Saturday, December 12, 2009

Tembak menembak di New York


DUA anggota polis mengawal lokasi kejadian tembak menembak di TImes Square, New York kelmarin.


NEW YORK - Seorang anggota polis menembak mati seorang lelaki yang bersenjatakan sepucuk mesingan di Medan Times di sini dalam kejadian yang disaksikan oleh ribuan pelancong dan orang ramai yang keluar membeli-belah menjelang Hari Krismas.

Lelaki yang ditembak mati itu, Raymond Martinez, 25, sedang menjual cakera padat (CD) di sini menjelang tengah hari kelmarin apabila dia didatangi seorang anggota polis berpakaian awam yang memintanya menunjukkan permit jualan.

Martinez tiba-tiba melarikan diri di celah-celah orang ramai sebelum menuju ke arah Hotel Marriott di Medan Times.

Semasa melarikan diri, dia mengeluarkan sepucuk mesingan lalu melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang mengejarnya.

Terdengar bunyi tembakan, beribu-ribu pelancong di sekitar lokasi tersebut tunduk untuk menyelamatkan diri mereka.

Anggota polis itu, Sarjan Christopher Newsom kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak dada dan tangan suspek.

"Saya terdengar sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan.

"Semasa itu, saya berada beberapa meter dari tempat kejadian," kata seorang pelancong dari London, John Grisewood, 60.

Martinez meninggal dunia selepas dimasukkan ke sebuah hospital berhampiran.

Insiden tembak menembak itu mencetuskan kontroversi kerana berlaku di tempat awam yang penuh sesak dengan orang ramai.

Namun, seorang Pegawai Polis, Raymond Kelly mempertahankan tindakan anak buahnya apabila menyatakan terdapat garis panduan yang membenarkan kekerasan digunakan apabila nyawa seseorang anggota polis terancam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: