Friday, January 16, 2009

Siapa bakal ungguli AJL23?


FAIZAL TAHIR


DALAM diam tak diam, Anugerah Juara Lagu (AJL) sudah pun berusia 23 tahun dan pastinya, sepanjang penganjuran anugerah yang cukup berprestij ini menyaksikan perkembangan muzik yang cukup ketara.

Apatah lagi, AJL merupakan satu-satunya pentas yang mengiktiraf hasil karya komposer dan penulis lirik tempatan yang telah berusaha menghasilkan karya seni mereka untuk diangkat sebagai yang terbaik.

Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah lagu kerana tidak semestinya lagu yang enak didengar itu mampu menjadi popular dan diminati.

Begitu juga dengan sebuah lagu yang cukup rencah dan nilai-nilai estetika tetapi agak sukar untuk diminati.

Jika dihitung, sudah 22 buah lagu diiktiraf oleh AJL bermula dengan lagu Sekadar Di Pinggiran pada tahun 1986 dan seterusnya, kemenangan mengejut kumpulan Estranged tahun lalu menerusi lagu Itu Kamu.

Persoalannya kini, adakah tahun ini keputusannya akan memberikan kejutan seperti tahun lalu atau mungkin kemenangan pemenangnya nanti sudah diduga?

Menyingkap kembali 14 lagu yang bertanding tahun ini, apa yang dapat dilihat, kesemua lagu-lagu tersebut mempunyai keunikan dan keistimewaan masing-masing.

Agak sukar juga sebenarnya untuk menggambarkan siapakah yang bakal dinobatkan sebagai pemenang.

Apa yang pasti, kategori Balada dan Pop Rock memperlihatkan saingan yang cukup sengit berbanding kategori Etnik Kreatif yang hanya mempertaruhkan tiga buah lagu sahaja.

Antara lagu Doa Dalam Lagu (Zahid & Heliza), Dusta Berkalang (Aiman) dan Persoalan Cinta (Farawahida), lagu yang mampu menjulang kategori Juara Etnik Kreatif adalah Doa Dalam Lagu berdasarkan komposisi lagu serta elemen etnik, pop dan world music yang cukup kuat.

Dengan itu, maka tidak mustahil untuk lagu ini dinobatkan sebagai juara kategori.

Apatah lagi, ia juga memperlihatkan kali pertama lagu etnik ciptaan Ajai yang berjaya mara ke peringkat akhir.

Namun, usah diperkecilkan dua buah lagu lain kerana kedua-duanya juga mampu memberikan kejutan.

Persoalan Cinta misalnya, sebuah lagu yang berlandaskan muzik pop tetapi disulami dengan muzik tradisional Cina yang menjadikan lagu ini cukup unik dan berbeza daripada lagu yang lain.

Kategori Balada pula memperlihatkan enam lagu hebat bakal berentap memberikan saingan yang mampu memberikan tekanan kepada penyanyi yang bertanding dalam kategori ini.

Lagu Cuba dan Sampai Syurga dilihat sebagai calon utama untuk mengungguli kategori ini.

Bukan kerana Faizal Tahir yang merupakan artis residen Media Prima tetapi kerana kekuatan lagu-lagu ini.

Sampai Syurga mampu diangkat sebagai juara Balada kerana lagu ini cukup kuat dari segi komposisi dan penciptaan lagu yang dilihat cukup berbeza dengan lagu yang sedia ada.

Liriknya yang ringkas namun mendalam begitu cocok dengan lagu ini menjadikan kombinasinya lengkap untuk mengungguli kategori ini.

Tambahan pula, dengan tarikan vokal dan penghayatan pelantunnya, Faizal menjadikan lagu ini begitu indah.

Bukan itu sahaja, kombinasi Audi Mok dan Faizal selaku komposer dan penulis lirik memang menjadikan lagu ini satu magis.

Jika tidak Sampai Syurga, mungkin ia menjadi milik Cuba yang juga tidak kurang hebatnya.

Melodi dan lirik yang ringkas juga tidak mustahil Cuba untuk diangkat sebagai juara Balada.

Kepulangan penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain ke gelanggang AJL sudah pasti menjadikan tahun ini lebih meriah dan persembahan Ziana memang dinantikan oleh peminatnya.

Lagu Dingin ciptaan Azlan juga mampu memberikan saingan hebat kepada lima buah lagu lain.

Mungkin juga siapa tahu, rezeki akan menjadi milik bakat muda yang semakin menyinar, Aizat yang mempertaruhkan ciptaan dan liriknya sendiri untuk Lagu Kita.

Lagu yang ringkas dan indah serta ditambah dengan penghayatan Aizat, tidak mustahil untuk lagu ini memenangi kategori ini.

Apa yang diharapkan mungkin tidak akan menjadi kenyataan seandainya lagu Bila Nak Saksi (Spider) dan Hanya Di Mercu (Ayu) diangkat sebagai juara Balada.

Masih ingat lagi kejutan yang berlaku apabila Spider menjulang AJL 2005 menerusi lagu Relaku Pujuk? Itulah yang boleh berlaku dalam AJL.

Untuk kategori Pop Rock pula, ramai yang menantikan sama ada Estranged yang mencipta kejutan tahun lalu mampu mengulangi kejayaan mereka tahun ini menerusi lagu Yang Pernah.

Lagu yang begitu rancak dan berbeza sama sekali dengan lagu Itu Kamu cukup menyerlahkan semangat dan kecintaan empat orang anak muda ini terhadap muzik mereka.

Saingan terdekat yang dilihat mampu memberikan cabaran kepada Yang Pernah adalah Lagu Untukmu yang disampaikan oleh Meet Uncle Hussein.

Lagu ini sebenarnya merupakan ciptaan yang unik, ringkas dan dalam masa yang sama menangkap halwa telinga lantas menjadikan ia mampu dinobatkan sebagai juara Pop Rock.

Kalis Rindu juga tidak kurang hebatnya. Muziknya yang cukup catchy dan ditambah pula dengan gaya persembahan penyanyinya, Elyana menjadikan lagu Kalis Rindu mampu memikat juri untuk memilihnya sebagai juara kategori.

Bagi lagu Bukan Di Sini dan Aku Stacy pula, lagu-lagu ini tidak begitu kuat berbanding tiga buah lagu lain dan mungkin juga harapan untuk memenangi kategori ini agak tipis.

Kesimpulannya, ini hanyalah satu ramalan dan permainan pihak media sahaja tetapi natijahnya, hanya juri yang bijaksana mampu menilai karya yang terbaik untuk diangkat sebagai Juara Lagu.

Apa pun keputusannya kelak, terimalah dengan hati dan minda yang cukup terbuka. Buangkan jauh segala persepsi negatif yang berlegar di minda.

Paling utama, adalah untuk mengangkat dan mengembalikan kegemilangan industri muzik kita agar ia terus bercahaya tanpa ditelan kabus tebal yang membawanya terus hilang daripada pandangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: