Sunday, June 2, 2013
Catat lebih 50,000 pengunjung
KUALA TERENGGANU – Kemuncak Bulan Pengguna Kebangsaan 2013 (BPK 2013) yang diadakan di Pantai Batu Buruk di sini sejak 30 Mei lalu berakhir semalam.
Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan selama tiga hari itu berjaya mencapai objektif penganjuran bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan hak-hak pengguna dan kepenggunaan.
Penyelaras Program BPK 2013, Zalinah Mohd. Yusof berkata, karnival kali ini berjaya mencapai sasaran melebihi 50,000 pengunjung.
“Setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh tiga hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terutamanya dari Terengganu.
“Antara aktiviti tersebut termasuk pertandingan memancing, wau, dekorasi sayuran dan buah-buahan segar serta ceramah Kepenggunaan Islam oleh Ustaz Kazim Elyas Al Hafiz,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, Zalinah menambah, aktiviti yang diadakan di gerai-gerai pameran dan jualan turut mendapat sambutan memberangsangkan.
Katanya, kerjasama yang dijalinkan bersama agensi-agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan itu secara tidak langsung melancarkan perjalanan karnival.
“Selain daripada itu, program ini memperlihatkan objektif untuk mendidik masyarakat mengenai kepenggunaan juga membuahkan hasil.
“Ini kerana semasa melaksanakan kuiz pengguna selama tiga hari, para pengunjung mengetahui hak-hak mereka sebagai pengguna,” ujarnya.
Zalinah seterusnya memberitahu, pengunjung juga memperoleh banyak maklumat daripada gerai pameran agensi-agensi kerajaan.
“Kita juga bercadang mengadakan BPK pada tahun hadapan kerana ia dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai hak mereka sebagai pengguna.
“BPK 2013 turut ingin berterima kasih kepada rakyat Terengganu dan kerajaan negeri dalam memberi sokongan menggalakkan pada kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, hari terakhir sambutan BPK 2013 semalam juga menyaksikan acara lelong barangan peribadi artis mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.
Katanya, acara amal yang dijalankan itu bertujuan bagi mengutip derma untuk tabung pembinaan hospital di Gaza.
“Daripada baju-baju yang dilelong, kita berjaya mengutip wang derma sehingga RM 4,009. Ia termasuklah hasil jualan kupon untuk aktiviti permainan interaktif di gerai-gerai yang disediakan di karnival ini,” katanya.
Antara aktiviti menarik hari terakhir semalam termasuk cabutan bertuah, pertandingan karaoke, gotong-royong dan bola sepak pantai bersama artis.
Antara artis yang turut serta ialah Syed Aiman, Danny X-Factor, Almy Nadia, Sari Yanti, Black, Ridzuan Hashim, Wan Sharmila, Dynaz serta Azrul dan Jihan Raja Lawak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: