Friday, January 16, 2009

Teliti pengisian AJL




Barangkali perlu diadakan seminar yang membincangkan hala tuju dunia muzik tanah air sebelum acara kemuncak

BANYAK diperkatakan mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL) namun acara kemuncak edisi ke-23 pertandingan itu yang akan menamatkan debaran 14 peserta bertanding di Stadium Putra, Bukit Jalil, Ahad ini terus dinanti, malah mengundang pelbagai isu untuk dibincangkan.

Selama 23 tahun dianjurkan TV3, AJL terus memainkan peranan besarnya dengan mengangkat karya terbaik tempatan menerusi acara tahunan berprestij.

Melalui pelbagai proses evolusi, AJL turut mengharung cabaran dan kritikan yang membantunya untuk berdiri matang.

Paling utama, malah turut memberikan cabaran kepada TV3 adalah untuk memastikan penganjuran AJL masih lagi relevan dengan industri apatah lagi dalam suasana industri muzik yang dicengkam pelbagai ancaman yang menggugat perkembangannya.

Merentas usia 23 tahun juga menjadikan AJL semakin berani menampilkan pembaharuan, bahkan turut hadir bersama tanggungjawab untuk mengangkat karya dan irama tradisional setanding dengan muzik komersial lain.

DARI kiri, Ziana Zain dan Azlan; Meet Uncle Hussain; Habsah Hassan dan Fedtri.

Ketika stesen radio terutama yang berpaksikan kepada pasaran komersial mengutamakan lagu yang menjurus sentuhan terkini dan kontemporari, TV3 terus berani memainkan fungsinya untuk mengangkat karya etnik kreatif.

Mendepani cabaran besar dengan kekurangan lagu berirama etnik kreatif untuk dipertandingkan pada program mingguan, Muzik Muzik, TV3 masih utuh mempertahankan kategori itu bersama tekad akan lahir lebih banyak sentuhan berani yang menjulang khazanah bangsa.

Peluang yang seharusnya berani disahut oleh komposer tempatan, malangnya kegagalan memahami konsep yang dimahukan penganjur membantutkan hasrat untuk menterjemahkan karya kreatif itu di landasan yang betul.

Barangkali ada melihat kategori itu tidak lagi relevan, ditambah kecenderungan menghasilkan sentuhan lebih terkini membuatkan ciptaan baru untuk lagu Etnik Kreatif terus tandus.

FAIZAL TAHIR mempertaruhkan dua lagu sentuhan Audi Mok.

Situasi itu diburukkan lagi apabila stesen radio berformat yang menguasai sebahagian besar jumlah pendengar memberi tekanan serta mengamalkan sikap pilih kasih.

Ketidakadilan itu membuatkan kebanyakan komposer enggan membazirkan masa dan keringat dengan menghasilkan karya baik namun akhirnya tersadai kerana tidak dapat dipromosikan dengan berkesan.

Amat sukar jika peranan besar itu hanya dimainkan TV3 sendirian, tanpa disokong pihak lain yang juga harus mempunyai kesedaran untuk mengiktiraf sentuhan etnik setaraf irama komersial lain.

Usaha itu mungkin lebih efektif jika stesen radio di bawah naungan Media Prima Berhad turut memberikan sedikit ruang, membangkit kesedaran khalayak akan kepentingan memelihara khazanah bangsa supaya tidak luput ditelan masa.

Selama 23 tahun membawa pertandingan itu ke tempat yang cukup tinggi dan selesa, TV3 hanya meneruskan siri promosi AJL menjurus ke arah komersial tanpa perancangan besar untuk menyedarkan khalayak akan halangan serta kekangan yang dialami penggiat industri hiburan ketika ini.

Selaras dengan namanya yang semakin membesar, skala penganjuran AJL sepatutnya disokong pelbagai aktiviti bermanfaat dan ilmiah di mana secara tidak langsung akan memperkukuhkan lagi institusi pertandingan itu.

Barangkali penganjuran AJL akan memberi lebih makna andai TV3 menyokongnya dengan membentangkan kertas kerja dalam seminar untuk membincangkan hala tuju industri muzik tempatan menempuh cabaran mendatang.

Bengkel berkaitan seperti penciptaan lagu, penulisan lirik juga seni persembahan di samping membuka ruang untuk saling berkongsi idea, barangkali akan membantu penggiat industri tempatan untuk menghasilkan kualiti ciptaan lebih baik.

Ruang itu juga dapat dimanfaatkan TV3 untuk menyalurkan hasrat serta wawasan mereka untuk memasyhurkan lagi karya serta khazanah lagu tempatan dengan lebih berkesan.

Andai ada usaha itu, penganjuran AJL tidak hanya dilihat cenderung kepada unsur komersial semata-mata sebaliknya turut memperlihatkan keseriusan sebuah stesen televisyen dalam memperkasakan karya tempatan yang semakin hebat dicabar irama luar.

Peluang cerah untuk kategori Pop Rock?

BERBANDING tahun terdahulu, AJL23 memperlihatkan saingan cukup hebat terutama bagi kategori Pop Rock dan Balada yang mempertandingkan lagu yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Andai tahun lalu, Estranged mengejutkan khalayak apabila sentuhan mereka menerusi Itu Kamu mengenepikan saingan lain untuk menyerlah pada malam AJL22, tidak mustahil juga jika AJL23 sekali lagi berpihak kepada lagu kategori Pop Rock.

Daripada 14 lagu yang bertanding, kekuatan lebih dilihat kepada Lagu Untukmu yang dipersembahkan Meet Uncle Hussain (MUH). Kelebihan lagu itu dilihat pada cara persembahan mereka yang segar, malah pengaruh Lagu Untukmu juga cukup besar hingga menyumbang kepada senario baru dalam industri muzik tempatan.

Selain susunan dan gaya persembahan yang menyuntik elemen berbeza kepada industri muzik, penyampaian vokalis kumpulan itu, Lan yang unik dan tersendiri mampu menjulang nama MUH pada malam AJL23 nanti.

Bagaimanapun, usah dinafikan keupayaan Kalis Rindu ciptaan Aidit Alfian dan lirik Ad Samad dilunaskan penyanyi berwibawa, Elyana.

Lagu itu juga mempunyai sentuhan menarik, malah turut menyuntik nuansa segar dalam lingkungan muzik tempatan yang sebelum ini lebih berpihak kepada lagu ciptaan komposer luar terutama Indonesia.

Lagu yang selamba, disampaikan penuh santai oleh Elyana mampu memberi kejutan namun terpaksa berentap dengan dua lagi sentuhan yang turut berpotensi besar seperti Yang Pernah ciptaan sepenuhnya Estranged dan Aku Stacy oleh Intan Norul Azlin dan Layla Ismail nyanyian Stacy.

Seperkara menarik mengenai AJL23 adalah pertandingan ini dikuasai ramai komposer muda, sekali gus memperlihatkan industri hiburan semakin terbuka menerima kehadiran pelapis yang mampu membawa perubahan dalam industri muzik.

Andai bukan Lagu Untukmu, Sampai Syurga ciptaan Audi Mok dan lirik serta nyanyian Faizal Tahir juga mampu memberi kejutan pada malam AJL23.

Bertanding untuk kategori Balada, Sampai Syurga dilihat memberi saingan besar kepada Lagu Untukmu untuk merebut trofi AJL23.

Bagaimanapun, keupayaan ciptaan penyanyi muda, Aizat dalam Lagu Kita juga tidak boleh dipandang sebelah mata kerana sentuhan balada yang dibawakan komposer berbakat besar ini mempunyai sentuhannya tersendiri.

Juga tidak boleh dinafikan akan kekuatan Dingin ciptaan Azlan Abu Hassan nyanyian penyanyi berpengalaman, Ziana Zain yang mampu mengulangi kejayaan komposer itu selepas memenanginya dengan Izinku Pergi, tahun lalu.

Sama ada malam AJL23 akan menghadiahkan kejutan atau menepati ramalan yang dibuat, acara itu sekali lagi menyaksikan penggiat industri muzik bersatu meraikan malam istimewa yang mengiktiraf hasil ciptaan mereka sepanjang tahun lalu.

INFO: Lagu bertanding

Etnik Kreatif:

  • Doa Dalam Lagu nyanyian Zahid dan Heliza
    Lagu & Lirik: Ajai/Loloq

  • Dusta Berkalang - Aiman
    Lagu & Lirik: Ajai/Loloq

  • Persoalan Cinta - Farawahida
    Lagu & Lirik: Julfekar/Ku Seman & Izza Rosley

    Balada:

  • Sampai Syurga - Faizal Tahir
    Lagu & Lirik: Audi Mok/ Faizal Tahir

  • Bila Nak Saksi - Spider
    Lagu & Lirik: Tam (Spider)/Loloq

  • Dingin - Ziana Zain
    Lagu & Lirik: Azlan Abu Hassan/ Azalea

  • Hanya Di Mercu - Ayu (OIAM)
    Lagu & Lirik: Aubrey Suwito/ Habsah Hassan

  • Cuba - Faizal Tahir
    Lagu & Lirik: Audi Mok/ Faizal Tahir

  • Lagu Kita - Aizat
    Lagu & Lirik: Aizat

    Pop Rock:

  • Kalis Rindu - Elyana
    Lagu & Lirik: Aidit Alfian/Ad Samad

  • Lagu Untukmu - Meet Uncle Hussain
    Lagu & Lirik: Taja, Tass, Lan/Taja, Tass

  • Yang Pernah - Estranged
    Lagu & Lirik: Estranged

  • Aku Stacy - Stacy
    Lagu & Lirik: Intan Norul Azlin/ Inton Norul Azlin & Layla Ismail

  • Bukan Di Sini - Sofaz
    Lagu & Lirik: Zimi & Aremeer/One.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: