Tuesday, June 11, 2013

Busana Muslimah inspirasi Prof. Muhaya



TREND sering dijadikan ukuran bagi penghasilan sesuatu gaya. Sama ada di luar atau di dalam negara, majoriti pengusaha butik atau pereka fesyen lazimnya merujuk kepada perkembangan trend semasa dan gaya hangat yang menjadi ikutan masyarakat dunia.
Begitu juga dalam konteks fesyen Muslimah. Ketika ini, gaya-gaya turban dan selendang dengan inspirasi puak atau geometri dirasakan wajib dimiliki setiap wanita. Begitu juga dengan baju kurung dan jubah dengan potongan moden yang menjadi pilihan rata-rata golongan Hawa.
Rantaian fesyen sebegitu tidak membelenggu butik Modest Culture. Malah jenama yang ditubuhkan sejak bulan November tahun lalu itu dengan beraninya mencipta trend Muslimah tersendiri tanpa perlu runsing terhadap saingan industri fesyen Muslimah yang lain.
“Alhamdulillah, kami berjaya membentuk kelompok pengikut tersendiri dan penerimaan masyarakat terhadap jenama ini semakin berkembang,” ujar Pengarah Urusan Modest Culture, Noor Atiyah Azmi, 28, ketika ditemui Stailo.
Modest Culture diwujudkan atas inspirasi pakar motivasi terkenal, Profesor Dr. Muhaya Mohamad dan Noor Atiyah yang merupakan salah seorang anak Muhaya.
Benih idea kelahiran Modest Culture bermula pada penghujung tahun lalu. Ia sememangnya menjadi impian Muhaya mahu mewujudkan jenama fesyen peribadi untuk wanita Muslimah.

JENAMA ini mula mendapat perhatian masyarakat melalui sentuhan Islamik.


Bermula dengan jualan tudung, Modest Culture beroperasi secara talian pada peringkat pengenalan. Jubah menjadi item kedua di bawah jenama itu. Akhirnya mereka sepakat membuka butik khusus bagi menempatkan item-item Modest Culture.
“Butik ini dilancarkan pada bulan lalu. Sambutan yang diterima amat menggalakkan terutamanya pada hujung minggu apabila ibu sendiri turun ke butik,” tambah Noor Atiyah.
Rekaan-rekaan Modest Culture merupakan hasil usaha Muhaya bersama pereka butik yang dilantiknya. Paling penting, bagi memastikan setiap helaian item jualannya menepati garis panduan aurat wanita, Modest Culture turut merujuk kepada seorang ustaz bagi menutup keraguan pelanggan.
Penggunaan fabrik utama seperti likra dan kapas likra juga membuatkan jubah-jubah di Modest Culture praktikal. Hanya tinggal disarungkan tanpa perlu bersusah payah menggosoknya.
Menurut Noor Atiyah, likra menjadi pilihan Modest Culture atas sebab keselesaan. Penggunaan warna-warna gelap pada busana mereka berjaya menyembunyikan bentuk tubuh secara ketara.
Begitu juga dengan tudung-tudung di butik itu. Semuanya labuh menutup dada. Noor Atiyah berkata: “Hanya bahagian tepi tudung tidak menutupi penuh bahu. Berdasarkan konsultasi daripada ustaz, ia tidak mengapa dan masih menepati syariat Islam.
“Bahagian depan tudung pula kami terapkan teknik twist bagi memberi efek berombak agar gaya tidak tampak terlalu mendatar.”

NOOR ATIYAH (kiri) mengusahakan butik Modest Culture bersama ibu, Prof. Muhaya (kanan) yang banyak memberi panduan dan nasihat.


Signatur Muhaya
Menyelak sehelai demi sehelai jubah di Modest Culture, langkah pasti terhenti di rak Prof. Muhaya Signature. Set jubah lengkap dengan tudung yang sering menjadi gaya rasmi Muhaya dipamerkan di rak tersebut.
Menggunakan nama Get It Right The First Time, koleksi itu menawarkan baju dan kain berasingan dengan corak pada kain dan tudung direka senada. Baju pula dibiar kosong tanpa sebarang motif agar penampilan tidak sarat.
Mereka yang bercadang ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan umrah atau haji digalakkan memiliki sehelai bolero daripada Modest Culture. Jubah berkonsep tanpa lengan itu didatangkan dalam dua warna gelap dan bebas tanpa sebarang corak.
Untuk kemudahan pakaian di rumah pula, kardigan panjang mungkin idea yang baik. Ia sangat praktikal saat menerima kunjungan tetamu di luar jangkaan. Kesuntukan masa untuk bersiap menjadikan item ini pilihan terbaik bagi menutup aurat dengan sempurna.
Jubah Elegance potongan A di bawah koleksi Modest pula menepati cita rasa wanita muda. Motif ceria yang tidak terlalu menyerlah membuatkan si pemakai kelihatan sederhana namun masih menarik.
Khusus bagi golongan ibu yang hamil atau dalam tempoh menyusukan anak, jubah Nursing Mum dengan nama Smart Mum pasti memberi keselesaan yang memuaskan hati.
Mengambil rekaan serupa daripada koleksi Modest, perbezaan jubah Smart Mum terletak pada bahagian dada yang mempunyai bukaan bagi tujuan penyusuan.
“Kesemua pakaian di Modest Culture dijual dalam jumlah terhad. Sehubungan itu nilai eksklusif bagi sehelai pakaian di sini amat tinggi,” jelas Noor Atiyah yang turut menambah bahawa saiz jubah di butik itu terdiri daripada S, M, L dan XL.

BOLERO tanpa lengan sesuai dipakai ketika mengerjakan umrah atau haji di tanah suci.


Solat Ready
Himpunan tudung Modest Culture pula menyaksikan koleksi Solat Ready sebagai item paling hangat dalam kalangan pelanggan. Setiap tudung direka dengan labuh yang sama pada bahagian depan dan belakang.
“Tudung disediakan dalam saiz S dan M sahaja buat masa ini. Apa yang membezakan setiap tudung ini adalah saiz lilitan muka.
“Pelanggan juga boleh memilih sama ada mahukan tudung pelapik keras dengan motif-motif yang pelbagai atau tudung pelapik lembut yang direka polos. Tidak lama lagi kami akan keluarkan tudung dengan cetakan paisley,” ungkap Noor Atiyah.
Mereka yang membelanjakan RM200 ke atas secara automatik layak untuk menjadi ahli MC Friends Club. Ia memberikan kelebihan kepada ahli menikmati potongan item-item terpilih dan tawaran semasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: