Saturday, December 26, 2009

Zamzarina tak buat salah

KUALA LUMPUR - Daripada aspek perundangan syarie, pengacara rancangan Apa Kata Wanita terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Zamzarina Zambri (gambar) yang didakwa 'melarikan' tiga anaknya baru-baru ini tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Alasannya, persefahaman antara personaliti itu dengan bekas suaminya, Adnan Derahman berhubung tempat tinggal dan lokasi persekolahan anak-anak mereka itu yang memihak kepada lelaki terbabit tidak dikuatkuasakan oleh mahkamah.

Lagipun, kata Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, mahkamah sendiri belum memutuskan siapa yang ada hak di atas penjagaan anak-anak mereka.

"Kalau tiada perintah mahkamah, mana-mana pihak boleh ambil anak-anak mereka pada bila-bila masa,'' katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bagi menyelesaikan kemelut itu, Musa menyarankan mereka mengemukakan tuntutan penjagaan anak ke mahkamah.

Semalam, muka depan Kosmo! melaporkan mengenai dakwaan bekas suami Zamzarina yang menyatakan personaliti terkenal itu telah 'melarikan' tiga anaknya iaitu Adriana, 14, Adam, 10 dan Alif, 7.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: