Monday, January 19, 2009

Ekin, Memey sasaran kritikan


PERSAMAAN antara Nora Asikin Rahmat atau Ekin dengan Suhaiza Suhaimi atau Memey ialah dua artis muda dan cantik manis ini anak kelahiran Johor dan mereka juga menjadi tumpuan sejak beberapa bulan ini.

Tumpuan diberikan masyarakat tentunya sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi mereka berdua dilemparkan dengan kata-kata yang pastinya begitu menusuk kalbu dan menghiris perasaan Ekin dan Memey serta keluarganya.

Bukan sedikit tohmahan dilemparkan terhadap wanita yang berjaya menambat hati Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi sampaikan gaya pakaiannya ketika melawat kubur bapa Mawi, Pak Atan sebagaimana disiarkan Harian Metro pada 29 Disember lalu turut dikecam hebat.

Media juga dituduh tidak peka dengan pakaian sesuai ketika menziarah kubur.

Dalam kes Memey, pelakon Pasrah ini hebat dikecam bukan saja apabila ditangkap khalwat dengan pelakon Norman Hakim, malah selepas berani tampil dalam program khas yang disiarkan secara langsung menerusi Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 pada Selasa lalu.

Media juga dikecam kerana dikatakan mengangkat wanita yang ditangkap khalwat dan perosak rumah tangga orang ke tahap yang begitu tinggi bukan saja menerusi program khas TV3 yang ditonton jutaan orang, bahkan liputan meluas dan besar-besaran media cetak.

Bagi kes Ekin, perkara itu mungkin disebabkan terlepas pandang hingga terlupa pakaian Ekin menimbulkan rasa kurang senang orang kita.

Berikutan luahan kemarahan pembaca, ruangan Soseh-soseh pada 8 Januari, Bukan salah Mawi, Ekin menjelaskan apa sebenarnya berlaku.

Wartawan dan juru gambar yang bertugas mengaturkan fotografi khas itu punya alasan sendiri.

Ingatkan cerita itu sudah reda, tetapi ketika hadir di majlis pelancaran album terbaru Datuk Siti Nurhaliza, Lantera Timur, Rabu lalu, ada pihak bertanya saya perkara itu.



Saya pun memberi penjelasan sebagaimana dijelaskan wartawan Harian Metro yang bertanggungjawab.



Ekin sebenarnya memang mahu tampil dengan pakaian lebih sesuai dengan berbaju kurung untuk fotografi khas yang sudah diatur sejak beberapa hari sebelum persandingan Mawi dan Ekin pada 28 Disember.

Bagaimanapun, pakaian sesuai semuanya ada di rumah kerana ketika itu Ekin ditemui di hotel.

Mengikut perancangan asal, mereka akan singgah di rumah untuk mengambil pakaian sesuai.

Tapi difahamkan, ramai pemberita sudah menanti Mawi dan Ekin di rumah Mawi dan untuk menjaga nilai eksklusif fotografi itu, mereka tukar pelan asal dan terus ke kubur dengan pakaian yang sedia dipakai. Apa yang berlaku di luar kawalan mereka.

“Memang betul, tetapi Ekin mesti sedar dia menjadi isteri Mawi dan ingin saya ingatkan bahawa Mawi dari mula lagi dikenali dengan imej Islamik. Sebagai isteri Mawi, Ekin perlu ikut imej itu dan bukan hanya sekadar bertudung.

“Saya lihat kini imej Ekin lari dari landasan itu. Sebagai isteri ikon yang punya ramai peminat dari kalangan kanak-kanak hinggalah golongan tua, Ekin perlu tampil lebih sesuai.

“Tapi apa yang berlaku, kemeja-T polo yang dipakai dengan seluar jeans bercawat pendek (low-cut) seolah-olah sudah menjadi pakaian kebiasaan Ekin sejak akhir-akhir ini sebagaimana dipaparkan dalam media. Contohnya ketika memilih cincin di Habib Jewels ataupun menemani Mawi mencuba pakaian kahwin di Lord’s Tailor.

“Tidak cukup dengan itu, sampaikan berkunjung ke kubur pun berpakaian seperti itu. Takkan Ekin langsung tidak mempunyai sepasang baju kurung atau pakaian yang lebih sesuai dan manis dalam bagasinya.

“Apapun, perkara itu sudah berlaku tetapi Ekin dan Mawi harus mengambil iktibar. Untuk masa akan datang, Ekin seharusnya lebih berhati-hati dan lebih bersedia. Tidak ada salahnya kalau Ekin tampil dengan pakaian lebih manis ditambah pula mereka artis yang sentiasa menjadi perhatian,” katanya.

Insan seni yang juga popular dalam industri fesyen Islamik ini berkata, Ekin seharusnya menjadi contoh kepada wanita muda hari ini bagaimana untuk berpakaian sesuai dengan statusnya sebagai isteri dan imej bertudung.

Bagi kes Memey, saya hampir tersedak ketika menjamu selera bersama insan seni yang cukup saya hormati, Jumaat lalu.

Katanya, dia hairan mengapa media mengagung-agungkan Memey yang pernah ditangkap basah.

Sebagai orang media, sudah tentu agak sukar untuk saya memberi penjelasan. Apakah cukup sekadar alasan untuk melariskan jualan akhbar?

Saya hanya mampu membalas kata-katanya itu dengan satu senyuman kelat dan memilih jalan selamat untuk enggan mengulas lanjut.

Buat Memey, nasi sudah jadi bubur, tetapi ada yang kata bubur pun sedap dimakan. Paling penting, dinding ketabahan Memey perlu teguh dan tebal untuk menghadapi segala kecaman itu.

Tapi sejarah tidak boleh diubah dan perlu diterima walaupun pahit.

Dalam usia 20 tahun, Memey bukan saja berani main cinta di belakang dengan suami orang, malah menjadi punca Abby Abadi bergelar janda.

Tapi tidak semuanya pahit kerana Memey mendapat perhatian istimewa media dan sokongan padu keluarganya di kampung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: