Tuesday, June 11, 2013

Pasaran global kopi Vietnam


DIEM melihat pokok kopi yang ditanam di ladangnya di Buon Ma Thuot, Vietnam.


KEBANYAKAN pekebun kopi di Vietnam tidak pernah mendengar double tall skinny latte, tetapi mereka boleh memberitahu anda harga biji kopi yang sering kali bermain dalam fikiran mereka.
Bermula daripada sistem pengairan Israel berteknologi tinggi hingga ke harga terkini bagi komoditi tersebut yang disemak melalui khidmat pesanan ringkas, pertanian kopi di Central Highlands, Vietnam semakin berkembang maju sejak Perancis memperkenalkan tanaman kopi di negara Indo-China itu lebih satu abad lalu.
"Sebelum ini, saya membawa kopi untuk dijual di pasar dengan menggunakan basikal tetapi kini saya perlu menyemak harga biji kopi terlebih dahulu melalui telefon bimbit sebelum memulakan perjalanan," kata seorang pekebun berusia 44 tahun, Ama Diem.
Dengan menghantar mesej CA ke nombor 8288 dari mana-mana telefon mudah alih di Vietnam, para pekebun akan menerima harga biji kopi Robusta di London dan harga biji kopi Arabica di New York daripada firma bekalan data.
Para pekebun yang peka dengan harga komoditi kedua paling banyak didagangkan di dunia selepas minyak itu mampu menjana pendapatan lebih dengan cepat.
"Kami hanya menjual kopi di pasaran apabila betul-betul yakin ia dapat dijual pada harga yang tinggi.
"Kami membuat semakan harga banyak kali sebelum menjualnya," kata Diem kepada AFP di ladang kopinya di Buon Ma Thuot.
Pasaran global
Pekebun kopi di Vietnam telah mengubah pasaran global. Jika anda mengambil secawan kopi pagi ini, kemungkinan besar anda merasai kenikmatan biji kopi Vietnam atas jenama Nestle dan Britain's Costa Coffee yang merupakan antara pembeli utama.
Pada tahun 1980, Vietnam menyumbang kurang daripada 0.1 peratus, namun ia meningkat kepada kira-kira 13 peratus pada tahun 2000. Pertumbuhan mendadak itu menyebabkan kejatuhan harga kopi dunia pada tahun 1990-an.
Bagaimanapun, ada harga yang perlu dibayar apabila berlakunya kebangkitan tanaman seperti kopi di Central Highlands.
Segelintir minoriti pribumi telah kehilangan tanah mereka kerana memberi laluan kepada ladang berskala besar yang diusahakan sebahagian besarnya etnik Kinh yang berhijrah ke rantau tersebut.
Kini, negara komunis itu menjadi pengeluar kopi kedua terbesar dunia, tetapi ia dilihat sebagai pengeluar pada skala besar dan bukannya dari segi kualiti.
Rasa pahit Robusta telah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa. Kopi tersebut kebanyakannya dieksport sebagai biji kopi mentah.
"Kopi Vietnam merupakan satu fenomena yang menakjubkan," kata Jonathan Clark yang merupakan Ketua Pengarah Pengeksport Kopi Dakman.
Katanya, eksport melonjak tinggi tahun lalu hampir menyaingi Brazil yang merupakan pengeluar dan pengeksport terbesar dunia.
Tahun lalu, Vietnam mengeksport 1.73 juta tan kopi bernilai $3.67 bilion (RM10.97 bilion) dan menyumbang lebih 50 peratus daripada Robusta di dunia yang digunakan untuk membuat kopi segera atau campuran.

PARA pekerja memasukkan biji kopi dalam plastik di sebuah kilang di Vietnam.


Intai peluang
Clark memberitahu, penggunaan kopi di Asia semakin meningkat. Syarikat-syarikat pemanggang kopi turut mengintai peluang di negara kos rendah yang tidak mengenakan sebarang cukai ke atas eksport kopi untuk menjalankan operasi mereka di rantau ini.
Presiden Starbucks Asia Pasifik, Jinlong Wang memberitahu, ekoran penggunaan kopi yang terbantut di Barat, Vietnam menyasarkan pencinta kopi daripada golongan kelas pertengahan.
Starbucks membuka premis pertamanya di selatan Bandar Raya Ho Chi Minh Februari lalu dan bakal membuka beratus-ratus lagi pada masa akan datang di negara tersebut.
Tanah gunung berapi di Vietnam sangat sesuai untuk penanaman kopi yang mendapat permintaan tinggi.
Menurut Raja Kopi Vietnam, Dang Le Nguyen Vu, peminat kopi lebih banyak menggunakan jenis Arabica yang mengandungi 1.5 peratus kafein. Ia menyamai 2.5 peratus kekuatan Robusta.
Pengasas kepada penanaman kopi gergasi tempatan, Trung Nguyen yang mempunyai 55 premis minuman kopi di Vietnam dan lima di Singapura begitu teruja meletakkan kopi Robusta Vietnam di peta dunia.
"Robusta bukanlah berkualiti rendah. Cuma, apa yang berlaku di seluruh dunia kini ialah mereka telah belajar untuk menikmati kopi Arabica," kata Vu dalam satu temu bual di Kampung Trung Nguyen di Buon Ma Thuot, Vietnam.
Sebahagian besar tugas syarikat Trung Nguyen adalah untuk meningkatkan kualiti biji kopi tempatan, bekerja dengan pekebun bagi memperkenalkan sistem pengairan berteknologi tinggi, mengurangkan penggunaan racun perosak dan meningkatkan pendapatan mereka.
Trung Nguyen sudah mengeksport kopi ke 60 buah negara. Sementara itu, Ngunyen Vu memberitahu, kewujudan kafe Starbucks di Vietnam telah meningkatkan keazamannya untuk membuka beberapa kafe di Amerika Syarikat.
Kafe tersebut akan menawarkan cara tradisional orang Vietnam menikmati kopi pekat yang dibancuh di dalam bekas penapis individu.
"Kita mesti dapat mengatasi Starbucks. Kita harus menawarkan sesuatu yang lebih menarik bagi pengguna di Amerika Syarikat.
"Saya mahu seluruh dunia memahami bahawa kopi orang Vietnam adalah terbaik, terbersih dan paling istimewa," ujar Vu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: