Sunday, June 2, 2013

Versi ketiga Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman


TENAGA penting Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Sabri Yunus (kiri) dan Wan Hanafi Su (kanan).


SEBUAH naskhah besar yang pernah mencandukan pembacanya, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (HHTSS) sejujurnya telah berada di tangan karyawan yang selayaknya. Skrip adaptasi novel nukilan Sasterawan Negara ke-10, Dr. Anwar Ridhwan itu sudah 20 kali dipentaskan dalam versi teater sejak awal tahun 1984.
Dahulu, di tangan Datuk Johan Jaaffar yang ketika itu masih muda, pementasan HHTSS pernah dianggap antara pementasan teater terbaik sekitar tahun 1980-an. Ketika itu pemeran watak utama sebagai Pak Hassan dilakonkan oleh Wan Hanafi Su manakala Sabri Yunus diberikan watak Pak Hassan semasa muda.
Tahun 2013, di bawah arahan bekas pelakon teater itu sendiri Sabri Yunus, HHTSS diadaptasikan pula daripada skrip drama pentas ke versi supertelefilem.
Novel HHTSS merupakan pemenang Hadiah Pertama Sayembara Menulis Novel Yayasan Sabah-Gapena 1979.
“Sebelum ini ada ura-ura naskhah itu hendak diangkat menjadi filem digital tapi beberapa kekangan tak dapat dielakkan. Saya cukup gembira apabila pihak Astro memasukkan HHTSS ke saluran Astro Best.
“Jika selama ini pembikin lain membuat adaptasi daripada novel ke drama atau filem, saya pula lebih selesa menganggap supertelefilem HHTSS ini sebuah karya yang diadaptasi daripada skrip teater ke drama TV,” jelas Sabri yang sengaja kembali ke negeri asal Pak Hassan dan tanah kelahirannya sendiri di Kelantan untuk penggambaran drama itu dua tahun lalu.
Mengekalkan kisah Pak Hassan, sang penglipurlara pada hujung usia, di tangan pengarah Sanggul Beracun dan Parut Asyikin itu, HHTSS turut diberi terjemahan peribadi oleh Sabri.
“Saya tidak mahu menjadi sekejam penulis novel berkenaan,” jelas Sabri saat disoal tentang penghujung cerita yang memberi sedikit kejernihan kepada kehidupan keluarga Pak Hassan, Senah dan Mat Junuh yang cukup tragis itu.
Diterbitkan oleh Balang Rimbun Sdn. Bhd., drama yang diberi taraf supertelefilem tersebut masih mengekalkan dua pemegang watak asal versi teater iaitu Wan Hanafi Su sebagai Pak Hassan dan Bohari Ibrahim sebagai Paman Bahari.
“Sebenarnya saya ada satu rahsia. Saya tidak membuat banyak persediaan untuk watak Pak Hassan kali ini. Alasan saya, Pak Hassan itu sendiri sudah sebati dalam diri saya.
“Dulu saya masih muda, berusia sekitar 30-an untuk menjadi Pak Hassan yang telah tua, sekarang saya tidak perlu membuat perubahan terhadap bentuk karakter itu,” beritahu Wan Hanafi Su yang dipuji Johan Jaaffar dalam satu diskusi usai pratonton HHTSS di Finas, Isnin lalu.
“Saya menikmati buah tangan Sabri Yunus ini dengan rasa bahagia, saya menghormati kerja Sabri dan saya juga kagum dengan lakonan yang ditunjukkan oleh setiap pelakon HHTSS. Kegilaan Wan Hanafi Su nampaknya semakin bertambah,” ujar Johan.
Mencelah dari kerusi panel diskusi di Auditorium P. Ramlee, Finas itu, Sabri pula menyahut:
“Saya tidak banyak mengarahkan pelakon-pelakon saya. Mereka mengalir bersama karakter. Kepada Wan Hanafi, saya kata saya mahu dia jadi Pak Hassan Sabri Yunus, bukan Pak Hassan Johan Jaaffar.”
Turut dibintangi Zulhuzaimy Marzuki, Mardiana Alwi, Nam Ron, Amerul Affendi dan Hushairy Hussain, HHTSS boleh ditonton menerusi saluran Astro Best bermula 1 Jun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: