SUDAH beberapa kali lelaki ini, Jalil Limbah 55, enggan ditemu bual
ekoran kesibukannya menguruskan bengkel kereta miliknya di, Selangor.
“Saya tak suka nak buka semula cerita lama, macam nak bagi orang
cium pekung di dada kita pula. Tapi kalau cerita ini nanti dapat
dijadikan pengajaran, apa salahnya,” ujar Jalil.
Menceritakan sejarah hidupnya lebih kurang 35 tahun lalu, Jalil mengakui, ia kisah yang tidak mampu dilupakannya.
“Saya anak bongsu daripada empat beradik. Dari kecil, perangai saya
memang manja dan payah hendak bertolak ansur dengan orang lain.
“Di sekolah, saya dicop sebagai budak nakal. Perangai saya semakin
menjadi-jadi ketika berada di sekolah menengah. Saya cuma sempat belajar
sampai tingkatan tiga. Saya cakap dengan emak, saya sudah tidak minat
belajar. Saya mahu cari kerja di Kuala Lumpur.
“Emak merayu-rayu saya supaya habiskan sekolah tapi saya buat tak
endah. Bila emak dan bapa bising, saya cuma pekakkan telinga dan keluar
rumah, tak balik berhari-hari. Lama-kelamaan, mereka sudah lali dengan
perangai saya.
“Ketika itu, saya sudah bercampur dengan kawan-kawan yang ambil
dadah, kaki pukul dan suka memeras ugut. Mereka banyak ajar saya
menghisap ganja. Banyak masa saya dihabiskan untuk jadi pengikut
mereka.
Arak
“Bila mereka nak kutip hutang, saya jadi tukang pukul. Bila mereka
nak gaduh dengan kumpulan gengster yang lain, saya pun ikut sekali. Bila
ada hasil, saya dapat juga bahagian saya.
“Bila pegang duit, mulalah saya cari kelab malam. Di sana saya minum
arak, langgan perempuan. Kalau bernasib baik, saya sempat menyeluk saku
poket pengunjung yang mabuk,” katanya yang ketika itu tinggal di
Petaling Jaya, Selangor.
Menurut bapa kepada dua anak ini, setelah beberapa bulan menyertai
kumpulan gengster berkenaan, dia mula rapat dengan ketuanya yang digelar
taiko.
“Bila rapat dengan taiko, hidup saya agak mewah. Saya tak pernah
risau pasal duit. Setiap hari pasti ada duit masuk hasil bayaran wang
perlindungan selain peras ugut.
“Hampir setiap malam saya ke kelab malam untuk berseronok. Saya minum
arak berbotol-botol. Menari tak sampai sejam tapi dah muntah belahak,”
jelas Jalil.
Walaupun poketnya tidak pernah menipis, jiwa lelaki ini sukar bertemu
dengan ketenangan. Macam mana jiwa nak tenang kalau hari-hari tibai
orang. Dalam masa yang sama, kumpulan gengster lain pun asyik cari masa
nak ketuk kita. Kalau bergaduh pula, memang tak sah kalau tak berdarah.
Potong telinga
“Tengok saja tangan kiri saya. Seingat saya, tak kurang daripada
tujuh kali tangan ini ditetak. Dalam satu pergaduhan dengan gengster
Cina di Sungai Way, saya pernah memotong telinga musuh kerana terlampau
geram dengan mulutnya yang celupar.
“Sampai ke hari ini, saya masih belajar untuk kawal baran supaya
tidak mudah melepaskan kemarahan sesuka hati,” ujar Jalil yang masih
boleh bertumbuk kalau ada yang cari pasal dengannya.
Kegiatan Jalil mula perlahan apabila ketuanya ditangkap ketika
menyamun kedai emas. Dia menyifatkan nasibnya baik kerana sewaktu
kejadian, dia yang sepatutnya bersama dengan ketuanya, terpaksa pulang
ke kampung kerana bapanya baru meninggal dunia.
“Kejadian itu berlaku sekitar awal 1980-an. Saya tahu taiko
ditangkap lebih kurang seminggu selepas itu. Dia dimasukkan ke penjara
di Pulau Jerejak,” kata Jalil.
Sejak berita penangkapan taiko dan beberapa rakannya diketahui, Jalil ambil keputusan untuk tidak kembali ke Petaling Jaya.
“Sejujurnya, ketika itu saya takut ditangkap polis. Walaupun tak
terlibat dalam kejadian samun, saya beranggapan polis sedang memburu
saya atas aktiviti jenayah yang pernah saya lakukan sebelum ini. Tidak
tenteram hidup saya. Bayangkanlah, hendak jumpa orang pun saya takut.
“Saya cukup bertuah kerana keluarga tidak membuang saya. Emak pula
tidak berputus asa memujuk saya supaya tinggal bersamanya di kampung dan
mahu saya berubah. Emak pernah meluahkan pada saya, tidak ada apa lagi
yang dia mahukan di dunia ini selain melihat saya sujud di sejadah lima
kali sehari.
“Malah, emak sanggup tinggalkan rumah yang dibina bersama arwah bapa
untuk mengikut saya berpindah ke tempat baharu jika saya tidak selesa
tinggal di kampung. Emak sanggup turun naik bas untuk berjumpa
orang-orang alim untuk minta air penawar supaya saya tidak liar lagi.
“Melihatkan jerih payah emak yang sudah agak berumur ketika itu,
timbul kesedaran dalam diri saya. Iyalah, sampai bila hendak terus
bersembunyi. Berkat doa emak itulah saya mula dekatkan diri dengan Allah
dan keluarga.
“Saya ingat lagi ketika emak belek tubuh saya yang penuh calar-balar.
Dia menangis melihat parut-parut kesan tetakan parang di badan saya.
Beberapa hari sebelum emak meninggal dunia, dia suka duduk di kepala
saya dan mengelus kening saya yang sudah bertakik.
“Pesannya, jangan tinggal solat lagi selepas ini. Biarpun emak dah
tak ada. Emak doakan hati Lil tak lagi gelap macam dulu. Kalau emak
meninggal nanti, emak tunggu Lil depan pintu syurga.
“Saya memang terkesan dengan pesanan emak. Walaupun emak sudah lama
meninggal dunia, saya dapat rasakan emak masih ada. Mungkin kerana itu,
sampai sekarang, saya tidak pernah menyebut ‘arwah emak’,” luah Jalil
yang baru pulang daripada mengerjakan umrah bersama isterinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: