Sunday, June 2, 2013
Anum Arjuna ditaja
SEJURUS terkeluar pada minggu ketiga konsert rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pada 2010, nama Anum Arjuna mungkin tidak sempat untuk diingati peminat. Sementelah ramai penyanyi baharu berlumba-lumba mengintai peluang.
Sempat merakam single berjudul Berakhir Sebelum Bercinta, hala tuju sebenar penyanyi itu tidak kelihatan bahkan menjauh daripada arus muzik. Dia menyepi daripada sebarang publisiti.
Merungkai segala persoalan, Anum yang nama sebenarnya Dayang Nor Anum Arjuna Aharun itu bertemu muka dengan media. Dia bercerita bagaimana kisahnya berhenti menyanyi bagi memberi tumpuan kepada pelajaran.
“Benar, saya tidak aktif menyanyi selepas merakamkan lagu itu. Bukan kerana berkecil hati atau terus menerima kekalahan kerana penyingkiran tersebut, tetapi saya sedang menyambung pelajaran di sebuah universiti swasta.
“Setelah keluar daripada AF8, saya menyambung pelajaran peringkat diploma kerana meminati bidang pengurusan hotel,” kata gadis genit berusia 21 tahun ini.
Tanpa memberi sebarang perkhabaran awal untuk kembali aktif, Anum tiba-tiba muncul semula di pentas nyanyian.
Di samping melancarkan single berjudul Tak Faham di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur minggu lalu, Anum turut diumumkan sebagai duta sebuah syarikat perisian telefon pintar, Cell.Ads.
“Cell.Ads menjadi penaja untuk promosi single terbaharu ini. Memang seperti tidak percaya peluang itu tiba, tetapi saya akan berusaha untuk bangkit dalam bidang ini,” katanya.
Anum berperanan dalam memperkenalkan perisian baharu tersebut yang berkonsepkan wallpaper dan iklan pada telefon pintar. Untuk maklumat lanjut layari www.cellads.net.my.
Biarpun rezekinya dalam dunia nyanyian hadir secara tiba-tiba, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini tetap berdepan halangan untuk terus bergelar penyanyi popular.
“Saya benar-benar gembira atas pelancaran single itu, tetapi jauh di sudut hati saya ada rasa dilema dan bercampur baur. Semasa saya bertungkus-lumus mempromosikan single terbaharu ini, adik lelaki saya pula sakit tenat.
“Justeru saya terpaksa berulang alik ke Sabah bagi melawat adik saya itu yang disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.
“Namun, saya harus membuat keputusan yang profesional dengan meneruskan usaha ini apatah lagi terikat dengan pihak penaja.
“Justeru, inilah masa yang paling sesuai untuk melancarkan lagu terbaharu,” kata anak ketiga daripada 10 adik-beradik ini.
Lagu Tak Faham pada asalnya dicipta khas buat penyanyi lelaki. Namun apabila Aldianor Webb selaku penulis lirik dan pencipta lagu itu berkenalan dengan penyanyi tersebut, tanpa berfikir panjang lagu diserahkan kepada Anum dengan beberapa sentuhan semula.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: