Friday, June 14, 2013

Masak bersama blogger makanan



WALAUPUN terpaksa memandu dari Tanjung Malim, Perak ke ibu negara, Asliza Yusoff, 38, tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja untuk menyertai pertandingan memasak buat pertama kali.
Uniknya, pertandingan dikenali sebagai Anugerah Simplot - Blogger Makanan Terbaik itu hanya melibatkan tujuh peserta yang kesemuanya merupakan pengendali blog makanan.
Asliza yang merupakan seorang pensyarah berdebar-debar untuk memulakan saingan. Tambahan pula, peserta-peserta lain yang ditemui di lokasi pertandingan iaitu di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur kelihatan hebat dan berbakat.
Ibu kepada tiga orang anak itu hanya mampu berdoa dan pada masa sama mengharapkan sokongan padu suami dan anak-anak.
“Sokongan mereka menaikkan semangat saya untuk membuat yang terbaik. Sebelum itu, saya telah mempelbagaikan kemahiran memasak agar dapat menghasilkan hidangan yang sedap,” ujar Asliza yang ketika ditemui sedang bersedia untuk membeli-belah barangan keperluan bagi menyertai pertandingan di pasar raya Ben’s Independent Brocer di Publika.
Wang saku
Setiap peserta diberikan wang saku sebanyak RM88 untuk membeli-belah barangan yang akan digunakan untuk memasak dengan syarat mereka harus membeli serta menggunakan produk hashbrown Simplot yang juga penaja utama pertandingan tersebut.

HADIJAH sibuk memilih daging cincang untuk menyediakan bebola spageti bolognese Simplot.


Semua peserta diberikan masa selama 30 minit untuk membeli-belah dan satu jam untuk memasak sebelum dinilai panel hakim. Para hakim terdiri daripada pakar kulinari daripada Simplot, Chef Poobalan, Presiden Persatuan Kulinari Malaysia, Dr. Sidney Kan dan pemenang MasterChef Selebriti Malaysia, Datuk Fazley Yaakob.
Kesemua masakan mereka dinilai menerusi enam kriteria utama iaitu rasa, kreativiti, teknik, kebersihan
dan juga kemudahan penyediaan.
Keenam-enam kriteria tersebut membuatkan semua peserta memberikan tumpuan sepenuhnya kepada masakan termasuk soal kebersihan dapur dan hiasan.
Pengurus Pemasaran Komersial Serantau Simplot Asia Tenggara, Ong E-Laine turut turun padang untuk memberi semangat kepada peserta.
E-Laine berjanji untuk terus menawarkan lebih banyak platform untuk blogger menunjukkan bakat serta daya kreativiti.
Dalam pada itu, Asliza yang telah membelanjakan RM87.90 sudah bersedia dengan bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan masakan sosej ayam kaserol mini bersama hashbrown Simplot.
Dalam masa kurang sejam, Asliza berjaya menyediakan masakannya yang dipamer dalam dua pinggan berbeza. Pinggan pertama untuk diadili oleh para hakim dan satu lagi untuk sesi fotografi.

PEMENANG Anugerah Simplot, (dari kiri) Asliza, Jennifer dan Kelly bersama hidangan mereka.


Asliza dengan tenang menempatkan kaserol di atas pinggan bersegi sambil menghias menggunakan daun parsli Inggeris, telur hancur serta tomato ceri.
“Saya selalu melayari laman masakan bagi tujuan mempelbagaikan masakan selain mencuba resipi-resipi baharu. Lagipun suami dan anak-anak saya menggemari masakan yang saya masak,” ujar Asliza yang turut belajar memasak daripada ibu serta mertuanya.
Selain memasak, Asliza juga banyak membuat kek dan pastri.
Tatkala para juri mengumumkan nama barisan pemenang, Asliza kelihatan tersenyum lebar apabila namanya diumumkan di tempat ketiga.
“Saya tidak percaya dengan kemenangan ini. Ia satu pengiktirafan kepada saya,” kata Asliza.
Suami Asliza, Mohd. Zaimiruddin Mohamed, 39, dan anak-anaknya, Nurul Adnin Aqilah, 13, serta Ibtisam Hulwani yang hadir di Publika turut gembira dengan kemenangan itu.
“Suatu hari nanti, mungkin selepas bersara, saya mahu membuka kafe sendiri. Makanan signatur saya dan kegemaran suami ialah nasi Arab yang menggunakan arang bakar untuk memasak nasi,” katanya yang berblog menggunakan alamat mothercooks.blogspot.com.
Resipi mudah
Bagi pemenang yang memenangi hadiah tempat kedua, Kelly Chin dari Kuala Lumpur, beliau menyediakan makanan telur bakar bersama hashbrown mini.

FAZLEY memberi suntikan semangat kepada peserta semasa sesi masakan berlangsung.


Dia mengakui resipi tersebut antara resipi paling mudah, tetapi sangat enak dimakan. Kelly menggunakan laman blog kellysiewcooks.com.
Dalam pada itu, pemenang utama, Jennifer Khoo, 38, seorang penganalisis sistem dari Kepong, Kuala Lumpur menampilkan masakan yang dilabel paling sempurna oleh hakim iaitu quiche salmon salai hashbrown Simplot.
Jennifer mendapat inspirasi daripada ibunya yang mahir memasak masakan Baba Nyonya. Resipi yang dipertaruhkannya dalam pertandingan itu diperoleh daripada kakaknya.
“Saya ubah sedikit resipi tersebut dengan menggunakan hashbrown dan ternyata ia berjaya. Sebelum aktif berblog, saya gemar berkongsi ilmu dalam rangkaian sosial Facebook,” katanya yang baru mula berblog dua tahun lalu menggunakan alamat chasingfooddreams.blogspot.com.
Jennifer membawa pulang trofi anugerah Simplot, wang tunai RM5,000, peralatan dapur Philips bernilai RM2,000 dan produk Simplot. Kelly pula memenangi wang tunai RM3,000, peralatan dapur Philips bernilai RM1,000 dan produk Simplot.
Asliza memenangi wang tunai RM2,000, peralatan dapur Philips bernilai RM600 serta produk Simplot.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: