Wednesday, January 14, 2009

Kejutan, sejarah manis Golden Globe


MANIS... mALAM TERINDAH BUAT kATE wINSLET APABILA MENERIMA DUA BUAH TROFI.


TIADA apa yang mengejutkan apabila sebuah filem kecil berjiwa besar, Slumdog Millionaire mengungguli kesemua empat kategori yang dicalonkan dalam anugerah Golden Globe Ke-66 yang diadakan di Hotel Beverly Hilton, Beverly Hills, Amerika Syarikat, malam Ahad lalu.

Masakan tidak, sebelum ini, ramai pihak yang menjangkakan dua filem hebat, The Curious Case of Benjamin Button dan Doubt akan menang besar dalam majlis penuh gilang-gemilang itu berdasarkan penerimaan baik terhadap kedua-dua filem berkenaan.

Ternyata, Hollywood kini semakin menghargai karya asing dan jalan cerita serta tema yang ditonjolkan menerusi filem Slumdog Millionaire ternyata menjadi tunjang kekuatan filem ini untuk dinobatkan sebagai Filem Drama Terbaik.

Meskipun, filem berkenaan diarahkan oleh seorang pengarah berkulit putih kelahiran London, Danny Boyle, itu bukan penghalang untuk filem yang memaparkan kehidupan masyarakat India itu diangkat sebagai yang terbaik.

Ini kerana tiada apa yang lebih penting dalam sebuah karya melainkan jalan cerita yang mampu memberikan impak yang besar kepada penonton.

Slumdog Millionaire sebenarnya merupakan sebuah filem yang ringkas iaitu mengenai kisah seorang budak jalanan bernama Jamal Malik yang telah menyertai pertandingan Who Want's To Be A Millionaire? di India.

Uniknya Jamal adalah dia seorang yang buta huruf dan tidak pernah mendapat pendidikan yang sempurna.

Dengan disaksikan jutaan penonton di tempat kelahirannya, dia menjadi perhatian kerana kebijaksanaannya menjawab soalan sehinggalah dia berjaya ke soalan terakhir untuk dinobatkan sebagai jutawan.

Sebelum dia mengecapi saat manis itu, dia telah ditahan oleh pihak polis yang mengesyaki dia telah melakukan penipuan dalam pertandingan tersebut.

Namun, Jamal menafikan dakwaan itu dengan mengatakan setiap soalan yang dijawabnya merupakan rentetan daripada pengalaman kisah hidupnya di sebuah perkampungan yang penuh sesak dengan manusia bersama abangnya.

Terpahat sejarah

Bukan itu sahaja, dia turut menceritakan kisah tentang bagaimana dia kehilangan seorang gadis bernama Latika yang amat dicintainya sejak sekian lama dan kerana itu, ia menjadi pendorong buat Jamal untuk menjawab segala soalan dalam pertandingan itu.

"Penghargaan yang diterima ini membuktikan karya sekecil ini berjaya mendapat tempat di industri yang begitu gah. Ia benar-benar membuatkan kami dihargai dan terima kasih kerana memberikan kemenangan kepada kami," kata Danny Boyle sewaktu berucap menerima anugerah Pengarah Terbaik.

Selain itu, Slumdog Millionaire turut menerima dua buah anugerah lagi untuk Lakon Layar Terbaik untuk Simon Beaufoy dan Skor Muzik Asal Terbaik bagi pengarah muzik terkenal India, A.R. Rahman.

Dengan kemenangan itu, Slumdog Millionaire telah mengetepikan empat calon lain untuk dinobatkan sebagai Filem Drama Terbaik iaitu The Curious Case of Benjamin Button, Frost/Nixon, The Reader dan Revolutionary Road.

Malah, Slumdog Millionaire juga dilihat sebagai calon utama untuk merangkul gelaran Filem Terbaik pada Oscar yang akan berlangsung bulan depan.

Golden Globe Ke-66 sudah pasti akan terpahat sejarah tersendiri buat pelakon kelahiran England, Kate Winslet apabila menjadi pelakon pertama yang memenangi dua kategori lakonan dalam satu majlis.

Dia memenangi kategori Pelakon Filem Wanita Drama Terbaik untuk filem Revolutionary Road dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem The Reader.

Sebelum ini, Kate telah dicalonkan sebanyak lima kali sejak tahun 1996 dan begitu juga dengan lima pencalonan Oscar. Namun, dia tidak pernah menggenggam anugerah yang menjadi idaman ramai itu.

"Adakah ini benar-benar terjadi? Adakah saya bermimpi? Sepanjang hidup saya, inilah kenangan yang paling manis untuk saya dan tidak pernah saya menjangkakan untuk memenangi dua anugerah dalam satu malam

"Sudah pasti saya mahu mengucapkan terima kasih buat suami saya kerana mengarahkan filem yang begitu bagus dan sudah tentu untuk rakan baik saya, Leonardo DiCaprio yang memberikan lakonan yang hebat dalam filem ini," katanya dalam nada yang cukup terharu.

Revolutionary Road diarahkan oleh Sam Mendes yang juga menyaksikan Kate berganding sekali lagi dengan Leonardo 10 tahun selepas filem Titanic.

Untuk kategori Pelakon Filem Wanita Drama Terbaik dia berjaya menewaskan calon kegemaran, Meryl Streep yang memberikan lakonan cemerlang dalam filem Doubt dan Anne Hathaway (Rachel Getting Married).

Bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula, dia telah menghampakan harapan empat calon lain iaitu Amy Adams dan Viola Davis bagi filem Doubt, Penelope Cruz (Vicky Cristina Bercelona) dan Marisa Tomei (The Wrestler).

Golden Globe kali ini juga mempamerkan kejutan apabila pelakon veteran, Mickey Rourke dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Drama Terbaik menerusi filem The Wrestler.

Sebelum ini, nama Sean Penn telah disebut-sebut untuk membawa pulang anugerah keramat itu berdasarkan lakonannya sebagai Harvey Milk dalam filem Milk.

Ini juga merupakan kali pertama pelakon ini dicalonkan sejak menceburkan diri dalam bidang seni hampir tiga dekad yang lalu.

"Untuk sampai ke hari ini, ia merupakan satu perjalanan yang cukup panjang dan untuk melibatkan diri dalam filem sehebat The Wrestler, ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan. Tanpa pengarahnya, Darren Aronofsky tidak mungkin saya akan dapat membawakan watak ini," katanya.

Seperti yang dijangka, kemenangan turut berpihak kepada mendiang Heath Ledger apabila pelakon itu memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi watak The Joker yang dibawakannya dalam filem The Dark Knight.

Pengarah filem The Dark Knight, Christopher Nolan menerima anugerah berkenaan bagi pihak Heath.

Kemenangan Heath juga mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya watak yang diadaptasi daripada komik memenangi anugerah berprestij ini.

Sebelum ini, pelakon handalan, Jack Nicholson yang membawakan watak yang sama pernah dicalonkan untuk kategori Pelakon Lelaki Komedi atau Muzikal Terbaik menerusi filem Batman pada tahun 1990.

"Kami cukup bertuah kerana dapat bekerja dengan Heath sebelum dia menutup mata. Ternyata, persembahannya dapat diterima baik oleh semua pihak di seluruh dunia. Kemenangan ini juga sebenarnya membuka mata banyak pihak tentang erti sebuah lakonan," ujar Christopher.

Dengan kejayaan itu, peluang Heath dicalonkan untuk Oscar dan seterusnya memenanginya amat cerah sekali.

Dalam sejarah penganjuran Oscar, hanya seorang sahaja pelakon yang menerima Oscar selepas kematiannya iaitu Peter Finch yang memenangi Pelakon Lelaki Terbaik pada tahun 1976 untuk filem Network.

Bagi kategori televisyen pula, siri drama Mad Men mengungguli kategori Siri Drama Televisyen Terbaik manakala 30 Rock membawa pulang anugerah Siri Komedi atau Muzikal Televisyen Terbaik.

Bukan itu sahaja, pelakon lelaki dan wanitanya iaitu Alec Baldwin dan Tina Fey masing-masing mengungguli Pelakon Televisyen Lelaki dan Wanita Siri Komedi atau Muzikal Terbaik.

Pengarah tersohor Hollywood, Steven Speilberg pula menerima anugerah pencapaian seumur hidup, Cecil B. DeMille atas sumbangannya dalam industri perfileman Hollywood.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: