![]() Melissa Saila |
AGAKNYA, tahun 2009 ini memang membawa tuah kepada ramai selebriti wanita kita. Yalah, lepas seorang, seorang disahkan hamil dan bakal menimang cahaya mata. Cik Normah juga yang menunggu-nunggu, bila agaknya Cik Normah hendak mengandung. Bimbang juga kalau lama-lama tak ada anak, nanti suami cari lain. Tapi Cik Normah percaya, suami Cik Normah memang lelaki setia.
Bercerita fasal artis mengandung, Cik Normah teringat pada Sharifah Aleya, Liza Hanim, Dynas, Sasha Saidin, Rosma dan beberapa lagi selebriti wanita yang kini disahkan berbadan dua. Termasuk dalam kategori ibu hamil ketika ini ialah seorang lagi pelakon teater muzikal P Ramlee, Melissa Saila.
Khabarnya kini wajah Lis berseri-seri setelah mengandungkan anak ketiga. Eloklah tu Lis, dua anak Lis, si Zain dan Noor pun sudah besar. Zain sudah berusia dua tahun, manakala Noor yang sulung pula empat tahun. Cantik betul anak sulungnya, macam Lis sendiri. Esok bila sudah besar, pasti popular macam ibu atau neneknya, Mariani.
Apabila teringat cerita kedua-dua bintang muzikal P Ramlee ini hamil, Cik Normah terfikir sendiri. Nasib baiklah Enfiniti tidak membawakan kembali muzikal bintang legenda berkenaan pada tahun ini. Jika tidak, susah juga apabila dua pelakon terbabit terpaksa tampil dengan badan yang mungkin agak berisi.
Pada Februari ini, Enfiniti mementaskan semula teater muzikal Puteri Gunung Ledang. Kiranya, kini tiba masa Datin Seri Tiara Jacquelina menghangatkan pentas Istana Budaya sebagai puteri yang bukan saja jelita, tetapi pandai pula menari dan menyanyi. Cik Normah sendiri rasa macam hendak menonton sekali lagi.
Dalam pada itu, hampir terlupa, pelakon drama Balkish Semundur Khan pun sudah disahkan mengandung sebulan. Pelakon itu yang dramanya, Laila Majnun sedang disiarkan di TV3 dan TV9 ada menghantar SMS kepada kawan sepejabat Cik Normah baru-baru ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: