

KEGAGALAN beraksi di Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun lalu gara-gara kontroversi yang dicipta sendiri membuatkan penyanyi lelaki berbakat besar, Faizal Tahir cuak memikirkan persediaan yang perlu dilakukan nanti apatah lagi ini merupakan kali pertama dia bakal berentap di pentas AJL.
Rasa gementar, tertekan dan teruja saling tersentak dalam pemikiran penyanyi berusia 30 tahun ini tatkala menjelang AJL 23 yang akan mengambil tempatnya di Stadium Putra Bukit Jalil, 18 Januari ini bermula pukul 9 malam.
Menebus kekecewaan lepas, Faizal kini memperjudikan dua buah lagu menerusi kategori Balada iaitu Cuba dan Sampai Syurga, yang kedua-duanya merupakan karya ciptaan Audi Mok dan lirik ditulis oleh Faizal sendiri.
Biarpun begitu, penyanyi berkulit hitam manis ini tidak mudah dihanyut gelombang kegusaran, malah dia punya cara sendiri bagi menyiapkan diri sempena malam kemuncak itu.
Faizal menjelaskan, dia berusaha sedaya-upaya memastikan persediaan daripada segi mental dan berharap kesihatan tidak terjejas sebelum berlangsungnya AJL23 yang menggunakan tema Iluminasi Muzik itu.
![]() |
| |
"Seboleh-bolehnya saya enggan terlalu memikirkan tentang persediaan persembahan. Bukanlah saya tidak ambil kisah, sebaliknya saya tidak mahu terlampau merancang, bimbang jugalah kecewa jika pertaruhan saya tidak menjadi nanti.
"Saya mahukan penonton beri lebih fokus kepada susunan muzik dan lagu itu. Paling penting, saya ingin bersiap-sedia mental dan perlu jaga kesihatan," kata Faizal yang ditemui pada sidang media dan cabutan nombor giliran persembahan AJL 23, di Sri Pentas, baru-baru ini.
Mengulas panjang lebar tentang dua buah lagu nyanyiannya pada malam itu, bapa kepada dua orang cahaya mata ini memberi pandangan personal bahwa dia melihat Sampai Syurga lebih mencabar kemampuannya berbanding Cuba.
"Sejujurnya, saya lebih selesa dengan Cuba sebab nyanyiannya tidak sesukar Sampai Syurga. Saya sendiri mengakui lirik Sampai Syurga lebih universal dan sukar untuk diterjemahkan.
"Apapun, saya tidak berlaku berat sebelah untuk mana-mana lagu yang didendangkan itu. Kedua-duanya merupakan ciptaan Audi dan lirik oleh saya, maka sudah tentulah saya akan menunjukkan persembahan terbaik untuk Cuba dan Sampai Syurga," katanya sambil tersenyum manis.
Ditanya di antara dua buah lagu itu, yang manakah memiliki peluang lebih cerah untuk memenangi mana-mana anugerah dalam AJL 23, pantas sahaja tutur Faizal: "Saya sendiri sukar hendak meramalkan perkara itu walaupun kebanyakan para peminat saya punya pilihan masing-masing.
"Memang ada yang cakap kononnya cuba ada potensi cerah untuk menang berbanding Sampai Syurga, tetapi ada juga yang berkata sebaliknya.
"Terus-terang, sukar untuk saya buat keputusan sendiri. Cuma saya tidak mampu menafikan bahawa jiwa serta perasaan saya lebih kepada Sampai Syurga.
"Tetapi untuk dinobatkan sebagai juara AJL 23, saya cukup yakin semua lagu yang bertanding ke peringkat akhir ada kekuatan sendiri yang sukar untuk dipertikaikan juri dan audiens.
"Saya lihat Lagu Untukmu nyanyian Meet Uncle Hussein menjadi calon yang paling layak untuk menang sebenarnya kerana bagi saya, muzik mereka amat segar dalam industri muzik sekali gus meraih sambutan membanggakan daripada peminat.
"Tetapi jika ditanya tentang kategori Balada sendiri, saya letak harapan yang tinggi kepada lagu Dingin nyanyian Ziana Zain dan Lagu Kita oleh Aizat.
"Saya melihat Aizat merupakan penyanyi pelapis yang amat berbakat besar kepada lapangan seni."

Selain dua buah lagu nyanyian Faizal, terdapat 12 buah lagu lagi yang dipertandingkan menerusi tiga buah kategori iaitu Etnik Kreatif, Pop Rock dan Balada.
Tiga buah lagu daripada Etnik Kreatif, enam menerusi kategori Balada dan lima buah lagu di dalam kategori Pop Rock akan berentap bagi merangkul gelaran Juara Lagu Ke-23 sekali gus bakal meraih wang tunai sebanyak RM25,000.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: