Friday, June 14, 2013

Merungkai misteri sains di Kiddo Sains


SEBAHAGIAN tenaga pengajar dan pelajar Kiddo Sains The Peak, Cheras, Kuala Lumpur.


KANAK-KANAK sememangnya berminat mempelajari apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kepada mereka, alam dan dunia ini penuh dengan peristiwa dan perkara menarik yang perlu diterokai. Didorong atas rasa minat, hal-hal mengenai bagaimana bayi dilahirkan dan kenapa air laut berwarna biru, mahu diketahui sebaik mungkin.
Mereka bukan sahaja berminat dengan alam semula jadi, bahkan teknologi seharian seperti televisyen, komputer dan telefon.
Minat kanak-kanak kepada hal-hal sedemikian menunjukkan betapa pentingnya pengajaran sains dalam bentuk mudah dan menyeronokkan.
Menyedari hakikat itu, pakar sains, Prof. John Ooi Chin Sun berkongsi pengalamannya dengan membina Kiddo Sains di The Peak, Cheras. Ia sebuah pusat pembelajaran sains yang mementingkan uji kaji secara seronok, tetapi masih mengikut bab-bab mata pelajaran Sains di sekolah.
Menariknya di Kiddo Sains, mereka menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Mandarin sebagai bahasa perantaraan.
“Kanak-kanak memiliki keinginan untuk menyelidik, mengetahui dan memahami. Sifat mereka memang suka bertanya itu dan ini. Jadi, jawapan kita kepada semua soalan mereka, misalnya apa warna langit, kenapa sabut timbul dan batu tenggelam, perlu dalam bentuk yang mudah dan menyeronokkan,” kata Chin Sun.
Menurut Chin Sun, Kiddo Sains dibangunkannya kerana beliau mendapati mata pelajaran Sains tidak diajar secara menyeronokkan di sekolah.
Kesannya, ia memberi persepsi seolah-olah Sains itu sukar. Berpengalaman luas dalam mata pelajaran Sains, Chin Sun berkata, Kiddo Sains pada asalnya ialah sebuah pusat penjagaan kanak-kanak.

BEBERAPA pelajar Kiddo Sains berseronok dengan pelbagai aktiviti.


Uji kaji
Di pusat itu, pelajar diajar dan diterapkan kefahaman tentang sesuatu perkara berkaitan sains. Mereka juga melakukan uji kaji dan menggunakan produk tertentu untuk melihat kesannya.
Sebagai contoh, jika topik pembelajaran ialah mengenai organ manusia dan haiwan, mereka akan membedah haiwan bagi melihat organ-organnya.
“Mereka melakukan pembedahan ke atas haiwan seperti katak dan tikus. Ini merupakan silibus untuk pelajar tingkatan lima tetapi di Kiddo Sains, mereka tahu lebih awal tentang perkara ini,” kata seorang tenaga pengajar yang juga pengasas bersama Kiddo Sains, Markus Ooi Swee Keong.
Kiddo Sains The Peak mempunyai empat orang tenaga pengajar tetap dan dua orang guru bekerja secara sambilan. Kesemua mereka berpengalaman dalam subjek Sains dan mengajar lebih 80 pelajar Kiddo Sains daripada berbagai-bagai peringkat umur bermula dari empat hingga 12 tahun.
Pelajar dibahagikan kepada tiga tahap pembelajaran iaitu Introducing Science untuk pelajar yang berumur seawal lima tahun hingga tujuh tahun, Discovery Science dari umur lapan hingga sembilan tahun dan Experimental Science dari umur 10 hingga 12 tahun.
Pada akhir pembelajaran, pelajar dibenarkan membawa bahan-bahan kajian mereka untuk dijelaskan kepada ibu bapa masing-masing tentang apa yang telah dipelajari.
Dengan erti kata lain, mereka mempelajari sains secara seronok dan mudah.

SUASANA pembelajaran di Kiddo Sains menyeronokkan dan penuh interaktif.


Alam kehidupan
“Sains bagi kanak-kanak bermula apabila mereka dapat berhubung dengan alam kehidupan melalui tindakan dan perlakuan sendiri seperti meniup belon atau sabun.
“Peluang mempelajari sains ini terdapat di pelbagai tempat dan keadaan. Antaranya di dapur, sekolah, tepi kolam, sungai dan laut serta zoo.
“Di Kiddo Sains, kami gabungkan semuanya supaya mereka tahu bahawa mempelajari sains itu seolah-olah berada di padang permainan. Kami bawa pelajar ke kolam dan zoo untuk aktiviti luar.
“Mereka melakukan aktiviti amali sekali gus menghayati nilai-nilai murni yang relevan dalam sains,” kata seorang lagi pengajar Kiddo Sains, Azizah Abdul Aziz.
Sementara itu, di Kiddo Sains, terdapat tema tertentu yang digunakan setiap minggu, misalnya tema kitaran hidup serangga.
Menerusi topik itu, pelajar akan diberi pendedahan bukan sahaja tentang kehidupan serangga bahkan bagaimana ia membiak dengan membuat pemerhatian langsung.
Kiddo Sains The Peak yang beroperasi sejak dua tahun lalu turut mempunyai lima pusat lain seumpamanya. Ia menggunakan kombinasi pembelajaran sains dari Taiwan dan Singapura yang disesuaikan dengan kehendak pelajar tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: