MARANG - Banjir yang melanda daerah ini memberi rezeki lumayan  buat penduduk di beberapa kampung antaranya Kampung Pengkalan Berangan, Tanah Lot Kubu, Bukit Jetit, Air Putih dan beberapa kampung lain.
Ini kerana spesies ikan darat seperti ikan keli kini menjadi buruan kerana mereka mampu meraih pendapatan sehingga mencecah RM200 sehari apabila ternakan yang ditangkap itu mampu dijual pada harga sekitar RM12 sekilogram.
Ketika orang lain sibuk memindahkan barang-barang milik mereka, pemburu ikan ini pula mengambil peluang memasang jaring di kawasan rumah, sawah, semak dan ladang tanaman yang dinaiki air.
Malah sejak awal pagi lagi mereka sudah keluar untuk menangkap spesies ikan darat itu.
Selain ikan keli, antara ikan yang berjaya ditangkap oleh penduduk terbabit ialah ikan puyu, sepat, haruan, lampam dan belut.
Menariknya, hanya bermodalkan jaring, beberapa penduduk kampung yang mencuba nasib di kawasan ditenggelami air banjir akhirnya membuahkan hasil lumayan kerana bukan sahaja ikan darat itu boleh dijadikan lauk malah boleh dijual.
Peroleh lima kilogram ikan keli
Tinjauan Sinar Harian di Kampung Pengkalan Berangan di sini, semalam mendapati ada sebuah keluarga yang memasang jaring di kawasan ladang kepala sawit yang dinaiki air berdekatan laluan utama untuk menangkap ikan keli.
Awang Mohamad, 57, berkata, dia memasang lapan rawan jaring pada setiap pagi sejak banjir melanda dan mampu memperoleh kira-kira lima kilogram ikan keli bagi setiap rawan jaring yang dipasang di kawasan itu.
Bapa 13 anak itu berkata, dia turut dibantu beberapa ahli keluarganya untuk menangkap pelbagai jenis ikan darat, namun hanya ikan keli akan dijual manakala ikan jenis lain yang berjaya ditangkap akan disimpan untuk dimakan.
"Masa musim banjir saja saya akan pasang jaring di kawasan dinaiki air terutama di kawasan ladang kelapa sawit ini.
"Waktu banjirlah kami dapat raih pendapatan. Sekilogram ikan keli dijual dengan harga RM12 sekilogram dan saya mampu tangkap 20 hingga 30 kilogram keli sehari, dapatlah lebih RM200 sehari," katanya kepada Sinar Harian.
Awang yang juga dikenali sebagai Awang Misai Merah itu berkata, setiap empat jam sekali dia akan melihat semula jaring sepanjang lebih kurang 10 meter dipasang di kawasan ladang kelapa sawit di sekitar kampung berkenaan.
"Ikan keli yang ditangkap biasanya akan dijual di Pasar Awam Pengkalan Berangan dengan harga lebih murah" katanya.
Jaring ikan untuk dijadikan lauk
Sementara itu, di Kampung Tanah Lot Kubu, sekumpulan pemuda turut tidak melepaskan peluang menjaring ikan.
Shafiq Che Ghani, 22, berkata, mereka menjaring pelbagai spesies ikan darat pada musim banjir hanya untuk dijadikan lauk.
"Kami tahan jaring sekadar suka-suka. Hasil tangkapan boleh dijadikan lauk kami sekeluarga.
"Kalau ada lebih, ada permintaan baru kami jual kepada penduduk," katanya.
Menurutnya, aktiviti itu diketuai rakannya, Abdul Salam Mat Johari, 22, dan mereka bergilir-gilir turun ke kawasan ladang kelapa sawit yang dinaiki air untuk menahan beberapa rawan jaring sebelum mengangkatnya semula beberapa jam kemudian.
Bekas pelajar politeknik di Dungun itu berkata, aktiviti itu hanya dilakukan sebagai aktiviti sampingan ketika musim tengkujuh melanda kerana mereka tidak dapat melakukan aktiviti lain sekali gus dapat memenuhi masa yang terluang
.