Sunday, December 6, 2009

Patah tujuh tulang rusuk

Penjinak gajah, Hadzli Awang, menceritakan peristiwa beliau dipijak haiwan darat terbesar itu.




HANYA bayangan maut yang terlintas di benak Mohd. Hadzli Awang, 27, apabila seekor gajah jantan berusia sembilan tahun naik minyak, 10 April lalu.

"Pagi itu kami memulakan tugasan harian pada pukul 8 pagi dengan membersihkan tempat tidur gajah dan memandikannya. Selain Chalil, ada seekor lagi gajah betina bernama Suria yang tinggal di situ.

"Jika dibandingkan dengan Suria, saya lebih rapat dengan Chalil, malah tiada orang lain yang pernah menunggangnya kecuali saya," imbau kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Santuari Gajah Sungai Ketiar, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu itu.


BERSAMA Suria. Hadzli tidak pernah serik bermain dengan gajah.


"Selesai memberi Chalil makan, kira-kira pukul 8.45 pagi, saya menunggangnya sebagai satu latihan.

"Dia memberi reaksi yang baik semasa saya mengusap dan memanggil namanya. Pusingan pertama berjalan sempurna," kata Hadzli.

Memasuki pusingan kedua, Chalil tiba-tiba berhenti dan menggoyangkan badannya dengan kuat menyebabkan Hadzli nyaris terjatuh.


KENANGAN menunggang Chalil yang hampir meragut nyawa Hadzli.


Kaki kanan lelaki itu tersangkut di tali ghoci yang dipasang pada telinga gajah itu manakala kepalanya sudah pun menyentuh tanah.

"Dalam keadaan tergantung, saya diseret kira-kira dua meter. Chalil yang tiba-tiba naik minyak terus merodok rusuk kiri saya.

"Beberapa saat kemudian, dengan gading Chalil tertanam di badan, saya diseret kira-kira dua meter lagi.


HADZLI terlantar selama 20 hari di Hospital Hulu Terengganu.


"Apabila ia berhenti melangkah, gajah seberat 1,800 kilogram itu memijak perut saya pula. Saya akhirnya pitam dan hanya mendengar sayup-sayup suara rakan melaungkan azan.

"Seorang rakan saya cuba menenangkan Chalil manakala dua lagi berusaha menarik saya daripada tusukan gading itu," katanya yang sudah bekerja di situ selama tiga tahun.

Akibat insiden itu, anak kelahiran Ajil, Hulu Terengganu itu mengalami kecederaan dalaman yang parah.


BEKAS jahitan di paha kanannya akan sentiasa mengingatkan Hadzli kepada kejadian beliau dipijak gajah seberat 1,800 kg, April lalu.


Merindui Chalil

Tulang paha kanan dan tujuh tulang rusuk kirinya patah, daging tangan kirinya terkoyak teruk manakala paru-parunya juga didapati lebam dan bengkak.

Hadzli yang dimasukkan ke wad Hospital Hulu Terengganu selama 20 hari mengambil masa kira-kira lima bulan untuk sembuh sebelum boleh kembali bekerja.




"Saya tak serik untuk terus menjadi pelatih gajah. Adakalanya saya berasa rindu untuk bermain dengan Chalil tetapi selepas insiden itu ia telah dilepaskan ke habitat asal.

"Ada juga saya mencarinya di Santuari Gajah Sungai Ketiar dan Lanchang, namun tidak berjumpa," ujarnya.

Walaupun tangan kiri Hadzli belum sembuh sepenuhnya, ia tidak menghalang beliau daripada terus melatih haiwan gergasi itu.

"Gajah memiliki daya ingatan yang sangat tajam. Ia boleh mengenal suara dan rupa kita. Selain manja dan menghiburkan, haiwan ini juga pantas memberi reaksi apabila kita bercakap dengannya.

"Itu yang membuatkan saya sukar meninggalkan kerjaya ini," tuturnya yang mengaku tidak berdendam dengan Chalil kerana ia hanya seekor binatang.

Kisah haiwan menyerang manusia sudah dianggap biasa pada zaman moden ini.

Biarpun jumlah kematian yang dilaporkan sangat sedikit jika dibandingkan dengan angka mangsa kemalangan jalan raya, kes amukan haiwan liar tidak boleh dipandang ringan.

Selain gajah, harimau juga pernah menerkam penoreh getah di Jeli, Kelantan, buaya membaham manusia di Sarawak, dan ular sawa menelan orang di Segamat, Johor.

Baru-baru ini, tiga kanak-kanak termasuk bayi berusia lapan bulan diserang kera jantan liar di Taman Murni, Sungai Isap, Kuantan, Pahang.

Dalam tiga kejadian berasingan itu, Khairul Azwan Khairudin, 14, terpaksa menerima enam jahitan akibat kecederaan parah digigit binatang itu ketika menjamu selera di sebuah warung bersama keluarganya.

Mangsa lain ialah Fatini Sakira Ahmad Safri, 2, dan Nuha Nurfaiqah Sheikh Akbar, 7. Nuha mengalami kecederaan parah pada kedua-dua tangan dan kakinya selepas diserang pada pukul 9.30 malam semasa turun daripada kereta ibunya, 22 November lalu.

"Ketika kejadian anak saya sedang memegang coklat dan secara tiba-tiba kera itu datang menyerang serta menggigit kaki dan tangannya," kata ibu Nuha, Nor Jahan Ahmad, 38.

Kejar makanan

Menurut Pengarah Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan, Mohamad Hafid Rohani, kera atau nama saintifiknya Macaca fascicularis merupakan spesies primat yang mampu beradaptasi dengan persekitaran dan boleh hidup di kalangan manusia.

"Kera bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan bahkan haiwan yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 itu sentiasa mencari peluang untuk menceroboh kediaman," katanya.


NUHA diserang kera pada waktu malam.


Tambahnya, pengecilan habitat kera telah memberikan masalah kerana haiwan itu tidak lagi mempunyai tempat untuk berlindung dan mencari makanan yang mencukupi.

"Sebagai alternatif, kera-kera itu terpaksa 'berhijrah' ke kawasan yang berhampiran untuk mendapatkan makanan. Ini selalunya akan menyebabkan konflik antara kera dan manusia," kata Hafid.

Tambahnya, sikap segelintir orang awam yang gemar memberi makan kepada kera di taman bunga atau kawasan perumahan juga telah menggalakkan lagi haiwan itu bergantung kepada manusia untuk memperoleh makanan.


BERUK belaan yang telah dibuang oleh tuannya mampu bertindak ganas.


"Perbuatan memberi makanan kepada kera boleh menyumbang kepada perubahan tingkah laku semula jadinya daripada mencari makanan sendiri di habitat asal kepada pergantungan sepenuhnya kepada manusia," jelas Hafid.

Difahamkan, banyak aduan berkaitan gangguan kera diterima di kawasan perumahan berpenduduk padat seperti di Subang Jaya. Malah ia merupakan lokasi kritikal yang dilaporkan selepas Kapar di Klang, Selangor.

Hafid berkata, kera atau beruk yang dibela juga berpotensi menyerang manusia. Ia tidak takutkan orang malah berani menyerang kanak-kanak mahupun wanita dewasa.

Apabila ia terlepas atau sengaja dilepaskan, kera itu tidak mampu mencari makanan sendiri kerana sudah biasa dimanjakan tuannya.


KAKI Nuha yang terkoyak akibat digigit kera. Serangan haiwan liar boleh memberi trauma yang berpanjangan kepada mangsa.


"Begitu juga keadaannya dengan kawanan kera di taman-taman rekreasi yang sentiasa dihulurkan makanan.

"Sebab itulah kita tidak menggalakkan orang ramai memberi sebarang makanan kepada kera. Apabila telah terbiasa dengan makanan, ia akan bertindak agresif apabila lapar.

"Tumpuan pastinya kepada kanak-kanak atau wanita yang memegang bungkusan makanan," katanya yang turut memberitahu menangkap seekor kera lebih sukar berbanding dengan sekawanan haiwan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: