Saturday, June 8, 2013

SUV yang mendahului kelasnya



PERTUMBUHAN sebanyak 50 peratus dalam pasaran SUV di Malaysia sejak akhir-akhir ini membuatkan para pemain industri automotif tempatan begitu agresif dalam memperkenalkan SUV masing-masing.
Perkembangan sihat ini sememangnya memberi manfaat kepada pengguna. Bukan sekadar mewah dengan pilihan, malah pengeluar kenderaan juga perlu memastikan produk mereka benar-benar kompetitif. Jadi, hanya yang terbaik ditawarkan ke pasaran. Terbaik dari segi harga, nilai untuk wang, teknologi, reka bentuk dan sebagainya.
Jadi, kalau anda sedang merancang untuk mendapatkan sebuah SUV, saya ada syor mengenai SUV mana yang perlu diambil perhatian secara serius.
Baru sahaja dilancarkan pada Khamis lalu, SUV daripada Ford ini boleh saya katakan sebagai memiliki pakej yang lengkap.
Ditawarkan pada harga RM159,999 (di atas jalan termasuk insurans) bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan sehingga 200,000 kilometer, ditambah dengan pelbagai ciri yang akan saya perincikan nanti, memang tidak ada sebab kenapa anda sekurang-kurangnya memandu uji Kuga.
Sejak diperkenalkan ke pasaran Eropah pada akhir tahun lalu, Kuga mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Gelombang populariti Kuga nampaknya diteruskan di semua pasaran yang ditembusinya, tidak terkecuali di Malaysia.
Buktinya, semua 150 unit kumpulan pertama Kuga sudah pun habis dijual. Justeru, tidak hairanlah jika pengedar rasmi kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby AutoConnexion (SDAC) optimis bahawa Kuga akan membantu meneruskan momentum pertumbuhannya yang mencecah sebanyak 109 peratus pada tahun ini.
Harus tahu bahawa Malaysia merupakan negara pertama di rantau Asia Tenggara yang ditawarkan dengan Kuga. Produk daripada program One Ford itu nyata menyerlah menerusi penampilan luaran serta teknologi yang dimilikinya.
Kuga dlihat sebagai SUV ideal buat pengguna urban yang mahukan prestasi dan teknologi. Ini kerana ia menawarkan penjimatan bahan api luar biasa menerusi penggunaan enjin EcoBoost 1.6L dengan teknologi Ti-VCT.
Berupaya menjana kuasa sehingga 180PS dengan tork setinggi 240Nm, enjin yang telah memenangi pelbagai anugerah itu hanya memerlukan bahan api sebanyak 7.7 liter untuk setiap 100 kilometer.
Penjimatan tersebut banyak disumbangkan oleh sistem pengecas turbo dan pancitan terus yang membolehkan penghantaran bahan api lebih tepat.
CBU dari Sepanyol

ANDA pasti kagum dengan keupayaan sistem Ford SYNC yang dikuasakan oleh Microsoft.


Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik SelectShift enam kelajuan yang menjanjikan prestasi lancar.
Active Grille Shutter juga meningkatkan penjimatan bahan api dengan cara memaksimumkan kecekapan aerodinamik dan sistem penyejukan enjin.
Kuga menampilkan gayaan luaran kinetik yang menyerlahkan elemen ‘tenaga dalam pergerakan’. Ia mula diperlihatkan pada kereta-kereta konsep Ford bagi memaparkan rasa pergerakan yang dinamik, bertenaga dan keterujaan. Garis sisi tinggi, alur yang kemas dan bentuk maskular memberikan Kuga penampilan yang lasak tetapi lembut.
Bagi memastikan pengendalian menerajui kelasnya, jentera yang diimport sepenuhnya dari Valencia, Sepanyol itu dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD) pintar Ford.
Sistem itu berperanan mengukur perbezaan kelajuan di antara roda hadapan dan belakang untuk menentukan pengagihan kuasa tork yang sesuai ketika membelok bagi mengelakkan berlakunya masalah torque steer. Selain mengurangkan olengan tubuh, AWD juga meningkatkan dinamik dan kualiti pengendalian kenderaan.
Gabungan sistem Torque Vectoring Control, Advance Track dengan Roll Stability Control (RSC), Trailer Sway Control, (TSC), Hill Start Assist (HSA) dan Curve Control nyata menjadikan Kuga sebuah SUV pintar yang selamat serta berprestasi tinggi.
Premium insurans rendah
Kuga memperoleh penarafan lima bintang oleh Euro NCAP. Skor itu diperoleh menerusi penggunaan besi regangan ultra tinggi pada stuktur badannya. Bukan itu sahaja, Kuga juga satu-satunya kenderaan dalam segmennya yang menawarkan tujuh beg udara.
Dalam kemalangan yang melibatkan pengaktifan beg udara, Sistem Amaran SOS Pasca Kemalangan akan menghidupkan lampu kecemasan dan membunyikan hon sehinggalah ia dimatikan atau kehabisan bateri.
Ciri kunci berkembar pada Kuga pula berfungsi untuk menutup semua tingkap dan mengunci pintu dari jauh untuk mengelakkan penumpangnya daripada keluar. Jadi, ia boleh menghalang penjenayah yang berjaya masuk ke dalam kenderaan daripada melarikan diri.
Digabungkan dengan sistem penggera Thatcham Category 1 dan pelumpuh enjin (immobilizer), ciri-ciri keselamatan Kuga menawarkan tahap keselamatan yang tinggi dan premium insurans lebih rendah.
Ciri yang paling saya suka pada Kuga ialah pintu belakang (liftgate) yang boleh dibuka dan ditutup dengan hanya menggerakkan kaki di bawah bampar belakang.
Bagaimana ia berfungsi? Alat-alat pengesan akan mengesan kombinasi akses pintar pada kunci di dalam poket, beg atau beg tangan dengan pergerakan kaki dan tulang kering anda bagi mengelakkan bukaan yang tidak disengajakan.

KUGA mendapat sambutan hangat di pasaran Eropah sejak dilancarkan pada tahun lalu.


Anda juga boleh menetapkan ketinggian bukaan pintu tersebut. Ciri itu sememangnya berguna jika terpaksa memakir di tempat yang sempit dan rendah. Sebagai langkah keselamatan, sesiapa yang ingin membuka pintu belakang itu mestilah memegang kunci dengannya. Jika tidak pintu belakang tidak akan terbuka begitu sahaja.
Bahagian dalaman Kuga telah dioptimumkan untuk menawarkan lebih ruang. Tempat duduk dengan konfigurasi 60:40 menyediakan ruang kargo mencecah 1,603 liter.
Demi memberikan keselesaan maksimum, Kuga menggunakan ruang dalaman antialahan yang tidak akan mengeluarkan gentian bawaan udara yang boleh mengganggu deria anda.
Sebagai model global Ford, jentera itu turut menampilkan sistem Ford SYNC yang eksklusif. Ford SYNC adalah sistem pengaktifan suara, hiburan dan komunikasi bebas tangan yang dikuasakan oleh Microsoft.
Sistem tersebut membolehkan pengguna membuat dan menerima panggilan telefon, membaca mesej serta memainkan lagu pilihan dengan mudah. Ford SYNC menyempurnakan lagi sistem audio Sony yang terdiri daripada sembilan pembesar suara berkapasiti tinggi dan satu paparan cecair kristal TFT bersaiz 4.2 inci.
Sama seperti semua kenderaan penumpang Ford yang ada di Malaysia, Kuga turut hadir dengan Pelan Servis Tambahan Ford (ESP), demi memberikan ketenangan jiwa kepada para pelanggan tanpa sebarang penambahan kos.
Ford ESP adalah program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000km yang merangkumi kos alat ganti dan buruh. Sebagai tambahan kepada pemeriksaan rutin dan penyelenggaraan, Ford ESP juga melibatkan penggantian barangan yang haus dan lusuh seperti palam pencucuh, penyerap hantakan, tali sawat enjin, pad brek serta penggilap cermin.
Didatangkan dalam beberapa warna pilihan iaitu hijau, hitam, putih dan perak, Kuga sememangnya sebuah SUV yang bernilai untuk wang dan boleh menjadi pencabar utama untuk SUV sedia ada di pasaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: