Sunday, June 2, 2013

Apabila kanak-kanak dewasa sebelum usianya


PERKAHWINAN bawah umur di India umpama satu 'industri' yang menguntungkan.


DUNIA kanak-kanak biasanya dikaitkan dengan keindahan bermain dan bersekolah. Mereka memiliki dunia yang terasing dengan dunia warga dewasa yang sibuk mengharungi alam penuh cabaran.
Mereka tidak perlu menghadapi risiko kehidupan dan ujian seperti warga dewasa. Sekurang-kurangnya, itulah kepercayaan sebahagian besar daripada kita semua, namun, hakikatnya tidak.
Berita mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun di Sabah yang telah berkahwin dengan seorang lelaki dewasa, malah dia dikatakan telah dirogol terlebih dahulu mengejutkan banyak pihak.
Jika benarlah seperti yang dilaporkan bahawa kanak-kanak itu telah dirogol dan kemudiannya dikahwinkan dengan lelaki yang merogolnya sebagai cara untuk menghindari hukuman, maka ia tentulah sesuatu yang sangat malang.
Sebenarnya, dunia malang seperti yang dialami remaja ini berlaku di mana-mana sahaja. Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) melaporkan, pada tahun 2011, dianggarkan terdapat kira-kira 1.2 bilion remaja berusia antara 10 hingga 19 tahun di seluruh dunia.
Perkahwinan bawah umur
Malangnya, dunia bukanlah tempat yang selamat untuk golongan berkenaan. Menurut laporan itu, di Brazil sahaja, dianggarkan sebanyak 81,000 remaja yang berusia antara 15 ke 19 tahun telah dibunuh antara tahun 1998 hingga 2008.
Perkahwinan bawah umur juga seolah-olah sudah menjadi tradisi di beberapa buah negara seperti Bangladesh, Chad, India dan beberapa negara Afrika lain.
Perangkaan juga menunjukkan bahawa di kebanyakan negara sedang membangun, setiap seorang daripada tiga anak kecil didapati berkahwin sebelum umur mereka mencecah 18 tahun.
Seorang sarjana undang-undang, Profesor Michele Goodwin, secara sinis menunjukkan betapa perkahwinan bawah umur telah menjadi satu 'industri' baharu di India, yang menyumbang kepada Rp 250 billion (RM13.64 bilion) setiap tahun.
Walaupun di Malaysia, budaya berkahwin di bawah umur ini bukanlah suatu kelaziman, tetapi apabila ia berlaku, sewajarnya membuka mata kita semua bahawa kanak-kanak tidak sewajarnya didepankan dengan krisis manusia dewasa.
Setiap individu, wajar menjaga dan menghormati hak kanak-kanak dan remaja. Mengahwini gadis di bawah umur tidak wajar digalakkan, apatah lagi sekiranya melakukan keganasan seksual dan rogol terhadap mereka.
Perkahwinan di bawah umur mungkin bukanlah satu kesalahan. Bagaimanapun, isu utamanya bukanlah sekadar perundangan semata-mata. Isu psikologikal dan emosi kanak-kanak di bawah umur juga wajar dipertimbangkan.
Umumnya, ahli psikologi bersetuju bahawa remaja merupakan tahap umur yang sedang berkonflik dalam mencari identiti diri.
Mereka mengalami konflik kerana beberapa perubahan yang berlaku ke atas diri mereka, khususnya perubahan fizikal dan alat seksual.

KANAK-KANAK perlu mengikuti alam persekolahan bagi mengasah pengetahuan mereka.


Alam persekolahan
Mereka juga sedang mengalami konflik dalaman kerana perubahan sifat daripada seorang kanak-kanak kepada manusia dewasa.
Pada tahap ini juga, bakat intelektual mereka mula berkembang. Mereka mampu menerokai pengetahuan baharu yang mungkin tidak boleh dicapai tatkala mencecah usia dewasa.
Sebab itulah, anak-anak berusia bawah 18 tahun ini sewajarnya mengikuti alam persekolahan, dan bukannya terus terjun ke dunia manusia dewasa.
Di sekolah, mereka mengikuti pengalaman baharu untuk bersosial dan mengasah pengetahuan mereka. Di sekolah, mereka tidak akan berdepan dengan cabaran pekerjaan atau kesulitan-kesulitan lain yang dialami oleh orang dewasa.
Semua pengalaman tersebut bakal membantu mereka untuk menjadi manusia dewasa yang lebih stabil.
Sebaliknya, apabila anak-anak gadis ini sudah berkahwin ketika masih terlalu muda, mereka secara automatiknya terpaksa mengharungi cabaran orang dewasa.
Mereka bukan sahaja tidak dapat mengikuti pendidikan yang boleh membantu mereka pada masa hadapan, sebaliknya perlu bekerja dan mencari nafkah untuk hidup.
Sekiranya mereka melahirkan anak, mereka terpaksa menjadi suri rumah yang terlalu muda untuk menjaga bayinya. Mereka juga akan dilayan seperti seorang dewasa, walaupun pada hakikatnya mereka masih seorang remaja.
Lebih buruk, mereka juga mungkin sedang mewariskan kesulitan baharu untuk anak-anak yang mereka lahirkan.
Apabila tidak lagi mengikuti alam persekolahan, mereka tidak berupaya mendapatkan pekerjaan yang baik dan mungkin bakal hidup dalam kemiskinan.
Sebab itu, menjadi tugas semua untuk memastikan bahawa perkahwinan di bawah umur ini bukanlah satu perkara yang wajar dijadikan eksperimen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: