Sunday, June 2, 2013
Tukar perabot dua tahun sekali
MELANGKAH masuk ke pekarangan rumah milik seorang kontraktor binaan dan pereka hiasan dalaman, Rosnani Mohamad, 53, kru Jurnal tertarik dengan konsep yang diketengahkan pemilik iaitu tiada hiasan yang sarat di beranda dan laman rumah.
Deretan almari kabinet yang diletakkan di ruang depan ini berfungsi sebagai tempat untuk pemilik meletakkan koleksi katalog dan majalah keluaran syarikatnya bagi tatapan pelanggan.
Di satu sudut santai pula, pemilik menempatkan sebuah buaian rotan yang sering digunakan semasa menikmati minum petang atau membaca surat khabar.
“Dahulu ruang beranda dan laman ini menjadi tempat letak kereta yang dihiasi landskap tetapi sejak ada cucu ini, saya ubah ruang ini supaya mudah pergerakan keluar masuk kami sekeluarga,” katanya yang amat menggemari kertas dinding.
Oleh kerana Rosnani juga menjual kertas dinding, beliau akan memasangnya di rumah terlebih dahulu bagi memastikan produk berkenaan cantik di mata pelanggan.
“Kertas dinding ini senang dijaga selain menutup permukaan dinding yang tidak sepatutnya dilihat oleh tetamu.
“Saya tidak ingat sudah berapa kali saya menukar kertas dinding serta hiasan lain di dalam rumah ini,” jelas ibu kepada empat orang anak ini sambil ketawa.
Tambahnya, memilih kertas dinding sebagai penyeri ruang sememangnya menjimatkan penggunaan cat di samping tidak perlu bersusah payah memikirkan warna yang sesuai.
“Jika dilihat, saya banyak bermain dengan kertas dinding yang mempunyai pelbagai corak dan gaya. Kertas dinding ini juga tahan lama. Saya pernah memakainya sehingga 10 tahun,” ujarnya.
Menjenguk ke ruang tamu rumah teres dua tingkat ini, padanan perabot berwarna merah dan coklat benar-benar menaikkan auranya ditambah pula dengan bantal-bantal kecil yang comel.
Kertas dinding bermotif bunga berwarna hijau ternyata membuatkan ruang ini tampak lebih luas dan segar.
Koleksi barang hiasan seperti loceng dan piring kecil yang dibeli pemilik ketika melancong ke luar negara turut menghiasi sudut ruang tamu.
“Saya seorang pengumpul loceng hiasan. Boleh dikatakan setiap kali melancong saya akan membeli loceng hiasan,” ujarnya.
Terdapat dua ruang makan di rumah ini. Salah satu daripadanya dikhaskan kepada tetamu. Pemilik turut meletakkan pemisah ruang bagi membezakan ruang tamu dan ruang makan.
Kertas dinding bercorak jalur menegak menghiasi ruang makan tetamu. Ia diserikan lagi dengan koleksi piring yang dibeli di luar negara.
Kemasan lantai bermotifkan kayu memainkan peranannya yang tersendiri di sebalik konsep moden klasik yang digemari penghuni.
Di satu sudut pula, pemilik meletakkan almari kaca yang menempatkan koleksi pinggan mangkuk berjenama.
Tangga
Kru Jurnal tertarik melihat rekaan kertas dinding bermotifkan batu-bata yang dipilih pemilik bagi menghiasi ruang di sepanjang tangga untuk naik ke tingkat atas kediaman.
Di tingkat atas, mata dihidangkan dengan suasana santai tanpa aksesori dan perabot yang sarat.
“Ruang santai kami tidak disaratkan dengan perabot kerana ruang ini agak sempit.
“Untuk ruang yang terhad seperti ini, kita perlu memilih perabot yang bersesuaian mengikut keselesaan kita dan keluarga.
“Di ruang ini juga, saya tempatkan stesen kerja bagi membolehkan saya melakukan kerja dari rumah dengan selesa,” ujarnya sambil memberitahu, kesemua perabot itu merupakan rekaannya sendiri.
Suasana terasa tenang sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik tidur utama. Haruman koleksi minyak wangi kegemaran Rosnani dan suami yang diletakkan di dalam kabinet kaca pantas memenuhi rongga hidung.
Pemilihan warna cadar berwarna krim amat padan dengan katil serta almari pakaian yang berwarna coklat.
“Pasti pelik apabila meja solek tidak ada di dalam bilik saya kerana saya menggunakan sebuah cermin kecil sahaja untuk bersiap manakala semua alat solek saya letakkan di dalam kabinet di bilik air bagi memudahkan saya bersiap,” ceritanya.
Melangkah ke bilik tidur milik anak bongsunya, Mira Izzati, 18, kru Jurnal tertarik dengan penataan ruang bilik tidur ini yang ringkas. Padanan warna putih dan biru semestinya menjanjikan ketenangan kepada sesiapa sahaja yang menghuninya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: