|
KALAU saya pegang tangan isteri dengan lebih erat, tentu kami dapat menyambut Hari Gawai di kampung bersama-sama,” keluh John Soo, 39, mangsa kejadian bot ekspres karam di Sungai Rajang, Sarawak, Selasa lalu.
Usaha John memegang tangan isterinya, Roslin Jati, 35, tidak memadai. Wanita itu terlepas daripada pegangannya kerana pada masa sama John perlu memeluk erat anak mereka yang berusia lima tahun.
Bot ekspres Kawan Mas karam berhampiran Jeram Tukok/Jeram Bungan di Sungai Rajang dekat Belaga, Sarawak. John merupakan antara 204 penumpang bot itu yang pulang ke kampung halaman sempena Hari Gawai yang disambut semalam. Sehingga petang Jumaat lalu, Roslin masih belum ditemui.
Mengimbas kembali detik cemas itu, John berkata dia berhempas-pulas menyelamatkan anaknya dengan berenang ke tebing sebaik sahaja bot itu terbalik tanpa menyedari isterinya telah ditelan arus sungai.
Difahamkan, enjin bot itu gagal berfungsi menyebabkannya dihanyutkan arus sebelum terlanggar batu dan terbalik. Air masuk ke dalam bahagian tempat duduk penumpang dengan pantas sekali.
“Penumpang-penumpang mula panik dan menjerit meminta tolong sebelum masing-masing berebut mahu keluar. Tidak lama kemudian, bot kami terbalik dan saya cuba berenang ke permukaan sambil memeluk anak saya, Jacky Soon.
“Semasa kami sudah keluar dari bot dan berenang baru saya sedar Roslin hilang,” jelas John.
Nahas paling buruk di Sungai Rajang itu terjadi kira-kira sejam selepas bot itu meninggalkan Jeti Belaga.
Bot itu dikatakan menuju ke Kapit dari Bakun sebelum berangkat ke Sibu yang mengambil masa lapan jam perjalanan dengan membawa lebihan penumpang yang rata-ratanya tidak memakai jaket keselamatan.
Tragedi
Menurut Ketua Polis Daerah Belanga, Deputi Superitendan Bakar Sebau, sebanyak 200 mangsa terselamat, empat masih hilang dan hanya satu mayat ditemui setakat petang Jumaat lalu.
Pada tahun 2010, satu tragedi hitam tercatat dalam sejarah pengangkutan bot ekspres di Sarawak berikutan kematian 13 penumpang dalam tragedi bot ekspres karam di Sungai Anap, Tatau di Bintulu.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang 18 Oktober itu, bot ekspres dikenali dengan nama Liang Yu karam semasa cuba memintas sebuah kapal penunda tongkang yang dalam perjalanan ke destinasi yang sama ke hulu Kakus.
Penduduk Sarawak bergantung kepada bot ekspres untuk pergi ke kawasan yang tidak dapat dihubungi melalui jalan darat dan tiada perkhidmatan udara seperti Song, Kapit dan Belaga.
Sarawak memiliki sungai-sungai yang besar dan dalam. Di sesetengah tempat kedalamannya boleh mencecah sehingga 15 meter.
Negeri ini mempunyai 55 batang sungai dengan jarak 3,300 kilometer yang digunakan untuk mengangkut penumpang dan barangan. Sungai Rajang sepanjang 567 kilometer merupakan sungai terpanjang di Malaysia.
Antara 300 hingga 500 buah bot dan vesel berulang alik di sungai-sungai di negeri ini setiap hari dengan kira-kira 50 peratus lalu lintas melibatkan pengangkutan penumpang manakala selebihnya untuk mengangkut barang-barang termasuk balak.
Pengalaman
Dianggarkan 1.6 juta orang menggunakan sungai sebagai pengangkutan utama dalam setahun. Dalam pada itu, rata-rata bot ekspres yang beroperasi di Sarawak mampu memuatkan lebih daripada 100 penumpang.
Mereka diberi pilihan untuk membeli tiket kelas satu (ruang yang luas) atau kelas ekonomi (keluasan sederhana) mengikut kemampuan serta keselesaan masing-masing.
Banyak juga bot yang dipasang dengan enjin berkembar bagi memastikan masa perjalanan dapat dipercepatkan.
Misalnya, perjalanan dari Sibu ke Kapit hanya mengambil masa kira-kira tiga jam berbanding dahulu yang memakan masa lebih kurang lima jam.
Perjalanan dari Kuching ke Sibu pula mengambil masa kira-kira empat jam sahaja berbanding enam jam pada 15 tahun lalu.
Terdapat lapan terminal bot ekspres di negeri ini iaitu di Kuching, Tanjung Manis, Sarikei, Sibu, Kuala Baram, Limbang, Song dan Kapit. Secara purata, setiap terminal menerima antara 6,000 hingga 8,000 penumpang pada musim perayaan.
Penulis sendiri pernah menaiki bot ekspres dari Sibu ke pekan Kapit yang memakan masa tiga jam perjalanan. Walaupun bukan musim perayaan, jumlah penumpang bot itu sememangnya ramai sehingga ada yang terpaksa duduk di atas bumbung.
Sesetengah penumpang kelihatan membawa kotak-kotak yang penuh dengan barangan keperluan harian. Ini kerana kebanyakan penduduk kawasan pedalaman akan membeli banyak barangan keperluan harian di bandar Sibu untuk dibawa balik ke rumah panjang masing-masing di hulu sungai.
Sepanjang perjalanan menaiki bot, pemandangan di kiri dan kanan sungai hanyalah hutan dan sekali-sekala ternampak sekangkang kera tanah sawah atau padi bukit.
Bagaimanapun, penulis mengalami detik cemas menaiki bot ekspres dari Marudi ke Miri, juga mengambil masa lebih tiga jam.
Selepas satu jam 30 minit berlepas, hujan lebat tiba-tiba turun. Penumpang yang dari tadi duduk di bumbung dan tepi bot menyerbu masuk ke ruang dalam sekali gus menjadikan tempat itu sesak.
Tidak lama kemudian, enjin bot tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan bot itu hanyut di tengah-tengah sungai.
Apa yang dibimbangi ialah jika bot itu berlanggar dengan bot lain atau kapal tongkang dari arah bertentangan memandangkan jarak penglihatan adalah terhad akibat hujan selain risau dirempuh batang pokok yang hanyut.
Selepas hampir satu jam hanyut, bot yang kami naiki tersadai di sebuah tanjung sungai. Tiada pihak yang dapat dihubungi kerana kawasan itu tiada liputan telekomunikasi.
Jadi, penumpang sekadar menunggu sebuah lagi bot ekspres dari syarikat sama yang dijadualkan bertolak dari Marudi ke Miri dua jam berikutnya.
Mujurlah semua penumpang selamat tiba di bandar raya Miri walaupun lewat lima jam selepas berpindah naik ke bot ekspres yang baru tiba itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: