-kadang kalau saya menonton TV, saya ada melihat beberapa nama pelakon serta penyanyi yang boleh digilap bakat mereka. Cuma saya harus tekankan kalau sesiapa pun mendapat peluang terbabit dengan produksi PGL ini ataupun menerima watak Puteri, ia pastinya menjadi pengalaman berharga.
“Saya pernah menawarkan watak Puteri dan Hang Tuah kepada beberapa pelakon kita, namun mereka tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya.
“Ada di antara pelakon itu menjelaskan yang dia harus terbabit dengan perkara itu dan ini, lalu menerbitkan rasa kurang yakin untuk pihak kami menerimanya berlakon. Harus diingat teater memerlukan komitmen dan fokus yang tinggi.
“Soal perbandingan itu pasti wujud di mana-mana saja. Kepada pengganti watak Puteri nanti, dia harus bersedia menerima sebarang kemungkinan dan kritikan. Sebagai contoh, Musly Ramly yang berlakon di dalam teater muzikal P Ramlee membuktikan walaupun dibandingkan dengan pelakon sebelum ini iaitu Sean Ghazi, dia tetap berjaya melaksanakannya dengan baik,” katanya.
PROFIL: Tiara Jacquelina
- Dilahirkan pada 3 Oktober 1967
- Anak kacukan Cina Burma (sebelah ayah) dan Cina Indonesia (ibunya).
- Pernah dikenali di dalam filem Ringgit Kasorrga dan berjaya dinobatkan sebagai pelakon terbaik.
- Dikurniakan dua cahaya mata, Hani Karmila (anaknya dengan Allahyarham Hani Mohsein) dan Mohd Eridani (perkahwinan kedua).
- Menyanyikan sendiri lagu tema filem Puteri Gunung Ledang berjudul Asmaradana.
INFO: PGL kali ketiga
- Akan dipentaskan pada 6 hingga 21 Februari ini di Istana Budaya
- Kelainan kali ini, unsur magis dan mainan ilusi yang bakal menjadi tarikan kepada pementasan itu, penggunaan persembahan tiga dimensi atau 3D turut diperluaskan kali ini sesuai dengan kecenderungan masyarakat sekarang.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: