Saturday, June 8, 2013

Rambang mata di kedai jalanan popular



SUASANA lalu lintas di Singapura sentiasa dalam keadaan terkawal walaupun pada waktu puncak. Pemandangan itu merupakan satu pemandangan yang jarang kita lihat di Kuala Lumpur.
Namun, panorama berlainan dapat dilihat ketika melangkah ke Bugis Street yang terletak di tengah-tengah Kota Singa itu. Kemeriahan sinaran cahaya lampu pada waktu malam dan tarikan pelbagai pilihan barang jualan menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat tumpuan utama pelancong tempatan dan luar negara.
Pelanggan mula membanjiri Bugis Street seawal pukul 11 pagi hingga 10 malam bagi mendapatkan barangan seperti pakaian, jam tangan, beg dan cenderamata pada harga rendah. Keadaan di Bugis Street tidak ubah seperti deretan kedai yang ada di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Terdapat kira-kira 800 buah premis beroperasi di pusat beli-belah jalanan terbesar di Singapura itu. Rata-rata perniagaan mereka tertumpu kepada pakaian fesyen terkini buat pengunjung wanita dan cenderamata seperti rantai kunci, magnet peti sejuk, barangan piuter dan baju T.

TUGU Merlion merupakan maskot kebangsaan yang amat sinonim dengan Singapura.


Seorang pelancong, Nor Emila Mohd. Yusof berkata, kunjungannya ke Singapura baru-baru ini turut memasukkan Bugis Street sebagai salah satu destinasi yang perlu dikunjungi kerana ia menawarkan harga barangan jauh lebih rendah berbanding pusat beli-belah lain di Singapura.
“Saya suka berbelanja di sini terutamanya barangan cenderamata kerana ia sangat murah. Para peniaga pula melayan mesra kehendak pelanggan yang tawar-menawar sebelum membeli.
“Kawasan Bugis Street yang terletak di pusat bandar dan berdekatan dengan beberapa pusat beli-belah lain memudahkan pelanggan membuat pilihan atau sekadar mahu melihat-lihat,” katanya yang berasal dari Raub, Pahang.
Pembangunan semula
Bugis Street mula terkenal di peringkat antarabangsa pada tahun 1950. Sejak itu ia menjadi salah sebuah destinasi pelancongan utama di Singapura.
Pada pertengahan tahun 1980-an, kawasan tersebut menjalani proses pembangunan semula kerana lokasinya yang strategik di kawasan bandar utama. Pembangunan tersebut melibatkan kerja-kerja naik taraf kepada kompleks beli-belah moden termasuklah premis perniagaan lorong belakang kompleks itu.

MALAY STREET yang terletak di seberang jalan bertentangan Bugis Street turut menjadi tumpuan orang ramai ketika berkunjung ke Singapura.


Perubahan tersebut membantu meningkatkan imej antarabangsa Singapura kerana ia mula diiktiraf di peringkat global.
Kini, Bugis Street berubah kepada struktur bangunan yang lebih kukuh, laluan yang luas walaupun ‘terhimpit’ di celah kompleks beli-belah berdekatan termasuk Bugis Junction.
Tambah Nor Emila, kunjungan ke Bugis Street tambah menarik kerana ia berdekatan dengan kompleks beli-belah moden, Bugis Junction dan Bugis Village yang terletak bersebelahan.
“Bagi mereka yang tidak suka bersesak-sesak ketika menjamu mata di sini, mereka boleh berjalan kaki ke Malay Street atau Hylem Street yang lebih santai dan redup,” katanya.
Jangan banding mata wang
Dalam pada itu, seorang lagi pelancong Malaysia, Muhammad Hafizuddin Mohd. Sanip sempat berkongsi tip untuk berbelanja di Bugis Street.

PANORAMA menarik pada waktu malam yang menjadi tarikan utama pengunjung ke Marina Bay Sands.


Katanya, barang yang dijual di sana dirasakan berbaloi dan murah jika pelancong asing tidak membandingkan harga tersebut dengan mata wang negara sendiri.
“Anda boleh mendapatkan dua helai baju T orang dewasa (bertemakan Singapura) pada harga S$10. Ia sudah cukup murah walaupun nilainya di Malaysia bersamaan dengan RM25.
“Jika anda menganggap S$1 itu sama dengan RM1, perbandingan harga ketika berbelanja akan jadi lebih mudah. Bagaimanapun, jika anda menukarnya mengikut mata wang yang sebenar, kemungkinan besar anda tidak membeli apa-apa di sini,” jelasnya ringkas.
Menariknya, pengunjung boleh berjalan kaki ke kawasan Esplanade sejauh 1.6 kilometer dari Bugis Street atau menggunakan transit laju massa (MRT) bawah tanah untuk melihat bangunan ikonik Singapura iaitu Marina Bay Sands Singapore (MBSS).
Tugu singa berbentuk ikan duyung yang dipanggil Merlion juga menjadi kemestian bagi pelancong untuk merakam gambar kenangan kerana bentuknya yang sinonim dengan negara Singa berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: