Sunday, December 6, 2009

Yann Fang perlu kekal kurus

Berat badan Ketua Pegawai Operasi pusat menguruskan badan, Bizzy Body, Yap Yann Fang, 29, yang memiliki ketinggian 1.63 meter pernah turun sehingga 48 kilogram.




"SAYA tahu saya kelihatan lebih baik jika saya kurus. Berat badan paling tinggi yang pernah saya capai ialah 54 kilogram (kg), tetapi itu pun saya sudah rasa diri saya 'kembang'."

Itu kedengaran seperti kenyataan seorang yang obses untuk mengekalkan bentuk badan supaya sentiasa kurus.

Namun itulah realitinya. Kalau anda bekerja sebagai model dalam bidang peragaan, syarat paling utama sudah tentu tubuh yang kurus dan tinggi lampai.

Begitu juga halnya jika mahu menjadi pramugari syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa.

Menjadi hos rancangan di televisyen juga menuntut kriteria yang hampir sama, lebih-lebih lagi individu yang muncul di kaca televisyen boleh kelihatan 30 peratus lebih berisi berbanding sosok tubuh yang sebenar.

Pendek kata, memiliki tubuh yang kurus merupakan satu kemestian dalam dunia glamor. Lantaran itulah, pusat menguruskan badan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di negara ini.

Sebenarnya kenyataan tersebut diluahkan oleh salah seorang 'mangsa keadaan' itu - Ketua Pegawai Operasi (COO) pusat menguruskan badan Bizzy Body, Yap Yann Fang.

"Untuk berada dalam bidang ini, saya perlu memastikan badan saya kurus kerana itulah 'produk' syarikat kami. Orang ramai akan sentiasa memerhati terutama pelanggan dan pesaing," ujarnya.

Wanita bersaiz 0

Tidak sukar buat Yann Fang mengawal berat badannya kerana beliau sememangnya amat prihatin dan mempunyai minat yang tinggi terhadap diet.

"Sememangnya dari muda lagi saya suka menjaga pemakanan dan berdiet. Sekarang saya sudah dapat mengenal pasti caranya.

"Kalau hendak menurunkan berat badan, saya akan mengawal pengambilan makanan yang tinggi karbohidrat.

"Kalau hendak mengekalkan berat badan, saya akan memastikan berapakah jumlah pengambilan makanan berlemak dan manis," jelasnya yang seboleh-bolehnya akan cuba bersenam sekerap yang mungkin.

"Susah juga sebenarnya kerana saya seorang yang suka makan," tambahnya sambil tertawa.




Biarpun berada dalam bidang yang sealiran dengan dunia glamor, Yann Fang tidak pula menghalang mahupun menyokong wanita untuk memiliki tubuh yang terlalu kurus seperti selebriti Victoria Beckham yang bersaiz 0.

"Pada penghujung hari, apa yang penting ialah sama ada anda selesa dengan tubuh anda ataupun tidak. Jadi, orang lain sebenarnya tidak boleh menentukan sama ada anda patut kurus atau sebaliknya," ujarnya.

Justeru, adakah beliau pantang melihat mereka yang bertubuh gempal?

"Kalau orang itu selesa dengan tubuhnya dan memiliki keyakinan diri yang tinggi, saya tidak ada masalah dengan keadaan tubuh mereka.

"Tetapi perkara yang merunsingkan saya ialah apabila seseorang itu mempunyai masalah berat badan sehingga tidak yakin dengan diri sendiri.

"Kalau boleh saya nak sangat tolong dia turunkan berat badannya dan biarlah ia dilakukan secara sihat," katanya yang mendedahkan Bizzy Body berfungsi berorientasikan keputusan iaitu rawatan yang ditawarkan diolah mengikut keperluan dan kesesuaian tubuh pelanggan sehingga keputusan akhirnya ialah 100 peratus kehilangan berat badan seperti yang diidami pelanggan.

"Disebabkan itu saya sangat bersemangat bekerja untuk Bizzy Body kerana ia sangat komited membantu seseorang yang mempunyai masalah berat badan sehinggalah pelanggan itu benar-benar mencapai berat sasaran," bicara Yann Fang yang pernah mengalirkan air mata ketika pelanggannya berjalan di atas pentas dan berkongsi perasaan gembira mereka kerana mengalami penurunan berat badan dalam Pencarian Duta Bizzy Body.

Sukar tidur malam

Sebagai seorang ahli perniagaan, menghilangkan tekanan amat perlu.

"Saya memang berharap untuk dapat pergi bercuti selalu. Tetapi percutian sebenar saya yang terakhir ialah pada tahun lalu ketika saya bercuti ke Mesir bersama kawan-kawan.

"Kerana selagi saya masih di Malaysia, saya akan tetap memikirkan tentang kerja," kata Yann Fang yang baru sahaja berkunjung ke Jepun bersama pekerjanya dalam sebuah lawatan insentif.


YANN FANG (dua dari kiri) ditemani suami, Wang Li (paling kiri), ketika pemilihan Duta Bizzy Body.


Percutian sebenar juga, kalau boleh, kata Yann Fang, diiringi teman-temannya.

"Ada juga saya bercuti bersama suami. Tetapi dia akan pergi bermain golf bersama teman-temannya dan saya akan keluar bersama teman-teman saya.

"Setiap hari dalam waktu kerja dan luar waktu kerja saya berdepan dengan suami. Apa salahnya sekali-sekala saya bersama kawan-kawan pula," ujarnya.

Namun, memandangkan Bizzy Body sudah membuka cawangan yang ke-17 di Malaysia dan mula membuka cabang baru dalam penjagaan kulit dengan jenama Facial First, meluangkan masa sehari suntuk di sebuah pusat peranginan di luar bandar sudah dapat membantu.

"Dapat menghabiskan sehari di pusat peranginan di pinggir atau luar bandar dengan membaca dan mendengar muzik dalam suasana yang tenang pun sudah cukup sekarang," ujarnya.

Biarpun beliau tidak mengalami kesukaran untuk menurunkan berat badan, namun Yann Fang mengakui ada perkara yang paling sukar dalam hidupnya sepanjang penubuhan Bizzy Body sejak hampir enam tahun yang lalu.

"Saya tidak boleh nyenyak tidur pada waktu malam terutama selepas berkahwin," beritahunya.


BIZZY BODY kini memiliki 17 rangkaian di seluruh negara.





Kahwini bos

Tambah beliau: "Pada masa yang sama, ketika fasa dua tahun pertama penubuhan Bizzy Body, saya dan suami (ketika itu masih kekasih) sedang memahami antara satu sama lain.

"Sudahlah sedang bekerja keras untuk perniagaan, kami juga bekerja keras untuk perhubungan kami.

"Apabila sudah mengahwini bos sendiri, saya menghadapi kesukaran pula untuk menerima permintaan suami (dalam perniagaan) sebagai seorang bos. Dia suami saya tetapi juga bos saya. Balik ke rumah, topik perbualan kami masih tentang kerja.

"Sebelum tidur pun kami masih bercakap tentang kerja. Lebih kurang 24 jam hidupnya ialah tentang kerja.

"Tetapi itulah yang membuatkan dia menjadi seorang bos," kongsinya yang semakin memahami sifat suami yang mementingkan kesempurnaan dalam kerja.

Biarpun tanggungjawab sebagai isteri dan pekerja pada satu masa itu menuntut kesabaran yang tinggi, Yann Fang yang begitu murah dengan senyuman itu tetap positif dengan hidupnya.

"Sekarang Bizzy Body sudah semakin kukuh. Dengan perniagaan kami yang semakin berkembang, kami sudah mula dapat mengupah pengurus berpengalaman dan berwibawa.

"Kini saya tidak dapat tidur malam apabila Bizzy Body membuka cawangan baru atau musim puncak saja kerana pada waktu itulah kami paling sibuk terutama kerana hendak mengendalikan pekerja baru," ujar anak sulung daripada tiga adik-beradik itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: