Sunday, December 6, 2009

Tidak mati dicerca




NATASHA LIANA MOHD. REDZUAN HUDSON tahu banyak orang sedang memperkatakan hal rumah tangganya yang musnah buat kali kedua sebulan lalu.

Oktober 2009, pelakon ini sah menjadi janda kepada Pengerusi Eksekutif Verti Global, Datuk Shahrin Zahari selepas dua tahun hidup bersama. Ini sekali gus memegang status ibu tunggal kepada anaknya, Nessa Helena, setahun lima bulan.

Banyak juga fitnah yang sedang bertebaran di udara. Dia tahu realiti itu.

Tetapi kata wanita berusia 27 tahun ini, dia tidak mati dengan nista dan cerca orang. Dia yang menjalani kehidupannya kini dan dia juga mengerti mengapa Tuhan memberi dia jalan sebegini rupa.

Bercerai dua kali dalam tempoh tidak mencecah lima tahun bukan satu kebanggaan. Bukan juga satu realiti yang harus ditutup pelakon yang senang disapa Tasha ini.

"Sampai bila saya nak hidup kerana takut difitnah orang? Saya tak kisah orang nak cakap pasal saya bercerai dua kali. Sudah tertulis, ini pengalaman dan pengajaran hidup saya. Saya tak mahu menipu orang.

"Jadi sebaik saya bercerai lagi, saya tak mahu sorok kerana mahu mengelak pelbagai fitnah lain. Klise kalau saya kata kami berpisah kerana tiada keserasian. Tapi cukup jika saya katakan, kami berpisah atas kehendak bersama untuk mencari haluan masing-masing," luah Tasha dalam bicaranya yang lembut itu perlahan-lahan.

Pelakon cantik yang saya curi masanya sewaktu sedang sibuk menjalani penggambaran telefilem Superwoman ini duduk di hadapan saya dengan sedikit resah terpancar daripada mata bundarnya. Bukan dia resah mahu menceritakan hal peribadi, tetapi resah kerana cinta yang terbang melayang sekali lagi.

Kami saling berbalas senyum. Senyum anak kelahiran Ipoh, Perak ini ikhlas, tetapi terkesan tawar. Belum sempat saya bertanya lagi, Tasha sendiri yang bertanya, apa lagi yang mahu khalayak tahu. Saya kemudian membiarkan dia bercerita, mengalirkan perasaannya.

Beritahu Tasha: "I love him very much (saya sangat cintakan dia). Tapi tiada jodoh antara kami. Walaupun sedih saya gembira kerana perceraian ini tidak disebabkan orang ketiga atau pergaduhan. Sebaliknya ia atas kerelaan kami berdua."

Enggan mengulas panjang tentang perceraiannya, Tasha saat ditebak soal bagaimana dia mengumpul ketabahan mengharungi badai seganas ini hanya tersenyum pahit. Lama dia terdiam, menarik nafas dan kembali berbicara.

Mengaku tertekan

"Barangkali kerana saya terlalu kuat dan tabah, jadi saya rela," ringkas dia meluahkan. Tasha kemudian memberitahu walau sehebat mana pun badai menghempas samudera, dia harus berani berhadapan dengan realiti kehidupan.

Mengaku ada masa dia berasa tertekan dan sedih, tetapi pelakon yang cukup terkenal menerusi filem Chermin dan Tipu Kanan Tipu Kiri ini berkata dia harus rasional. Pegangan agama yang kukuh membuat dia semakin tabah dan tidak lari daripada landasan.

Berfikir secara positif, mengenang masih banyak yang sayang kepadanya dan memiliki keluarga serta zuriat adalah cara dia bangkit setiap hari dengan sebuah keazaman yang jitu untuk meneruskan kehidupan.

Perkahwinan tersebut juga kata Tasha bukan satu kesilapan. Katanya: "Ini proses kehidupan saya. Saya percaya banyak orang di luar sana juga ada melalui pengalaman hidup seperti saya.

"Saya tidak pernah serik atau menyalahkan takdir. Ini pilihan saya (bercerai). Jadi saya harus bertanggungjawab terhadap pilihan hidup saya."

Mengulas persepsi khalayak yang menuding bahawa dirinya yang bermasalah atau bersalah kerana dua kali bercerai, wanita tabah ini menjelaskan bahawa dia tidak pernah meminta perkara itu berlaku. Siapa dia untuk menolak takdir Tuhan?

"Barangkali banyak yang tidak tahu bahawa saya adalah seorang wanita yang lurus dalam hubungan cinta. Saya bukan wanita yang suka bercinta lama-lama atau berkasih sana sini tanpa ikatan sah.

"Jadi apabila saya berasa selesa dan yakin dengan sesebuah perhubungan, saya mahu ia diikat dengan sebuah perkahwinan. Kerana itu saya berkahwin.

"Tetapi saya juga tidak menduga jodoh perkahwinan saya tidak panjang. Siapa yang mahu bercerai-beraikan?," luah Tasha tegas.


NATASHA menerima suratan takdir bercerai sebanyak dua kali dalam tempoh tidak sampai lima tahun.


Buku baru 2010

Ada banyak agenda yang sudah dirancang Tasha sepanjang 2010. Terlerai ikatan perkahwinan dan kini mula bergerak solo, dia mahu kembali fokus dalam bidang seni.

Sebagai ibu tunggal, biarpun bekas suami tidak mengabaikan nafkah anaknya, dia berasa bertanggungjawab untuk mencari kehidupan sendiri.

Sementelah akuinya, sejak kecil dia sudah dididik ibu untuk bekerja keras jika menginginkan sesuatu. "Bukan masalah buat saya untuk kembali bekerja.


TIDAK memikirkan untuk bertemu cinta baru dalam masa terdekat ini, Natasha bagaimanapun mengakui lelaki adalah suatu keperluan buat setiap wanita.


"Jujur saya akui, sewaktu meninggalkan sebentar dunia seni dahulu, hati selalu rindu untuk kembali beraksi. Walaupun bekas suami saya mengizinkan saya aktif, saya yang memilih untuk tidak berbuat demikian untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

"Tetapi akhirnya kini saya memilih untuk kembali aktif kerana tidak terikat dengan banyak komitmen lain," akuinya.

Selain ligat berlakon, sebuah agenda besar yang sudah tersenarai dalam kalendar kerjayanya adalah merealisasikan impian menjadi penyanyi.

Tasha ketawa dan mengaku bahawa lewat kebelakangan ini ramai pelakon mula berani menjual suara mereka sebagai penyanyi. Bakal menjadi salah seorang daripada mereka Januari depan, Tasha mempunyai alasan tersendiri tentang dirinya menjadi penyanyi.

Jadi penyanyi

Bakat nyanyian, kata Tasha sudah berakar umbi dalam dirinya sejak lama dulu. Pada usia belasan tahun juga, dia sudah mengikuti kelas vokal bersama Juliza Adlizan. Hanya masa yang tidak pernah mengizinkan dia mencapai cita-cita menjadi penyanyi.

"Tetapi kini, saya rasa adalah masa yang sesuai untuk saya menggapai impian sebagai penyanyi. Insya-Allah, Januari nanti saya akan muncul dengan single pertama," katanya yang mementingkan harmoni dalam sesebuah lagu.

Namun, saat ditanya bagaimana dengan hal peribadi terutama mencari pengganti baru, Tasha pantas menggelengkan kepalanya. Dia memberitahu bukan serik dengan lelaki mahupun sebuah perkahwinan, hanya pada saat ini, kata Tasha, ia bukan masa yang sesuai.


WANITA tabah ini sudah dididik sejak kecil untuk bekerja keras.


"Setiap wanita sememangnya memerlukan lelaki. Siapa yang tidak mahu disayangi, dibelai dan diberi perlindungan daripada seorang lelaki? Tetapi bagi saya, buat masa ini, belum lagi," tegasnya yakin.

Disogok dengan persoalan lelaki bagaimana yang barangkali akan terus mengikatnya dengan ikatan perkahwinan hingga ke akhir hayat, Tasha menghela nafas panjang, berfikir dan melontarkan keinginan hatinya.

Memberitahu sukar untuk dirinya memberitahu calon lelaki sempurna buat dirinya, tetapi kata Tasha cukuplah lelaki itu boleh menjadi diri sendiri dan sederhana.

"Tidak perlu kaya kerana kekayaan tidak menjamin kebahagiaan. Saya juga wanita yang boleh berdikari, jadi walaupun jodoh saya hanya lelaki biasa, saya okey. Perkahwinan itu adalah sebuah kerjasama dan kesefahaman," ucap Tasha penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: