|
KUNJUNGAN ke restoran Mee Ketam KL untuk menjamu selera dengan sajian makanan laut yang segar pasti tidak mengecewakan.
Setiap hidangan yang dimeriahkan dengan ketam dan udang galah menjadi taruhan pasangan kembar, Ubaidah dan Usamah Makmum yang juga pemilik restoran tersebut.
Semuanya bermula daripada minat mereka terhadap menu kedua-dua makanan laut itu.
Pemiliknya, Ubaidah, 29, berkata, keistimewaan hidangan yang disajikan terletak pada resipi kuah kari lazat yang menepati selera pelanggan sama ada mereka mahu menikmatinya bersama nasi atau mi.
Resipi yang digunakan pula merupakan ramuan unik diwarisi sejak turun-temurun oleh keluarganya dari Pulau Pinang.
“Selera pelanggan menjadi keutamaan restoran Mee Ketam KL dan kami tidak berkompromi dengan rasa pada setiap hidangan.
“Semuanya diadun secukup rasa agar pelanggan berpuas hati dengan menu yang disediakan. Pada masa sama ia ditawarkan pada harga amat berpatutan,” katanya ketika ditemui di premisnya di Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara menu yang menanti pengunjung ialah mi kari ketam bunga atau ketam nipah, mihun sup ketam, mi kari udang galah dan ketam masak cili atau lada hitam.
Menariknya, saiz ketam yang diinginkan juga boleh ditentukan oleh pelanggan dan harga setiap hidangan berbeza mengikut saiz.
Menurut Ubaidah, hidangan yang paling mendapat sambutan ialah mi kari ketam nipah disebabkan rasanya yang enak dan berkhasiat tinggi.
Pelanggan mula memenuhi restoran tersebut pada waktu makan tengah hari iaitu pukul 1 tengah hari dan makan malam sekitar pukul 8.30 malam.
“Udang yang dijual pula mengikut gred iaitu A, B, C dan A+ manakala harga yang dikenakan bergantung pada saiz dan berat udang galah,” kata Ubaidah yang sudah tiga tahun berniaga.
Memandangkan permintaan yang diterima sangat menggalakkan, Ubaidah memesan kira-kira 1,000 kilogram ketam seminggu bagi kedua-dua cawangan restoran milik mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: