|
PENGAKUAN Ako Mustapha atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha, 37, yang dia sudah bersedia menelusuri budaya hidup isterinya, Kartina Shuaib Abdullah, 27, dibuktikan pada majlis persandingan dan jamuan makan malam bersama keluarga dan tetamu jemputan, lapan jam selepas diijabkabulkan, Sabtu lalu. |
Ako tidak kekok menari ‘igal-igal’ iaitu warisan masyarakat Bajau biarpun hanya mempelajarinya kurang sejam. Gerak-geri jari jemarinya dan gerakan badan tidak ubah seperti seorang penari tarian tradisi keluarga isterinya.
‘Igal-igal’ adalah tarian wajib pada majlis persandingan pengantin berketurunan rumpun Bajau terutama etnik Tausug, Simunul dan Ubian. Rumpun Bajau meliputi lebih 10 etnik yang mempunyai seni dan budaya tersendiri.
Malah ketika isterinya menyampaikan kata-kata aluan kepada tetamu dalam bahasa Inggeris, dia meminta supaya berkomunikasi dalam bahasa Bajau.
Ako juga sempat mengungkapkan perkataan Bajau etnik Simunul, ‘Magsukul sabab kam takka kamemon (terima kasih atas kehadiran semua) dan ‘Pitu kam mangan kitam mag bea-bea’ (Mari kita menjamu selera bersama-sama).
Entah berapa lama pelakon siri drama Kapten Boleh yang disiarkan menerusi Astro Ceria itu menghafal dialog itu, tidak dapat dipastikan tapi yang jelas sebutannya memang tepat.
Tampan mengenakan tuksedo hitam manakala isterinya bergaun putih, kedua-dua pasangan yang ceria sepanjang majlis ternyata sentiasa mesra dan sepadan.
Majlis persandingan dan jamuan makan malam berkonsepkan tradisional menampilkan budaya Bajau dan Tagalog iaitu gabungan budaya bapa Kartina, Shuaib Abdullah dan ibunya, Shantanina Abdullah.
Hadir sama, ibu bapa Ako, Ahmad Mustapha Mad Hassan dan Normah Osman serta pengarah filem terkenal, Afdlin Shauki. Majlis yang diuruskan pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo itu hanya membabitkan keluarga terdekat dan orang tertentu saja manakala persandingan sebelah pihak lelaki diadakan pada Mei.
Malam kelmarin, satu majlis resepsi diadakan di Hotel Sanbay, Sandakan dengan konsep Kadazandusun dan Suluk, gabungan kebudayaan ibu bapa Kartina.
Ako yang pernah putus tunang dengan Halina Ali sebelum ini diikuti putus kasih dengan Jue Aziz mengakui, tertarik dengan Kartina kali pertama berjumpa. Katanya, senyuman Kartina membuat dia tertawan dan suka melihatnya bercakap dengan penuh ekspresi.
“Di situ sudah nampak kejujurannya. Semakin mengenalinya, saya tahu dia wanita yang tepat untuk disunting sebagai isteri.
“Apa yang lebih membanggakan saya, sebelum kami menjalin hubungan lebih serius saya pernah membawanya berjumpa orang tua saya. Ternyata dia tidak kekok melayan mereka walaupun kali pertama berjumpa. Malah semua mak cik saya sukakannya. Dia pandai membawa diri dan saya lega semua orang menerima baik kehadirannya,”
katanya.
Pasangan itu diijabkabulkan Imam Kariah Masjid Taman BDC, Sandakan, Sarahan Ar Bain di kediaman keluarga Kartina di Taman Mawar, Sandakan, Sabtu lalu. Kartina berwalikan ayahnya, Shuaib Abdullah dan bersaksikan bapa saudaranya, Alasi Sansuat.
Mengenai cahaya mata, pasangan bahagia yang mengidamkan bunting pelamin itu mahu dikurniakan lima anak. Malah Kartina mengakui tidak sabar menimang cahaya sebagai hadiah paling berharga kepada suami tersayang.
Demi cintanya kepada suami, Kartina sanggup mengorbankan kerjaya sebagai perunding kecantikan kerana mahu menumpukan perhatian kepada Ako dengan bertindak sebagai pembantu peribadi dan pengurus.
Sebagai tanda keikhlasan cintanya, Kartina tidak meletakkan sebarang wang hantaran ketika majlis pernikahan mereka sebaliknya hanya meminta mas kahwin RM100 serta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
Tujuh dulang hantaran Ako meliputi sirih junjung, cokelat, beg jenama Louis Vuitton, alat solek Bobbi Brown, telekung dan batik, set barangan kemas rantai dan gelang jenama Habib Jewels, cincin perkahwinan dan persalinan.
Kartina pula membalas dengan sirih junjung, buah-buahan, cokelat jenama Patchi, kek, senaskhah al-Quran, satu persalinan dilengkapi baju jenama Ferragamo, dompet dan sapu tangan, sebentuk cincin berlian dan emas putih jenama Habib Jewels, wangian jenama Bvlgari dan play station.
Hantaran kedua-dua pasangan adalah barangan kegemaraan mereka terutama Ako yang mengikut kata Calvin, sukar hidup tanpa play station.
Mengenai perkenalan, kedua pasangan mengakui berkenalan pada majlis hari jadi seorang kawan mereka di Kuala Lumpur sekitar Januari 2007. Mereka bertunang 1 Januari tahun lalu dan sepakat menetapkan Oktober lalu untuk melangsungkan perkahwinan tetapi ditunda kepada 17 Januari kerana ibu bapa Kartina menunaikan fardu Haji di Makkah.
Mereka juga belum menetapkan destinasi bulan madu kerana pada 21 Januari ini Ako kembali ke lokasi untuk menyudahkan penggambaran Kapten Boleh yang sepatutnya selesai Disember lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: