Sunday, June 2, 2013

Sinha menjadi inspirasi rakyat India

SINHA diiktiraf sebagai wanita pertama dari India yang berjaya menawan puncak Gunung Everest dengan hanya sebelah kaki.


SATU ketika dahulu, Arunima Sinha, 25, merupakan antara ribuan atlet wanita yang berbakat di India.
Aktif dalam sukan bola sepak dan bola tampar sejak zaman remaja, dia berjaya mencipta nama dalam kedua-dua sukan kegemarannya itu termasuk menyertai pelbagai pertandingan yang diadakan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Bagaimanapun, 11 April 2011 menjadi episod malang bagi wanita yang berasal dari Ambedkar Nagar wilayah Uttar Pradesh itu.
Dia yang baru berusia 23 tahun ketika itu sedang dalam perjalanan menaiki kereta api dari Lucknow ke Delhi untuk menghadiri satu temuduga telah disamun sekumpulan penjenayah.
Tanpa belas kasihan dia ditumbuk, ditendang dan lebih malang turut dicampak ke luar kereta api yang ketika itu sedang bergerak laju.
"Saya terbaring di landasan bersebelahan, tetapi tidak boleh bangun, saya cuba menjerit meminta pertolongan tetapi tiada sesiapa di sekeliling.
"Sebuah kereta api tiba-tiba muncul dari laluan bertentangan dan terus menggilis kaki kiri saya menyebabkan saya tidak sedarkan diri," katanya ketika menceritakan tragedi yang menimpanya kira-kira dua tahun lalu.
Dia dirawat di hospital tempatan sebelum dipindahkan ke sebuah kolej perubatan di Lucknow. Selain mengalami kecederaan parah di tangan dan kepala, kaki kirinya juga dipotong sehingga ke paras bawah lutut bagi mengelakkan jangkitan kuman.
Kejadian yang menimpa pelajar jurusan undang-undang dari Universiti Awadh itu menjadi tajuk berita utama beberapa akhbar di India.
Terima pampasan
Sumbangan dan bantuan datang mencurah-curah daripada beberapa pihak yang bersimpati.
Kerajaan India, melalui kementerian sukan misalnya, bersedia menanggung kos rawatan perubatannya termasuk menghulurkan sumbangan sebanyak Rs. 25,000 (RM1,355). Pada masa yang sama dia turut dijanjikan peluang pekerjaan yang sesuai di kementerian itu.
Dia juga turut menerima sejumlah pampasan yang diberikan oleh Railway Protection Force.
Selepas pembedahan, Sinha menjalani rawatan intensif selama empat bulan di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS). Selain memulihkan kembali emosinya, dia juga diajar menggunakan kaki palsu bagi membolehkan dia kembali berjalan seperti biasa.

SEMANGAT yang ditunjukkan Sinha cukup luar biasa.


"Sepanjang tempoh itu, saya banyak belajar mengenai erti kehidupan. Hidup mesti diteruskan, lagi pun saya hanya kehilangan kaki bukan nyawa.," ujarnya.
Sinha mengimpikan sesuatu yang besar. Dia mahu menawan Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia bagi membuktikan kemampuannya.
Katanya, dia mengambil keputusan itu selepas bertemu bintang kriket India, Yuvraj Singh ketika terlantar di hospital.
"Yuvraj datang melawat dan menyerahkan cek sebanyak Rs. 1 lakh (RM5,420). Ketika kami berbual-bual barulah saya tahu dia juga merupakan seorang penghidap kanser.
"Apabila saya melihat dia bermain bersama pasukan kriket India, saya kagum dengan semangat yang ditunjukkannya di atas padang seolah-olah dia tidak pernah mempunyai penyakit.
"Sejak itu saya bertekad untuk melakukan perkara yang sama dan diimpikan sejak sekian lama, iaitu menawan Everest," ujarnya.
Hasratnya mendapat perhatian Tata Steel Adventure Foundation (TSAF), akademi yang mengajar orang ramai mengenai aktiviti pendakian yang diasaskan Bachendri Pal, pendaki wanita pertama India yang berjaya menawan puncak tertinggi di dunia itu pada 1984.
Semangat Sinha
Selama satu setengah tahun, Sinha gigih menjalani program dan latihan yang disediakan TSAF. Tahun lalu, dia berjaya mendaki Gunung Chhamser Kangri di Ladakh, India setinggi 6,622 meter sebagai persediaan terakhir.
"Saya tidak pernah melihat wanita yang mempunyai semangat yang luar biasa seperti Sinha. Dia sangat fokus terhadap apa yang ingin dicapainya dan mempunyai kekuatan mental yang kuat," kata Pal.
Pada masa yang sama, Sinha turut dibawa bertemu Mark Inglis, pendaki dari Amerika Syarikat yang kudung kedua-dua belah kakinya tetapi berjaya menawan Everest pada tahun 2006.
"Dia banyak berkongsi pengalaman yang pernah dilaluinya sebelum ini terutama cabaran dan pelbagai masalah yang dihadapi sepanjang pendakian. Pertemuan itu cukup bermakna dan sedikit-sebanyak turut menaikkan motivasi saya," katanya.
Ditemani empat rakan pendaki dari pasukan Ekspedisi Eco Everest, misi Sinha menawan Everest bermula April lalu melalui pendakian ke Summit Island Peak setinggi 6,096 meter melalui utara India dan Nepal.

SINHA bernasib baik kerana masih bernyawa dalam tragedi yang berlaku dua tahun lalu.


Pendakian selama 52 hari itu berakhir pada 21 Mei lalu apabila dia tiba di puncak Everest pada pukul 10.55 pagi.
"Dia memulakan pendakian agak perlahan berbanding rakan-rakan sepasukannya yang lain.
"Namun, pada ketinggian 8,750 meter dia seakan mendapat tenaga baharu sebelum meneruskan pendakian sehingga ke puncak," kata Dawa Sherpa, pengurus Asian Trekking, syarikat yang berpangkalan di Nepal dan bertanggungjawab menguruskan ekspedisi itu.
Kejayaan Sinha bukan sahaja membanggakan jutaan rakyat India, malah Perdana Menterinya, Dr. Manmohan Singh.
Melalui kenyataannya, beliau memuji semangat yang ditunjukkan Sinha lebih-lebih lagi apabila diiktiraf sebagai wanita pertama dari India yang berjaya menawan puncak gunung itu dengan hanya mempunyai sebelah kaki.
"Ia merupakan satu misi yang luar biasa apatah lagi selepas apa yang pernah dilalui oleh beliau sebelum ini.
"Saya berbangga dengan kejayaannya dan berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan di samping menjadi inspirasi kepada jutaan rakyat di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: