Sunday, June 2, 2013

Tradisi istimewa jamuan teh dan kek diraja



SUASANA di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur sepanjang minggu ini meriah dengan ketibaan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang disambut secara rasmi pada hari ini.
Pelbagai acara diatur bagi meraikan hari penuh bersejarah kepada Seri Paduka Baginda dan seluruh rakyat Malaysia. Hari ini, berlangsungnya istiadat penganugerahan darjah kebesaran kepada beberapa penerima terpilih.
Ironinya, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong disambut secara rasmi pada setiap hari Sabtu pertama bulan Jun tanpa mengambil kira tarikh hari keputeraan sebenar mana-mana Sultan atau Raja-Raja Melayu yang sedang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.
Begitupun, pengisian acara kebesaran melibatkan protokol masih dilaksanakan dan mengikut panduan yang sama pada setiap tahun. Majlis persembahan kek dan Jamuan Teh Diraja antara acara tradisi yang masih diteruskan dari tahun ke tahun setiap kali menjelangnya Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, Kosmo! berpeluang mengikuti raptai penuh bagi Jamuan Teh Diraja yang bakal berlangsung esok (Ahad) pada pukul 3 petang hingga 5 petang. Meskipun majlis tersebut berkonsep santai, namun protokol dan pergerakan acara masih mengikut istiadat dan berjalan secara teratur.
Dewan Santapan Istana Negara baharu itu bakal dipenuhi jemputan dalam kalangan orang kenamaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Dianggarkan kira-kira 3,000 tetamu bakal menghadiri jamuan tersebut.
Di sebalik kesibukan persiapan Jamuan Teh Diraja itu, barangkali ramai yang tertanya-tanya, siapakah yang bertanggungjawab di sebalik juadah yang dihidangkan kepada para jemputan?
Antara pihak yang terlibat menyediakan juadah bagi Jamuan Teh Diraja itu ialah Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Selama lebih 20 tahun hotel tersebut terlibat secara langsung dalam penyediaan hidangan jamuan tersebut.
"Selama kami menjayakan Jamuan Teh Diraja ini, konsep yang ditetapkan selalunya ditentukan menerusi kombinasi cadangan pihak hotel dan permintaan daripada pengurusan Istana Negara.

KEK berbentuk kereta api antik hasil kreatif Hotel The Zone Regency, Johor Bahru antara kek kreatif yang disaksikan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.


"Menyediakan hidangan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong sering menjadi kebanggaan kami. Setiap persediaan yang kami lakukan untuk majlis ini dijalankan dengan teliti," ujar Pengarah Komunikasi Kawasan, Hotel Shangri-La, Datuk Rosemarie Wee.
Difahamkan, Shangri-La bakal menyajikan hidangan berupa sate ayam dan daging, pelbagai jenis dim sum, daging wagyu teriyaki, spageti olio makanan laut, creme brulee mini dan kek keju vanila Perancis mini.
Sambil barisan tentera segak berbaris di luar pintu utama Dewan Santapan, raptai Jamuan Teh Diraja kemudiannya diisi dengan dendangan lagu Negaraku yang berkumandang megah di segenap dewan.
Pada hari esok, seperti yang dimaklumkan, para jemputan akan turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi senior, Nassier Wahab.
Persembahan 25 kek
Sementara itu, pada 29 Mei lepas, telah berlangsung majlis persembahan kek sempena hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda. Sebanyak 25 kek mengisi ruang legar Dewan Santapan, Istana Negara yang datangnya daripada hotel dan beberapa syarikat gergasi tanah air.
Pelbagai bentuk dan dekorasi kek disajikan buat tatapan Seri Paduka Baginda yang turut ditemani Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada acara tahunan tersebut.
Antara yang mencuri tumpuan ialah kek bertema kampung hasil kerja keras pasukan pastri daripada Hotel Maya, Kuala Lumpur. Kek yang mencecah berat hampir 50 kilogram (kg) itu memakan masa selama dua minggu untuk dihasilkan.
Enam buah rumah kampung kayu dibentuk menggunakan coklat dan diukir halus pada bahagian atapnya bagi menambah sentimen desa pada pemanis mulut itu.
"Pokok-pokok kelapa sawit, air terjun dan lori yang membawa muatan kayu balak juga kami tambah ke dalam hiasan kek ini agar nilai kampung itu lebih dirasai," ujar chef pastri Hotel Maya, Sydney de Alwis kepada Kosmo!.
Sydney menerangkan, pada awal proses penghasilan kek itu, dia bersama lima ahli pasukannya menyediakan tapak kek terlebih dulu. Menjadikan kek mentega sebagai asas perisa, bahagian itu kemudiannya itu disalut bersama gula bagi mengekalkan ketahanan rasa dan teksturnya.
"Menyediakan hiasan-hiasan yang kecil itu paling memakan masa. Kami perlu menghasilkan hiasan ekstra sebagai simpanan sekiranya hiasan asal rosak dan patah sebelum sempat dipersembahkan," tambah Sydney.
Difahamkan, sebanyak 6kg mentega, 6kg tepung, 6kg gula, 15kg fondant dan 120 biji telur ayam digunakan bagi menghasilkan kek yang memakan kos hampir RM3,000 itu.

PASUKAN pastri Hotel Maya (kiri) dan pasukan pastri Hotel Impiana KLCC (kanan) antara 25 hotel dan syarikat yang mengambil bahagian dalam acara persembahan kek sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong tahun ini.


Tuanku tertarik
Idea unik Hotel Impiana KLCC pula memberi kenangan manis bagi pasukan pastri mereka apabila persembahan kek tersebut menerima reaksi positif daripada Tuanku dan Raja Permaisuri Agong.
Tema Memori pilihan hotel tersebut menyaksikan kek mentega itu sarat dengan perhiasan foto-foto Tuanku bersama Raja Permaisuri Agong yang menggamit kenangan indah pasangan diraja itu.
"Tuanku meluangkan masa yang lebih sedikit ketika mengunjungi meja kami. Seri Paduka Baginda tertarik dengan pemilihan lapan keping foto yang kami gunakan dan paling menggembirakan apabila Raja Permaisuri Agong sendiri mengingatkan baginda tentang momen daripada foto-foto tersebut.
"Meskipun kek kami tampak pelik daripada jauh, namun kelainan yang kami tonjolkan itulah menjadikan kek kami unik dan menarik perhatian Tuanku. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa selain golf, Seri Paduka Baginda juga seorang yang suka melancong dan mengambil gambar.
"Jadi tema ini cuba mengetengahkan hobi Seri Paduka Baginda yang kurang diberi perhatian masyarakat," kongsi wakil chef Hotel Impiana, Suhaimi Md. Salleh.
Kek hasil ciptaan pasukan pastri yang terdiri daripada Chef Bustami Osman, Harithah Hassanmudin, Looi Li Ping, Mohd. Fairuz Izdhihar dan Mohd. Fadzil Khalid itu adalah seberat 25kg.
Tambah Suhaimi, tapak asas bagi kek tersebut turut ditukar sehari sebelum persembahan kek dijalankan ekoran penggunaan warna yang kurang menonjolkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: