
MELAKA - Tiada koordinasi pihak yang bertanggungjawab dalam soal pemasangan dan pembekalan paip gas cecair asli (LPG) merupakan antara punca kejadian letupan di tingkat bawah pusat beli-belah Aeon Jusco di sini kelmarin.
Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Mohtar Musri berkata, siasatan awal juga mendapati punca letupan berkemungkinan disebabkan kebocoran pada paip LPG berkenaan.
![]() |
| KERATAN Kosmo! semalam. |
"Kita tidak menolak kemungkinan kebocoran berlaku pada tangki gas utama yang disambungkan kepada paip ke ruang dapur memasak," katanya kepada pemberita di sini selepas melawat tempat kejadian semalam.
Dalam insiden tersebut seorang maut manakala 20 cedera termasuk empat parah di pusat beli-belah terbaru di Melaka itu yang berharga RM500 juta.
Pusat itu dijadualkan dibuka kepada orang ramai Khamis ini, kini ditangguhkan pembukaannya ke satu tarikh lain.
"Kerosakan yang berlaku di ruang medan selera pusat itu agak teruk dan memerlukan lebih tiga hari untuk memastikan bangunan itu benar-benar selamat untuk dimasuki," kata Mohtar.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: