Friday, January 16, 2009

Juri puas, penonton tolak


AKSI mencuit hati afzan dan Wan Sharizon daripada kumpulan LNJ.

Idea Syem, peserta program Raja Lawak mengenakan pakaian wanita dan lelaki serentak tak menjadi

KREATIVITI Shamsir Mohd Sahar atau Syem, 32, pada minggu kedua Raja Lawak ternyata hanya berjaya memikat hati tiga pengkritik tetap Zaibo, Fauziah Nawi dan Shamsul Ghau-Ghau tetapi idea segar yang ditampilkan peserta dari Kuala Lumpur itu langsung tidak berjaya meraih undi penonton.

Malang bagi Syem, idea mengenakan pakaian wanita dan lelaki serentak tidak menjadi walaupun kesemua juri memberikan pujian menggunung. Sebaliknya idea itu hanya menyebabkan dia disingkirkan daripada program itu bersama seorang lagi peserta dari Kuantan, Ahmad Faizlam Alam atau Mat, 32.

Syem berada di kedudukan kedua terbawah apabila hanya mengumpul enam peratus undian. Manakala Mat yang dua minggu berturut-turut berada di tangga terbawah pula hanya mendapat lima peratus undi menjadikan undian diraih juru teknik itu adalah yang tercorot.

Sementara kedudukan peserta berasal dari Kelantan, Adam pula berada di ambang bahaya apabila dia turut berkongsi kedudukan tiga yang terbawa. Peserta berusia 18 tahun itu bagaimanapun masih bernasib baik apabila diberi peluang untuk membuktikan kekuatannya minggu depan.

Kedudukan Adam berada di tahap genting mungkin kerana lawak mengenai topik Azam yang harus disentuh peserta pada malam itu langsung tiada hujung pangkal, tiada unsur humor dan sukar difahami maksud keseluruhan jalan cerita yang ingin diangkat anak muda itu.

MAT (kiri) dan Syem reda dengan penyingkiran mereka.

Bagaimanapun, apabila Fauziah Nawi mengarahkannya kembali kepada rakan-rakannya, Adam nampak cukup lega.

Namun pentas Raja Lawak yang sepatutnya menjadi gelanggang untuk bergelak tawa bertukar pentas air mata apabila dua rakan baik Mat, Amir dan Adam seakan tidak dapat menerima penyingkirannya. Bapa kepada dua cahaya mata yang kali kedua mencuba nasib dalam Raja Lawak juga kelihatan mengalirkan air mata ketika namanya diumumkan tersingkir.

“Sebenarnya persembahan saya malam ini dilakukan pada saat akhir. Tajuk yang diberikan iaitu Azam Baru sedikit berat sehingga beberapa kali juga saya menukar jalan cerita kerana merasakan kurang sesuai. Akhirnya saya ambil keputusan untuk ubah lagi dan jalan cerita yang saya sampaikan malam ini lahir secara spontan.

“Saya sudah cuba apa yang mampu tapi tak boleh nak buat apa kerana peminat tidak mahu undi. Cuma apa yang membuatkan saya sedih kerana terpaksa berpisah dengan dua rakan baik Amir dan Adam. Sepanjang berada dalam Raja Lawak, kami duduk sebilik dan banyak perkara yang dikongsikan bersama. Itulah yang membuatkan kami cukup sedih kerana terpaksa berpisah,” kata Mat yang menganggap kegagalan bukanlah noktah kepada kehidupan tetapi setiap kegagalan adalah percubaan dan permulaan hidup.

Syem yang kelihatan tenang pula berkata, walaupun penonton di studio nampak terhibur dengan persembahannya tetapi penyingkirannya malam itu membawa maksud penonton masih belum berpuas hati dengan persembahannya. Biarpun berat dengan keputusan malam itu, kata Syem dia terpaksa reda menerima keputusan itu walaupun kecewa.

Kata Syem, pujian yang diberikan juri terhadapnya menyebabkan dia merasakan terselit sedikit harapan. Tetapi pada masa yang sama menyedari penyingkiran adalah lumrah dalam program realiti.

“Saya harap mendapat peluang untuk berlakon kerana saya meminati bidang lakonan. Saya juga boleh melakukan alih suara, kira-kira 50 suara karakter kartun yang boleh saya lakukan,” kata Syem yang boleh bertutur dalam bahasa Perancis.

Bagi kedudukan tiga teratas pula, peserta dari Kelantan, Mohd Amirullah Azmi, 20, berada di tangga teratas dengan 17 peratus undi. Manakala dua lagi yang berada dalam kedudukan teratas ialah peserta berkumpulan iaitu Sepah yang tampil dengan imej bangsawan berjaya mengumpul sebanyak 10 peratus. Manakala Chot yang memilih watak doktor dan pesakit jiwa untuk pula meraih sebanyak 9 peratus undi.

Amir sejak Raja Lawak musim ketiga menyingkap tirainya dilihat antara calon pilihan ramai. Barangkali memiliki raut wajah yang lucu menjadi bonus untuk anak muda itu. Namun apakah Amir mampu mengatasi bekas juara Raja Lawak, Nabil?

Sementara itu, dua peserta wanita Nuur Jihan Musa, 25, dan Rafizzan Yaacop, 32, yang berada di tangga tercorot minggu lalu, terselamat minggu ini. Mereka mula menunjukkan peningkatan dan persembahan kedua-dua peserta wanita pada minggu kedua turut mendapat pujian juri kerana mereka tidak malu mempamerkan aksi bersahaja.

Dengan penyingkiran Mat dan Syem, kini tinggal 10 lagi peserta yang tinggal untuk merebut gelaran Juara Raja Lawak baru mereka ialah Am, Adam, Amir, Chot, Jihan, LNJ, Manbelon, Sepah, Talam dan juga Yann.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: