|
PISANG atau nama saintifiknya Musa paradisiaca L adalah tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Musaceae. Pisang merupakan buah yang kedua paling digemari penduduk negara ini selepas durian.
Kaya dengan pelbagai khasiat, pisang mampu meningkatkan kesihatan manusia. Difahamkan terdapat kira-kira 20 jenis pisang antaranya pisang tanduk, emas, embun, nipah dan nangka manakala pisang cavendish pula adalah baka tempatan untuk eksport.
Seperti pokok kelapa, pokok pisang juga adalah tumbuhan serba guna apabila setiap bahagiannya mempunyai kegunaan kepada manusia daripada daun hinggalah ke umbut.
Daun pisang misalnya merupakan pembungkus makanan seperti nasi lemak dan juga sebagai alas makanan kerana menghasilkan bau yang harum.
Kebanyakan kuih-muih tradisional juga menggunakan daun pisang sebagai pembalutnya seperti kuih koci dan lepat.
Bagaimanapun, siapa sangka daun pisang yang selama ini sinonim sebagai daun pembungkus menjadi salah satu bahan komposit bagi pelbagai sektor industri termasuk automotif. Ia merupakan hasil kajian inovatif sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Inovasi diketuai pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri, Prof. Madya Baharin Azhari itu berjaya menghasilkan bahan bungkusan menggantikan kertas dan plastik daripada daun pisang dikenali sebagai Ammiba Bleaf Eco Wrap.
Melekatkan daun
Menurut beliau, bahan yang mesra alam dan kalis air itu dihasilkan daripada proses melekatkan helaian daun pisang antara satu sama lain.
Menariknya proses itu menggunakan getah pisang sendiri menerusi satu kaedah khusus.
“Proses ini menggunakan lapisan belakang daun pisang kerana ketahanan bahagian permukaan hadapannya, manakala getahnya pula lebih mudah dikeluarkan daripada bahagian ini.
“Sekeping Ammiba Bleaf Eco Wrap yang dihasilkan daripada dua helai daun pisang ialah lima kali ganda lebih kuat dan tahan daripada kertas pembungkus makanan biasa,” ujarnya pada sidang akhbar di universiti itu baru-baru ini.
Hadir sama, lima lagi ahli kumpulan penyelidik berkenaan iaitu Prof. Madya Mohamad Omar Bidin, Prof. Madya Fazilah Ariffin, Dr. Mazlan Ibrahim, Adnan Mat dan Muhammad Iqmal Rahimah.
Penyelidikan selama dua tahun itu dibiayai menerusi Geran Jangka Pendek USM berjumlah RM38,000 bagi mencari inisiatif baharu sejajar dengan Dasar Polisi Hijau Negara.
Produk itu juga telah memenangi pingat emas pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bebas toksik
Tambah Baharin, kajian pihaknya juga mendapati daun pisang pembungkus itu boleh menggantikan plastik kerana tidak mengandungi bahan kimia dan toksik, lantas selamat diguna selain mudah lerai.
Katanya, sifat mudah guna bahan pembungkus itu juga boleh dimajukan sebagai salah satu bahan komposit dalam pelbagai sektor industri seperti pembinaan, hiasan dalaman, automotif dan kejuruteraan tinggi.
“Ini juga adalah kajian yang pertama seumpamanya di dunia menghasilkan bahan pembungkus daripada daun pisang.
“Inovasi ini sememangnya boleh memberi sumbangan besar kepada industri asas tani negara, manakala nilai pasaran kertas di peringkat global pula mencecah puluhan bilion ringgit,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: