Sunday, December 20, 2009

Umie, Sofia dan Natrah


Umie aIDA


MALAM penutup dengan babak penutup yang sempurna. Ya, malam 13 Disember lalu menyaksikan kesan konflik seorang Natrah terungkap di Istana Budaya. Cantik babak yang disunting pengarahnya, Erma Fatima untuk malam itu.

Natrah juga mencipta sejarahnya tersendiri. Buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun penubuhannya, inilah satu-satunya pementasan bukan muzikal yang paling berjaya di Istana Budaya.

Masakan tidak, lebih 18,000 orang menonton pementasan ini yang dilakonkan oleh Umie Aida sebagai Che Aminah, Sofia Jane (Natrah pada usia 70 tahun), Samantha Schubert (ibu Natrah bernama Adeline) Maya Karin (Natrah muda) dan Remy Ishak (Mansor Adabi).

Dengan tiket yang habis terjual, Natrah turut tercatat sebagai sebuah pementasan yang paling lama dipentaskan.

Sepatutnya berakhir pada 9 Disember lalu, sambutan menggalakkan menyaksikan pementasannya disambung selama lima malam lagi menjadikan keseluruhan sebanyak 14 pementasan tanpa henti.

Malah Wanda diberitahu barangan cenderamata Natrah termasuk poster turut habis terjual sehari sebelum pementasan berakhir.

Begitulah hebatnya fenomena Natrah, sebuah pementasan berdasarkan kisah benar seorang anak gadis Belanda berusia 13 tahun, Maria Huberdina Hertogh yang menjadi rebutan antara ibu angkatnya seorang Melayu, Che Aminah dengan kedua ibu bapa kandungnya.

Bukan sahaja ia tentang kasih dan sayang seorang ibu terhadap anak yang dipanggilnya Puteh tetapi lebih penting demi menjaga akidah anak angkatnya itu hingga mencetuskan rusuhan dan kematian akibat perebutan tersebut.

Natrah pada usia 70 tahun, di tangan Sofia Jane amat menyerlah lagi memberansangkan. Resah pilu, suka duka kehidupan Natrah dibawa dengan jayanya oleh Sofia.

Memang babak monolog pada pementasan ini indah sekali diadun Erma. Selain monolog Sofia pada usia senja Natrah, monolog Che Aminah serta Adeline juga memberi kesan.

Tidak sia-sia Che Aminah di tangan Umie Aida yang julung kalinya beraksi di pentas berprestij bertaraf dunia, Panggung Sari.

Kredibiliti Umie sebagai aktor terserlah dengan watak mencabar ibu angkat yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi kasih sayang dan menjunjung akidah Puteh @ Natrah yang dilahirkan sebagai kristian tetapi dibesarkan sebagai muslim.

Berat tanggungjawab tersebut namun Umie berjaya menggalasnya dengan baik sekali. Kebahagiaan, kesengsaraan dan kekecewaan terbias pada wajah dan tutur kata serta gerak tubuhnya.

Belum pun menutup tirai 2009, Natrah sudah menerima saranan agar dipentaskan untuk musim kedua. Tentu sahaja pengkhabaran ini sesuatu yang mengujakan. Tetapi Wanda juga lebih teruja apabila mendengar cadangan daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim agar kisah Natrah difilemkan.

Andai berhasil, tentunya kita dapat melihat sekali lagi Erma mengarah sebuah filem period, genre yang amat diminatinya.

Sudah tentu Erma tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan. Dengan bajet yang sesuai, impian melihat sebuah karya hebat di layar mungkin dapat direalisasikan. Apapun keputusannya kelak, Wanda ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Erma Fatima.

Nampaknya penghujung 2009 menjadi miliknya. Raikan kejayaan ini dengan terus menghasilkan karya segar lagi kreatif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: