Sunday, June 2, 2013
Pemandu langgar lari tidak hidup aman
BETAPA gembiranya hati Alif setelah mendapat tawaran mengikuti rekrut pengambilan anggota oleh Angkatan Tentera Malaysia.
Sejak zaman kanak-kanak, Alif yang enggan identitinya didedahkan, bercita-cita untuk menyarung uniform tentera.
Di samping dapat berbakti kepada negara, dia yakin masa depan dia dan keluarga akan terjamin memandangkan banyak manfaat yang diperoleh apabila menjadi seorang penjawat awam.
Namun, segala-galanya berubah setelah dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di ibu kota dua hari sebelum mendaftar diri untuk latihan ketenteraan itu.
Menurutnya, impian itu musnah selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada September 2011 sewaktu pulang dari masjid untuk ke tempat kerjanya di Cheras, Kuala Lumpur.
“Kejadian pada hari Jumaat itu tidak akan saya lupakan sepanjang hayat.
“Akibat kemalangan itu, saya terlantar di rumah selama hampir setahun kerana tulang kaki saya patah di beberapa bahagian,” jelasnya yang kini bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi.
Jelasnya, hasratnya untuk menjadi penjawat awam masih ada, namun keadaan fizikalnya yang mengalami kecederaan di bahagian tulang tidak membolehkan dia untuk menjadi anggota pasukan keselamatan negara.
“Semuanya kerana kemalangan yang disebabkan kecuaian orang lain. Saya menjadi mangsa keadaan,” luah anak jati Kelantan ini yang kini berusia 24 tahun.
Cerita Alif, kemalangan itu berpunca daripada sikap pemandu kereta di hadapannya yang tidak memberikan lampu isyarat membelok sebaliknya memasuki simpang secara tiba-tiba menyebabkan motosikal yang ditunggang Alif melanggar belakang kereta itu.
Kemalangan jalan raya akibat kecuaian orang lain sering dilaporkan termasuk yang mengakibatkan kematian. Lebih malang apabila pemandu terbabit melarikan diri selepas menyedari mereka menjadi punca nahas itu.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sebanyak 1,057 kes langgar lari dilaporkan pada tahun 2011 dengan 312 kes melibatkan kematian. Sebanyak 198 kes lagi menyebabkan kecederaan parah manakala 547 kes cedera ringan.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr. Tam Weng Wah berkata, pemandu yang tidak bertanggungjawab punca kejadian langgar lari di negara ini.
Takut
“Pemandu berkenaan mungkin berasa takut ekoran kesalahan yang dilakukan. Mereka cemas dan panik sehingga tidak dapat membuat pertimbangan dan terus meninggalkan tempat kejadian,” jelasnya.
Tambahnya, pemandu langgar lari ini tidak akan hidup tenang kerana mereka akan dibelenggu rasa bersalah serta sentiasa diburu.
“Saya menasihatkan pemandu yang terlibat dalam kemalangan atau menjadi punca kemalangan supaya jangan lari.
“Sebaik-baiknya anda bertenang dan menghulurkan bantuan kepada mangsa. Bantuan anda mungkin dapat menyelamatkan nyawanya,” ujarnya.
Tegasnya, pesalah yang melarikan diri tidak akan bertahan lama kerana dengan teknologi terkini serta kecekapan penyiasatan oleh pihak polis, mereka pasti akan diberkas.
“Jadi, anda tidak perlu melarikan diri sebaliknya jadilah orang yang bertanggungjawab.
“Kalau anda harus dihukum sekali pun, terimalah dengan dada yang lapang. Yang penting anda dapat memulakan kehidupan selepas itu tanpa dihantui rasa bersalah,” katanya yang menyokong pemasangan kamera litar tertutup di lokasi yang kerap berlaku kemalangan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Memang lumrah manusia cenderung mengikut peraturan apabila merasakan dirinya diperhatikan atau lebih dikenali sebagai persepsi takut ditangkap,” ujarnya.
Mengulas tentang kes kemalangan jalan raya di negara ini, Ketua Pengarah Miros, Prof. Dr. Wong Shaw Voon berkata, motokar persendirian merupakan kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan, iaitu sebanyak 546,702 kes mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2011.
“Walau bagaimanapun, bilangan tertinggi pengguna jalan raya yang maut dalam tempoh dua tahun yang lepas adalah penunggang dan pembonceng motosikal yang mencatat kematian sebanyak 4,173 pada tahun 2011 dan 4,178 pada 2012,” ujarnya.
Jelas Shaw Voon, sebanyak 86 peratus daripada kes kemalangan maut adalah disebabkan kecuaian manusia.
“Analisis Miros ke atas kes kemalangan berprofil tinggi, iaitu kemalangan yang mengakibatkan tiga atau lebih mangsa terkorban menunjukkan corak pemanduan berisiko seperti memotong di garisan berkembar dan kawasan selekoh sebagai punca utama kemalangan.
“Memandu laju pula menjadi faktor kedua tertinggi iaitu sebanyak 21 peratus,” ujar Shaw Voon.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: