Thursday, June 6, 2013
Harapan baharu Teluk Havana
KEHADIRAN burung undan yang banyak serta pelbagai spesies ikan di Pelabuhan Havana, Cuba bagaikan memberi satu perkhabaran gembira buat pencinta alam negara itu.
"Ia hilang sejak sekian lama tetapi selepas pihak berkuasa mengambil langkah menjalankan kerja-kerja pembersihan di lautan, haiwan-haiwan tersebut kembali semula terutamanya burung undan," kata seorang nelayan, Eduardo Lozano, 56.
Berdasarkan kehadiran semakin banyak burung undan serta hidupan marin di Teluk Havana, pakar-pakar maritim di Cuba mengakui pencemaran laut yang berlaku sejak 10 tahun lalu berjaya dikurangkan sehingga 60 peratus.
Kebersihan laut itu menyebabkan ikan, burung undan dan spesies hidupan marin yang lain kembali semula di teluk berkenaan.
Menurut akhbar Trabajadores Cuba, program pembersihan itu dijalankan pada tahun 1998 membabitkan kumpulan kerja yang dikenali sebagai GTE-BH.
Tenaga pekerja berkenaan mengesan 100 punca yang menyebabkan pencemaran di teluk itu antaranya pembuangan sampah secara domestik, tumpahan minyak, sisa kilang, kumbahan dan banyak lagi.
Akhbar sama juga melaporkan, pada tahun lalu pembuangan sampah sarap menurun sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2011.
"Pada hari ini, menyeberangi Teluk Havana dengan menaiki feri ke Regla yang terletak di selatan teluk sememangnya menyeronokkan berbanding beberapa tahun lalu kerana terpaksa menahan bau busuk," kata akhbar berkenaan.
Sementara itu, seorang pemancing, Manuel George, 45, berkata, suatu ketika dahulu dia tidak pernah terlintas untuk memancing di Teluk Havana.
"Sebelum ini, Teluk Havana bagaikan tiada hidupan kerana dicemari petroleum dan juga najis dari sungai-sungai berdekatan," ujarnya.
Kesemua sisa pencemaran akan melalui Teluk Havana menyebabkan teluk berkenaan dikenali sebagai kubu El Morro dan La Cabana.
Destinasi pelancongan
Namun, akuinya, hari ini ia sudah sedikit berubah. "Airnya sudah tidak segelap dahulu dan kami sudah berani memancing di Teluk Havana. Kami biasanya tidak pulang dengan tangan kosong malah membawa tangkapan pelbagai jenis ikan," katanya.
Namun, Manuel masih berharap pihak berkuasa lebih tegas dalam hal penguatkuasaan kerana masih terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa buangan ke teluk berkenaan.
Dalam pada itu, salah satu lagi usaha kerajaan Cuba sebagai dalam mengindahkan dan memulihara Teluk Cuba, pelabuhan yang terletak di Havana akan dipindahkan ke lokasi baharu di barat Havana. Projek tersebut dibiayai oleh Odebrecht, konglomerat Brazil dalam bidang pembinaan, petroleum dan bahan kimia.
Bagaimanapun, pembinaan pelabuhan terbaharu itu bertujuan untuk membersihkan pelabuhan tersebut daripada kapal-kapal tangki yang usang.
Masih banyak kapal yang dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang usaha untuk membersihkannya.
Kerja-kerja pembersihan itu dilakukan kerana pelabuhan lama berkenaan akan dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Jadi, pengunjung boleh mengunjungi tapak bersejarah itu tidak lama lagi.
Selain pelabuhan, kerja-kerja pemulihan juga dilakukan terhadap bangunan lama Jabatan Kastam.
Kerja-kerja pengubahsuaian dan pembersihan sedang giat dijalankan bahkan, projek zon pejalan kaki juga akan dijalankan tidak lama lagi.
Laluan pejalan kaki itu dibina untuk memudahkan pengunjung dan pelancong memasuki bangunan lama itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: