Friday, June 14, 2013

Terseliuh kaki ketika berfutsal


BERMAIN futsal di atas permukaan yang keras mendedahkan pemain kepada risiko kaki terseliuh. - Gambar hiasan


BAGI penggemar permainan futsal khususnya anak-anak muda, mereka perlu berwaspada terhadap risiko kaki terseliuh.
Kecederaan ligamen buku lali adalah perkara biasa semasa bersukan seperti bermain bola sepak. Hampir 25,000 orang di seluruh dunia direkodkan mengalami masalah tersebut setiap hari.
Kaki terseliuh sering dikaitkan sebagai akibat pemakaian kasut yang tidak sesuai, tersilap langkah atau kurang bernasib baik semasa melakukan gerakan. Bukan itu sahaja, ia juga berlaku apabila kaki terpulas, terpusing atau terlipat melebihi had lazim.
Ligamen buku lali merupakan penahan efektif, tetapi disebabkan asakan yang keterlaluan, sebahagian atau keseluruhan ligamen boleh terkoyak.
Kebiasaannya, kedudukan kaki yang tidak selesa semasa berlari, memanjat atau menuruni bukit curam adalah punca biasa kaki terseliuh. Begitu juga jika anda tersilap langkah ketika turun dari katil.
Kecederaan juga boleh terjadi apabila memijak permukaan tidak rata terutamanya yang berlaku secara tiba-tiba seperti terjerumus ke dalam lubang.
Sesetengah acara olahraga, misalnya bola keranjang dan bola jaring yang memerlukan pergerakan meloncat, mungkin mencederakan buku lali iaitu semasa kaki kembali berpijak secara tidak sempurna di atas tanah.

KAKI terseliuh sering berlaku kepada individu yang aktif bersukan.


Bagaimana anda tahu kaki terseliuh?
Pergerakan luar biasa boleh menjadi penyebab kaki terseliuh. Insiden terseliuh yang paling lazim ialah kaki dalam kedudukan fleksi plantar yang berpijak secara tidak selesa berikutan pergerakan kaki yang berterusan.
Kalau buku lali anda bengkak, kemungkinan besar anda telah terseliuh atau mengalami kecederaan yang lebih teruk daripada itu, sehinggakan pergerakan sedikit pun akan mengundang kesakitan.
Bila anda harus bimbang?
Kebanyakan kes terseliuh pergelangan kaki yang sederhana tidak memerlukan rawatan di hospital. Anda perlu berjaga-jaga tetapi jangan panik sekiranya:
* Kesakitan tidak dirawat sebaiknya di hospital.
* Anda tidak berupaya berjalan dengan selesa walaupun pergerakan melebihi empat langkah atau anda mengalami kesakitan yang teruk apabila menekan maleolus medial atau maleolus lateral iaitu benjol bertulang di setiap sisi buku lali. Ia memerlukan pemeriksaan radiograf bagi mengetahui sama ada berlaku keretakan tulang atau tidak.
*Anda tidak boleh menggerakkan buku lali yang tercedera itu dengan selesa.
*Kaki atau buku lali membengkak secara luar biasa.
*Kaki atau jari anda kebas.
*Keadaan anda tidak beransur pulih selepas beberapa hari.
Apa yang harus dibimbangkan?
Kebanyakan kaki terseliuh boleh dirawat secara konservatif tetapi ia perlu dilakukan pada peringkat awal. Terseliuh yang lebih teruk mungkin memerlukan penggunaan pendakap gelang kaki bagi menyembuhkan ligamen yang tercedera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: