Tuesday, June 11, 2013

Kelainan menjamu selera di Lat's Place


INILAH rupa hidangan pembuka selera yang dinamakan Meor's Hot and Cold Platter.


RASA penat akibat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, Nusajaya, Johor yang mengambil masa lebih kurang lima jam terubat apabila kehadiran kami disambut mesra kakitangan Lat's Place.
Melangkah masuk ke Lat's Place mengembalikan nostalgia kehidupan di kampung dengan bunyi cengkerik dan siulan burung walaupun ia hanya menggunakan audio.
Dari pintu masuk sehinggalah rombongan media dipersilakan duduk, senyuman manis petugas tidak lekang dilemparkan kepada kami.
Makanan dihidang dengan tudung saji comel membuatkan penulis tidak sabar menjamah hidangan pembuka selera berupa otak-otak, kerabu mangga dan udang bersama tembikai susu.
Hidangan lazat itu mungkin sama seperti di tempat lain, namun Lat's Place ada kelainan yang mahu ditonjolkan.
Di Lat's Place, pengunjung akan melalui pengalaman dihidangkan sajian dengan cara yang unik dan menghiburkan.
Ala drama muzikal bersiri Glee, kakitangan Lat's Place menyanyi sambil menari apabila menghidangkan makanan kepada pengunjung. Ya, ia pengalaman baharu bukan sahaja kepada penulis, bahkan tetamu yang singgah di Lat's Place.
Sambil menjamu selera, muncul watak-watak kartun Lat seperti Pak Ali, Mrs. Hew, Tong, Anna, Meor dan Rani pada beberapa layar yang mengelilingi kawasan menjamu selera.
Bukan sekadar watak pegun biasa, watak-watak itu berinteraksi dengan pengunjung seolah-olah mereka melihat apa yang kami sedang lakukan.
Tidak lama kemudian kedengaran bunyi beduk yang mengiringi masuk empat kakitangan lelaki dan wanita bersama pongkes, jala serta bubu memulakan nyanyian selamat datang mengalu-alukan kehadiran kami.

HIDANGAN pembuka selera untuk kanak-kanak yang menyelerakan.


Menurut Pengurus Besar Themed Attractions and Resort (TAR) PH Holdings Sdn. Bhd., Peter Xavier, Lat's Place yang dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada Februari lalu merupakan sebuah restoran yang mengangkat tema animasi.
"Ia mengetengahkan serta menghidupkan watak-watak kesayangan kartunis tersohor Datuk Mohd. Nor Khalid atau Datuk Lat.
"Konsep muzikal di Lat's Place memberikan pengunjung pengalaman menikmati hidangan dalam suasana interaktif berlatarbelakangkan kisah-kisah Lat yang bertemakan sebuah kenduri masyarakat Malaysia dan aktiviti-aktiviti komuniti," katanya sambil memberitahu Lat's Place merupakan restoran tema animasi pertama seumpamanya di Malaysia.
Tambahnya, konsep muzikal membolehkan penonton dan kakitangan Lat's Place untuk berinteraksi dalam suasana menyeronokkan.
"Lat's Place menerima maklum balas positif daripada pelanggan yang memuji keunikan konsep ini. Kami menjangkakan lebih ramai pengunjung pada bulan-bulan akan datang," ujarnya.
Sesi menjamu selera interaktif itu yang mengambil masa 80 minit benar-benar menghiburkan. Pengunjung yang sporting turut diajak menari joget lambak dan menyanyikan lagu Can Mali Can pada penutup persembahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: