Thursday, June 6, 2013

Mon negeri warga emas


BAGI menyara kehidupan, warga emas di Mon mengharapkan kiriman wang daripada anak-anak yang bekerja di Thailand.


KEKANGAN ekonomi menyebabkan hampir semua generasi muda di Mon, sebuah negeri di tenggara Myanmar terpaksa berhijrah mencari rezeki di luar negara.
Ia menyebabkan hanya golongan tua menjadi penghuni Mon sehingga ia sinonim dengan panggilan Tanah Warga Emas. Ia merupakan sebuah negeri yang mempunyai pelbagai konflik dan masalah ekonomi.
Dengan penubuhan kerajaan baharu, harapan pembangunan sedikit sebanyak mula berputik di Mon.
Penduduk tempatan di Ywarthit memberitahu, isi rumah Mon kehilangan hampir 70 peratus golongan muda hinggakan yang tinggal kini hanyalah kanan-kanak dan orang tua.
Kebanyakan remaja meninggalkan negeri itu selepas mereka tamat persekolahan. Mereka menyeberangi sempadan Thailand untuk mencari pekerjaan di kilang-kilang atau sebagai pembantu rumah di Thailand.
"Hanya golongan ibu, datuk dan nenek menetap Mon yang menjaga anak dan cucu mereka tinggal di sini," ujar Nyein Tin.
Kemiskinan
Nyein Tin mempunyai lima orang anak tetapi kesemuanya bekerja di Thailand.
Menurutnya, dia hanya bergantung kepada wang yang dikirim oleh anak-anaknya itu untuk menjaga lima orang cucu.
"Bagaimana saya hendak meneruskan hidup sekiranya mereka tidak mengirimkan wang?" soalnya yang kini berusia 60 tahun.
Kajian HelpAge International baru- baru ini mendapati, kira-kira satu perempat daripada isi rumah di Mon dihuni oleh datuk, nenek dan cucu.

MON berdepan pelbagai konflik selain bergelut dengan masalah ekonomi.


Kerajaan separa awam yang telah mengambil tampuk pemerintahan pada awal 2011 kemudian mengadakan gencatan senjata dengan puak pemberontak dari Mon dan negeri jiran, Karen tahun lalu.
Ketika berada di bawah pemerintahan majlis itu, Myanmar merupakan salah sebuah negara termiskin di rantau Asia. Justeru, tarikan kewangan di negara asing merupakan salah satu faktor menarik golongan belia bekerja di luar negara.
Menurut aktivis hak asasi pendatang asing, Andy Hall, Thailand kini mempunyai hampir 1.7 juta pekerja yang berdaftar dari Myanmar manakala lebih sejuta lagi dikatakan tidak berdaftar.
Pendapatan lebih tinggi
Thailand memerlukan pekerja bergaji rendah untuk meningkatkan sektor pembinaan, pemprosesan makanan dan industri perikanan. Namun, menurut Hall, pendatang asing dari Myanmar terdedah kepada penderaan dan diskriminasi.
"Mereka mahu pulang ke tanah air tetapi perbezaan pendapatan yang tinggi membuatkan mereka terpaksa melupakan hasrat itu," ujarnya yang membuat anggaran keseluruhan pekerja asing yang mengirim wang kepada keluarga di Myanmar adalah berjumlah AS$300 juta (RM915 juta) hingga AS$2 bilion (RM6.1 bilion) setahun.

PEPERANGAN menyebabkan rakyat Mon hidup dalam keadaan kemiskinan.


Tambahnya lagi, mereka dapat menikmati pendapatan sebanyak AS$200 (RM610) sebulan atau lebih di Thailand.
Terguris hati
Kyaw Thu Ya dan isterinya, Hay Mar bekerja di kilang memproses udang di Mahachai, Thailand. Di kilang itulah dua pekerja asing yang berasal dari Mawlamyine, ibu negeri Mon iaitu berkenalan.
Kawasan kilang tersebut merupakan tempat tinggal dan sumber mencari rezeki bagi ribuan warga Myanmar.
"Hati saya terguris apabila melihat negara sendiri tidak seperti negara lain. Saya amat rindukan keluarga di kampung," keluh Thu Ya.
Jelasnya lagi, keluarganya di Myanmar merupakan petani miskin yang menjalankan kerja-kerja pertanian di sawah padi.
Thu Ya dan isterinya tinggal di bilik sempit bersama rakan-rakan senegaranya kerana tiada pilihan lain.
"Di sini, kami mempunyai pekerjaan. Prasarana seperti jalan raya dan elektrik amat baik. Di Mon, kami tidak mampu membeli televisyen atau komputer. Ia merupakan satu perubahan besar," katanya.
Dalam kunjungan aktivis demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi ke Thailand tahun lalu, beliau berharap pekerja asing di Mahachai pulang ke tanah air.
Menurut sebuah akhbar tempatan, Than Lwin Times, kebanyakan golongan belia bekerja sebagai buruh di Mon hanya mendapat bayaran AS$3 (RM9) sehari.
"Jumlah itu tidak cukup untuk kehidupan mereka dan itu merupakan faktor utama mereka ke luar negara. Disebabkan itulah, Mon itu hanya dihuni oleh warga emas," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: