Yasin |
Yasin akui berdepan dengan krisis identiti menyebabkan dia sepi dari dunia seni selama enam tahun
TERLALU banyak peristiwa yang dialami Yasin sepanjang enam tahun menyepikan diri. Menempuh cabaran yang pelbagai, malah pada satu fasa dia terasa seperti kehilangan dirinya sendiri membuatkan fikiran Yasin berkecamuk dan bercelaru untuk memahami situasi yang ditempuhinya.
Situasi mencabar itu kata Yasin, 33, membuatkan dia berdepan krisis identiti menyebabkannya keliru, murung dan tertekan hingga merasakan dirinya gagal dalam kehidupan ini.
‘Gangguan’ itu kata Yasin, menyerang dirinya dalam diam sejak 2001 ketika namanya memuncak menerusi album Mimpi Laila, cuma disedari dua tahun selepas itu membuatkan dia hilang arah dan keyakinan diri untuk meneruskan karier nyanyian.
“Ia datang tanpa sebab sehingga pada satu tahap, saya tertanya sendiri siapa diri saya sebenar dan ke mana arah hidup ini. Semuanya bercampur baur membuatkan saya keliru dan berdepan kemurungan serta tekanan hingga berasa saya sudah gagal dalam kehidupan ini.
“Saya cuba menyembunyikan realiti yang dihadapi sedangkan penyakit itu sudah ‘menyerang’ selepas saya keluar daripada kumpulan nasyid, Brothers iaitu ketika saya mula meniti alam kedewasaan,” katanya merungkai persoalan mengenai kehilangannya daripada industri hiburan sejak enam tahun lalu.
Masalah kejiwaan itu juga kata Yasin, melemahkan kekuatannya hingga dia kehilangan idea dan semangat untuk menghasilkan karya terbaru.
Kondisi mental yang agak meruncing membuatkan Yasin bergelut dengan dirinya untuk memahami apa sebenarnya yang dilalui.
“Pernah ketika di Makkah mengerjakan haji pada 2005, saya berterusan berdoa hingga meraung depan Kaabah supaya cubaan yang diberikan Tuhan ini akan berlalu. Akhirnya saya menemui jawapan. Untuk mengatasinya, saya perlu memahami apa sebenarnya masalah yang dihadapi lantas mula mengkaji serta mendalami ilmu berkaitan.
“Seandainya gagal memahami, penyakit itu akan mengawal dan menekan diri. Dalam kekalutan itu, saya teruskan juga untuk mencipta lagu kerana hanya ketika bekerja saya menemui kedamaian diri. Alhamdulillah, sejak tiga tahun lalu keadaan saya sudah pulih dan saya memperoleh semula kekuatan untuk memulakan segala-galanya kembali,” katanya.
Pengalaman itu juga kata Yasin atau nama penuhnya, Muhammad Yasin Sulaiman, mendewasakan dirinya membuatkan dia akur untuk kembali ke jalan yang menuju keredaan Ilahi.
Tanpa berselindung akui bapa kepada dua cahaya mata, Sameer, 5, dan Malaika, 6 bulan, dia pernah khilaf dalam mengatur langkah sehingga melupakan hakikat dunia dan kewujudan Ilahi.
“Ketika itu saya jadi marah, kecewa dan memberontak membuatkan saya tidak terfikir mengenai Allah. Baru saya sedar jika tidak mengikut sistem kehidupan yang dicipta-Nya, hidup ini akan binasa,” katanya.
Mengakui keluarga termasuk isterinya, Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain memberinya kekuatan untuk meneruskan hidup, malah mengalihkan fokus kepada anak juga membantunya meringankan masalah itu.
“Kalau saya terlalu fokus dan hanya memikirkan masalah diri, ia tidak akan berakhir. Keluarga menjadi terapi untuk saya mengatasi masalah itu.
“Ketika ini setiap hari saya menghitung segala kelebihan yang diberikan Allah. Jika terlalu menghitung segala kekurangan, ia hanya memberikan tekanan dan membuatkan saya tidak tenang.
“Disebabkan itu, saya begitu mementingkan kasih sayang supaya mereka tidak terasa kehilangan. Saya tidak mahu mereka murung kerana jika tidak akan berlaku pelbagai perkara kurang enak,” katanya.
Bingkisan baru Yasin
ENAM tahun menyepikan diri, Yasin yang pernah merakamkan dua album solo, Mimpi Laila dan Salsabila bersedia untuk kembali membawakan bingkisan terbaru, Arus Qudus yang menemui khalayak pada ambang 2009 lalu.
Bercerita mengenai album itu, Yasin berkata, kesemua sembilan lagu yang dimuatkan menceritakan detik serta perjalanan ditempuhinya sepanjang berdepan konflik diri.
Mengambil masa setahun untuk disiapkan, pembikinan album itu dimulakan pada awal 2007 dan selesai semuanya pada akhir 2008.
Arus Qudus kata Yasin, menampilkan konsep world/global muzik merangkumkan beberapa genre irama antara lain rock, balada, urban dan etnik.
Ia menemukan pemuzik ternama tanah air seperti Zahid Ahmad (dram), Ramli Rebana (perkusi), Nan (gitar), Kelly (Bass) selain menyatukan penyanyi antaranya Salleh (Brothers), Arnieza Amir, Aliah (Phlowtron), Akbar dan Joe Flizzow.
Akui Yasin, dia menemui kepuasan dengan penghasilan album ini yang lebih mengikut cita rasanya, berbanding dua produksi terdahulu kerana terikat dengan telunjuk syarikat rakaman.
Malah kata Yasin, dia tidak gusar jika produksi terbarunya ini kurang mendapat perhatian radio kerana apa yang dilakukannya dalam Arus Qudus adalah untuk kepuasan jiwanya.
“Saya lebih mengutamakan kepuasan dengan menghasilkan lagu yang menyentuh jiwa pendengar. Saya mahukan lagu yang dipersembahkan menjadi santapan jiwa serta memberi inspirasi untuk mereka yang ingin mencari keredaan Allah.
“Album ini juga memperlihatkan Yasin yang baru, yang melalui proses evolusi dalam kehidupan dan semakin mengerti akan makna kehidupan ini,” katanya.
Pun begitu, Yasin percaya lagu seperti Bismillah dan Kau Yang Mengetahui akan mendapat tempat di radio berdasarkan kekuatan sentuhannya.
INFO: Muhammad Yasin Sulaiman
Asal: Kajang, Selangor
Tarikh Lahir: 30 Oktober 1975
Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan komposer
Status: Berkahwin
Isteri: Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain
Anak: Sameer, 5, dan Malaika, 6 bulan
Album: Teman Sejati, Satu Perjuangan (Brothers), Mimpi Laila, Salsabila dan Arus Qudus.
Filem: Syukur 21, No Problem, Mendam Berahi
yang tidak kenal takkan bercinta,manisnya gula bila dirasa bukan diatas pengetahuan
ReplyDelete