Sunday, June 2, 2013

Tokak, filem kedua Sabree Fadzil


FILEM Tokak yang menelan belanja RM1.5 juta ini menampilkan genre seram komedi.


DALAM sebutan bahasa pasar orang utara, tokak bermaksud gigit. Perkataan itu juga yang melatari filem seram komedi yang bakal menemui penonton mulai 20 Jun ini.
Tokak menampilkan jelmaan hantu puaka yang kemaruk menghisap darah gadis-gadis muda yang melakukan noda dan dosa.
Produser serta Pengarah Urusan MAR Energetic Industries Sdn. Bhd., Datuk Marina Mahammad mengambil langkah berani apabila meletakkan wajah-wajah kurang popular sebagai taruhan filem arahan pelakon Sabree Fadzil ini. Sabree sebelum ini pernah mengarahkan sebuah filem iaitu Datih Ghairah.
Namun melihat Tokak berbeza daripada kisah jembalang lain di layar perak sebelum ini, naskhah ini diperjuangkan.
Filem Tokak yang menelan belanja RM1.5 juta menjalani penggambaran di sekitar Kemensah di Hulu Klang, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan.
Agak lama tidak muncul di layar perak, Sabree bukan sahaja mengarah bahkan turut beraksi. Selain Sabree sebagai Iskandar, Tokak menampilkan Airis Yasmin, Diana Johor, Faiz (Raja Lawak 4), Julia Ziegler, Abon, Keena (Mentor 3), Kazar, Lana Nordin, Latip Borgiba, Mikael Andre, Shuba Jay, Zainal Fitri, Ben Kanobi, Yusrizal, Isha MJ dan Zul Saila.
Sekalipun tanpa pelakon dikenali ramai, Marina mahu membuktikan popular atau tidak, itu bukanlah penentu kejayaan sesebuah filem.
“Lakonan berkesan disokong pengolahan cerita yang menarik menjadi penyelamat sesebuah filem. Saya yakin dengan kemampuan Sabree selaku sutradara.
“Di samping memberi ruang kepada pelakon berpengalaman sepertinya menduduki kerusi sutradara, saya percaya Sabree tahu hala tuju ketika berkarya.
“Sabree bukan orang baharu dalam industri filem, dia pernah membina nama sebagai pelakon hebat dan menerima anugerah.
“Saya dan Sabree tinggal berjiran di Gombak sejak 35 tahun lalu. Kadangkala kami bersama jiran lain melepak di kedai kopi. Di situ timbulnya idea apabila Sabree mengatakan beliau mempunyai skrip filem seram komedi.
“Saya fikir apa salahnya memberi peluang kepadanya,” ujar Marina yang setuju dengan idea Sabree untuk meletakkan nama-nama pelakon kurang popular ke dalam Tokak.
“Kita seharusnya memberikan ruang kepada mereka. Sekurang-kurangnya kita dapat menilai bakat terpendam mereka. Saya sanggup mengambil risiko ini untuk filem saya kerana percaya rezeki di tangan Tuhan.
“Alhamdulillah, Tokak dapat disiapkan dalam tempoh yang dirancang,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.
Menyentuh mengenai Tokak, Marina berkata ia filem seram komedi ringan dan santai yang sesuai ditonton seisi keluarga.
“Saya lebih suka mengambil pendekatan menyajikan filem yang mengikut kehendak penonton. Saya melihat filem seram komedi menjadi pilihan penonton, mereka menolak filem berat dan memerlukan berfikir, apatah lagi apabila ditonton bersama kanak-kanak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: