Thursday, June 6, 2013

Bukan penutup hidung biasa



MUHD. AZHARI HUJLI menghidap sakit jantung berlubang sejak dilahirkan. Disebabkan itu, Muhd. Azhari yang berusia tujuh tahun terpaksa menjalani pembedahan laser untuk merawat penyakitnya. Menurut ibunya, Aznita Arbain, 43, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu terpaksa menjalani pembedahan selain bergantung kepada ubat-ubatan.
Begitupun, akui Aznita, rawatan tersebut bukanlah membebaskan Muhd. Azhari 100 peratus daripada penyakit tersebut kerana Muhd. Azhari perlu mematuhi beberapa pantang larang bagi mengelakkan dia jatuh sakit.
Salah satu daripada pantang larang itu ialah dia tidak boleh terdedah kepada habuk.
“Habuk akan menyebabkan anak saya demam, selesema dan muntah. Jadi, saya tidak punya pilihan lain daripada memastikan pada kebanyakan masa Muhd. Azhari mengenakan penutup hidung bagi menapis habuk masuk ke saluran pernafasannya,” luah Aznita ketika ditemui di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Namun, akui Aznita, pemakaian penutup hidung konvensional yang besar pada kebanyakan masa menyebabkan anaknya itu kurang selesa.
“Biasalah kanak-kanak, bila mengenakan penutup hidung biasa itu mereka malu sebab kelihatan janggal. Jadi, akhirnya mereka enggan memakainya,” ujarnya.
Namun, sejak sebulan lalu selepas diperkenalkan oleh seorang rakan mengenai penutup hidung yang dikenali sebagai Nosk, Aznita sudah boleh tersenyum lega.
Penutup hidung Nosk yang diimport dari Korea Selatan itu sememangnya mudah dipakai, malah saiznya yang kecil menyebabkan orang ramai tidak dapat melihatnya.
“Sejak sebulan Muhd. Azhari memakainya, dia tidak lagi menghidap selesema. Jadi, dia akan memakai penutup hidung itu apabila keluar dari rumah sahaja,” ujarnya lagi.
Pingat emas
Aznita mengakui pihak Institut Jantung Negara (IJN) juga mengesyorkan pemakaian penutup hidung tersebut.
Dihasilkan oleh syarikat Samjoung dari Korea, inovasi tersebut menerima pingat emas sempena majlis Ciptaan Idea Pintar pada tahun 2009 di Thailand apabila ia diiktiraf sebagai penutup hidung yang terkecil di dunia.
Alat ini mampu menapis bendasing sekecil satu mikron.


Sebelum ini, syarikat itu menceburi perusahaan pengeluaran pakaian, namun mengambil inisiatif untuk menjadi sebuah syarikat kreatif, sekali gus berjaya mengeluarkan produk mesra alam, Nosk.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Joung berkata, pihaknya telah menjalankan kajian selama enam tahun sebelum mula memasarkan Nosk.
Kajian berkenaan merangkumi pembuatan, reka bentuk, kesan kepada pengguna dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk berkenaan.
“Selain pengeluaran Nosk, kami bercadang membangunkan produk-produk dasar laut untuk memberikan kepuasan dan keselesaan kepada pengguna,” ujarnya.
Selain Muhd. Azhari, seorang suri rumah, Nitawati Okili Latif, 40, turut menggunakan penutup hidung itu.
“Saya memakainya apabila melakukan kerja-kerja rumah dan membeli-belah. Saya berasa selesa sepanjang masa memakainya berbanding penutup hidung bersaiz besar yang menyebabkan muka berpeluh dengan mudah.
“Lagipun, apabila kita memakai penutup hidung yang besar, menyebabkan orang ramai menganggap kita mempunyai penyakit kronik,” katanya sambil berseloroh.
Seorang penjual Nosk, Nora Ana Othman, 33, berkata, beliau telah mempamerkan produk itu pada pameran Windows to World yang diadakan di KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ramai pengunjung menunjukkan minat untuk membeli produk itu kerana saiznya yang lebih kecil. Malah, ada segelintir pengunjung yang berasa pelik dengan produk terbaharu tersebut.
“Apabila dimaklumkan ia merupakan salah satu jenis penutup hidung, ramai yang ingin tahu lebih lanjut mengenai cara-cara penggunaan produk itu,” katanya.
Penggunaan
Menyentuh mengenai penggunaan penutup hidung itu, beliau memberitahu, pengguna hanya perlu memasukkan bahagian seumpama penapis lembut ke dalam kedua-dua belah lubang hidung. Biarpun, pada mulanya berasa janggal, namun lama-kelamaan pemakainya akan berasa selesa.
“Ia dibekalkan dalam dua unit berserta satu bekas simpanan yang kecil dan boleh dipakai sehingga lapan jam sebelum dibasuh,” jelasnya sambil memberitahu ia boleh dibasuh dengan menggunakan air bersih atau sabun.
Bagaimanapun, had maksimum membasuh penapis itu ialah lapan hingga 16 kali, namun ia bergantung kepada keadaan.
Melihat kepada saiz, Nora berkata, individu yang memakai penutup itu juga mudah makan dan minum.
“Jika menggunakan penutup hidung besar, seseorang itu kesukaran untuk berkomunikasi selain terpaksa menghidu bau busuk mulut yang terperangkap dalam penutup hidung yang besar,” jelasnya.

PENUTUP hidung besar yang menutup sebahagian muka menyebabkan seseorang itu sukar berkomunikasi dan mudah berpeluh. - Gambar hiasan


Bagi pengedar sah Nosk di Malaysia, Mohd. Zaini Yunus berkata, penutup hidung itu sesuai digunakan untuk golongan yang mengalami alahan pernafasan, pelancong, pekerja kilang, pengguna kenderaan dan pekerja binaan.
Menurutnya, Nosk juga sesuai digunakan oleh jemaah haji dan umrah kerana keadaan cuaca serta suasana berdebu di lokasi ibadah itu yang tidak dapat dijangkakan.
Selain itu, ia juga mengelakkan para jemaah dikenakan dam kerana menutup muka ketika berihram.
Secara meluas
Mengikut rekod sejak bulan Februari hingga Oktober tahun lalu, seramai 30,000 jemaah haji dan umrah telah menggunakan penapis hidung itu.
“Lagipun, kami memperkenalkan Nosk secara meluas setelah mendapat maklum balas yang menyatakan jemaah haji dan umrah sering kali mengalami batuk dan selesema,” katanya.
Kebanyakan jemaah haji dan umrah enggan memakai penutup hidung dan muka kerana berasa tidak selesa berikutan saiz topeng yang lebar dan besar.
Ekoran ketidakselesaan itu, segelintir jemaah lebih gemar meletakkan penutup hidung di bawah dagu dan menggunakannya jika perlu sahaja.
“Oleh itu, sejak mengetahui Korea mengeksport produk terbaharu tersebut, kami memohon menjadi pengedar,” katanya.
Di samping itu, ia diperbuat daripada gred plastik C-Flex yang membolehkan seseorang individu itu bernafas secara semula jadi manakala penapis yang terletak di setiap unit hidung pula diperbuat daripada selulosa poliester.
Produk itu mempunyai ukuran diameter 1.4 sentimeter (sm) dan panjang 2.5 sm, sekali gus menjadikannya antara penutup hidung terkecil di dunia.
Sehubungan itu, alat berkenaan mempunyai keupayaan menapis 100 peratus bendasing sekecil satu mikron dan 80 peratus bagi bendasing sekecil 0.2 mikron daripada disedut melalui hidung.
Harga sepasang penutup hidung mini Nosk ialah RM19.95 di Semenanjung manakala RM21.95 di Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: