Sunday, June 2, 2013
Meraikan inspirasi dan semangat P. Ramlee
PERENGGAN akhir tulisan seorang pelakon yang juga penulis Mohd. Kamarulzaman atau lebih sebagai Che Kem menerusi blognya ngadapseni.blogspot.com berbunyi begini: “Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pergi dalam miskin, dihina dan tidak dipeduli. Namun beliau meninggalkan kita kemewahan ilham dan pengajaran dalam 360 buah lagunya dan 66 buah filemnya.
“Kita putar, kita dengar, kita hanyut, kita happy, kita ubah dan olah, kita adaptasi, kita kutip dan petik, kita ulang dan ulang karyanya, kita tak bosan walau seribu kali mengulangnya.”
Membaca sepintas lalu kemudian mengalirkan pandangan itu kepada sebuah acara seni, Anugerah Tribute P. Ramlee (ATP) yang akan berlangsung pada 7 Jun ini, barangkali ada banyak konotasi yang boleh kita temui. Satu daripadanya sudah tentu tarikh itu mengheret semula ingatan khalayak terhadap kehilangan besar yang berlaku pada 29 Mei 40 tahun lalu. Tahun ini genap empat dekad P. Ramlee meninggal dunia. Ketika menghembuskan nafas terakhir, beliau baru berusia 44 tahun.
Seniman agung P. Ramlee telah meninggalkan karya beliau sebagai khazanah seni untuk anak bangsa. Ia melangkau zaman dan kekal relevan untuk diterjemahkan walaupun berubah bentuk dan bahasa karya itu sendiri.
Beberapa hari sebelum berlangsungnya ATP yang buat julung kalinya diadakan nanti, Panggung Sari, Istana Budaya terlebih dahulu bergema indah dalam nada dan melodi lagu-lagu P. Ramlee yang digubah ke dalam Konsert Ekstravaganza P. Ramlee Jamal Abdillah yang bermula 30 Mei hingga 2 Jun.
Seperti pandangan Che Kem, bahawa P. Ramlee itu meninggalkan kita kemewahan ilham dan pengajaran dalam 360 buah lagunya dan 66 buah filem beliau. Hari ini, setiap karya P. Ramlee itu mampu berkembang dan membiakkan sejuta warna. Ia bahkan masih membuka ruang untuk anak-anak seni hari ini mencorakkan keseniman mereka mengikut kreativiti dan kehendak masing-masing.
Anugerah Tribute P. Ramlee yang diperkenalkan Suhan Movies dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) memilih 10 buah telefilem yang diadaptasi daripada 10 buah lagu P. Ramlee. Telefilem yang dibikin oleh antara 10 orang pengarah terbaik Malaysia itu dipertandingkan dalam sebanyak sembilan kategori.
Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Skrip Terbaik, Telefilem Terbaik, Videografi Terbaik serta Penampilan Istimewa Terbaik.
Antara 10 telefilem yang dicalonkan menerusi slot Tribute P. Ramlee yang mula disiarkan sejak 4 November 2012 hingga 6 Januari 2013 ialah Tunggu Sekejap arahan Along Kamaluddin, Getaran Jiwa (Michael Ang), Miang Buluh Keladi Birah (Bade Azmi), Di Mana Ku Cari Ganti (Osman Ali) dan Siapa Tipu Siapa (Aziz M. Osman).
Tidak ketinggalan telefilem bertajuk Jodoh Kita (Ismail Yaakob), Titisan Kasih (Rashid Sibir), Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah), Hanya Dikau (Amie Maziah) dan Selagi Cinta Berzikir (Erma Fatima).
“Anugerah julung kali diadakan ini berbeza dengan majlis anugerah sebelum ini. Ia bukan sekadar majlis hiburan tapi wadah penerbitan yang akan digarap dengan cara luar biasa.
“Telefilem yang diarahkan oleh pengarah hebat tanah air ini sudah ditayangkan pada slot Tribute P. Ramlee. Tajuk filem ini diambil dari lagu-lagu P. Ramlee,” katanya pada sidang media Anugerah Tribute P. Ramlee, Selasa lalu.
Bertemakan Sinema Classic, malam Pasca Glamor dimulakan dengan acara karpet merah yang dikendalikan Muaz dan Sazzy Falak. Pemenang setiap kategori pada malam itu akan membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai bernilai RM5,000. Antara karya yang dipertandingkan:
Telefilem Tunggu Sekejap
Pengarah: Along Kamaluddin
Pelakon: Fizo Omar, Eira Syazira, Nasil Bilal Khan dan Hasnol Rahmat
Komen pengarah: “Rasanya ini satu penganjuran yang bagus yang berlaku dalam industri penerbitan drama tanah air. Pertama sekali ia bagus kerana satu tribute buat legenda seni tanah air tetapi mengikut kaedah yang dimodenkan seiring dengan suasana semasa.
“Untuk drama saya yang bertajuk Tunggu Sekejap, saya bercerita tentang pesanan seorang jejaka untuk kekasihnya. Dia mahu membuktikan kepada bapa kekasihnya bahawa dia juga mampu menjadi manusia yang berjaya dan kaya-raya.
“Jadi Tunggu Sekejap itu adalah pesanan si jejaka tadi kepada kekasih dan bapa kekasihnya, ceritanya banyak konflik namun saya tidak menaruh harapan tinggi untuk menang memandangkan sembilan pengarah lain semuanya cukup besar bahkan pemenang anugerah pengarah terbaik sebelum ini. Tunggulah sekejap, 7 Jun nanti barulah kita tahu siapa pemenang yang layak. Bagi saya, diberi peluang untuk tribute ini pun sudah cukup bernilai.”
Telefilem Getaran Jiwa
Pengarah: Micheal Ang
Pelakon: Izzue Islam, Amar Asyraf, Amar Bahrin, Marsha Milan Londoh dan Seniwati Mariani
Komen pengarah: “Apa yang diusahakan oleh RTM dan Suhan Movies luar biasa berbanding penganjuran majlis anugerah lain. Ia membuka peluang kepada karyawan untuk menonjolkan kebolehan dengan sepenuh kreativiti. Sebagai pengarah, peluang itu harus disahut sepenuhnya kerana ia juga satu sumbangan kepada legenda negara. Bukan tahun ini sahaja, mungkin acara ini boleh dikembangkan lagi menjelang tahun-tahun akan datang.
“P. Ramlee berkarya untuk semua bangsa itu yang saya cuba buat tapi masih tak dapat. Dalam Getaran Jiwa, saya seboleh-bolehnya cuba lari daripada konflik kekeluargaan tapi memilih tema persahabatan. Ia memaparkan empat sahabat yang bercita-cita menjadi pemuzik di kota. Setibanya di kota, mereka berpecah kerana mengikut haluan masing-masing. Saya wujudkan watak perempuan tua lakonan Seniwati Mariani sebagai pemuzik jalanan. Wanita itu yang akan menyatukan empat sahabat tadi.
“Memandangkan saya orang baharu dalam industri, saya tidak perlu menyimpan hasrat untuk menang besar. Tapi dalam hati saya, saya berharap lakonan Marsha dan Mariani akan mendapat perhatian juri. Watak Mariani bukan sekadar pengisi ruang kosong tapi beri impak kepada keseluruhan cerita.”
Telefilem
Hanya Dikau
Pengarah: Amie Maziah
Pelakon: Seniwati Mariani, Melissa Saila, Datuk Rahim Razali, Maimon Mutalib, Kamal Adli dan Elly Mazlein
Komen pengarah: Bagi saya tribute yang sebenar-benarnya untuk budayawan dan seniman agung itu tidak sekadar menggubah sesebuah lirik lagu beliau menjadi drama atau filem. Semangat cerita, pelakon dan visual yang dipaparkan juga perlu disempurnakan. Itu bayangan tribute dan pendekatan yang saya gunakan sebagai inspirasi untuk Hanya Dikau. Saya memperincikan konsep tribute itu dalam banyak aspek seperti pemilihan pelakon, lokasi, penceritaan dan kostum.
“Hanya Dikau masih bergolak tentang cinta antara dua darjat. Sengaja saya pilih penceritaan yang sebegitu kerana itu juga antara persoalan yang sangat dekat dengan P. Ramlee. Sama ada ia boleh dikesan oleh penonton atau juri, itu terpulang. Bagi saya, nilai trofi untuk anugerah ini cukup mahal. Mahalnya kerana kami menjadi menjadi pengkarya yang terpilih dan diberi kepercayaan untuk menyumbang penghargaan mengikut kreativiti tanpa had untuk Anugerah Tribute P. Ramlee ini sendiri.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: