Taiwan melaporkan, hanya 1.05 bayi dilahirkan oleh setiap wanita di Taiwan. Kadar itu berkurang daripada 7.04 pada tahun 1951 dan 2.10 pada tahun 1984.
SEBAGAI seorang guru, Ariel Shen dapat memerhatikan kadar kelahiran yang merosot di Taiwan. Lima tahun lalu, setiap bilik darjah di sekolah yang terletak di pusat bandar Taipei itu mempunyai seramai 28 orang murid. Tetapi kini, bilik darjah tersebut hanya memiliki seramai 20 orang murid sahaja.
Ariel juga mula memikirkan masa depannya untuk memulakan perniagaan sendiri bagi mengukuhkan sumber kewangannya.
"Guru-guru lain dan saya sendiri pasti mengambil berat keadaan ini. Ada sesetengah guru sudah berhenti dan memohon mengajar di sekolah lain," kata guru wanita berusia 37 tahun itu.
Menurut Biro Penyelidikan Penduduk, Washington Amerika Syarikat (AS), bilangan penduduk Taiwan yang berpopulasi 23 juta orang kini mengalami kadar kelahiran paling rendah di dunia.
Taiwan melaporkan, hanya 1.05 bayi dilahirkan oleh setiap wanita di Taiwan. Kadar itu berkurangan daripada 7.04 pada tahun 1951 dan 2.10 pada tahun 1984.
"Ia bukan paras terendah pernah dicatatkan di Taiwan. Tetapi ia juga paras terendah dalam sejarah. Tiada negara yang pernah memiliki paras serendah itu," kata Carl Haub, seorang ahli demografi dari biro tersebut.
Masyarakat Cina secara tradisinya menganggap anak sebagai satu rahmat dan satu jaminan untuk meneruskan kesinambungan keluarga pada masa hadapan.
Dari sudut ekonomi, kanak-kanak yang dilahirkan menjadi aset dalam masyarakat. Jika di kawasan luar bandar pada setengah kurun yang lalu, mereka dikatakan dapat meringankan beban keluarga peladang.
Harga barangan yang meningkat, sama ada kos penjagaan kesihatan atau pendidikan anak-anak telah membuatkan ramai warga Taiwan berfikir dua kali sebelum menambah bilangan anak mereka.
Beban keluarga
"Terdapat satu perkara yang sudah tidak difikirkan oleh penduduk Taiwan, iaitu dengan melahirkan lebih ramai anak dapat mengurangkan beban keluarga kelak.
"Wanita-wanita muda melihat ibu-ibu mereka dulu telah dibebankan dengan anak yang ramai dan terpaksa bersusah payah menjadi suri rumah sepenuh masa. Justeru, mereka tidak mahu mengalami nasib yang serupa," kata Haub.
Hubungan kekeluargaan yang lemah mengukuhkan lagi pendirian golongan wanita muda. Ini kerana mereka hidup bersendirian di bandar dan jauh daripada perhatian keluarga.
Wanita-wanita berasa lega kerana tidak perlu melalui tekanan untuk melahirkan anak yang lebih ramai seperti generasi sebelumnya. Sebaliknya, mereka memilih untuk mewujudkan ambien individu yang selesa secara materialnya.
Menurut pakar-pakar pula, wanita muda Taiwan telah terpengaruh dengan media moden yang menyarankan mereka mengutamakan kepentingan sendiri, jauh daripada orientasi tradisi keluarga sebenar.
Pada bulan Oktober, Kementerian Pendidikan Taiwan memberitahu, lebih satu per tiga daripada 164 buah kolej terpaksa ditutup menjelang tahun 2021 kerana kekurangan pelajar.
Lebih serius, pada masa akan datang tiada penambahan penduduk bagi menggantikan tenaga kerja untuk menyokong jumlah mereka yang semakin tua.
Ramalan-ramalan semasa pada 2051, lebih satu per tiga penduduk Taiwan terdiri daripada mereka yang berumur 65 tahun ke atas.
Penganalisis bagaimanapun beranggapan, mengimport buruh dari China berskala besar mungkin boleh memberi jalan penyelesaian.
Namun, majoriti penduduk Taiwan bimbang dengan kedatangan pekerja-pekerja dari China yang bakal mengganggu ketenteraman penduduk di Taiwan.
Ini bermaksud, jika Taiwan mahu mengekalkan penduduknya, mereka tidak ada cara lain selain meningkatkan kadar kesuburan, kata para penganalisis.
"Pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu," kata Haub.
Menurut Chen Yu-hua, seorang ahli demografi di National University Taiwan, setakat ini kerajaan Taiwan cenderung menunjukkan 'minat yang sedikit' untuk memperkenalkan langkah-langkah yang berkesan.
"Kerajaan Taiwan tidak mempunyai sebarang hasrat politik yang kukuh untuk melakukan sesuatu mengenainya. Ia tidak menawarkan sebarang insentif kepada orang ramai," katanya.
Dalam kalangan masyarakat juga, tiada tekanan untuk mendorong kelahiran ramai zuriat.
Dari sudut kepadatan, Taiwan sebenarnya berada di tempat ke-15 di dunia. Namun, jika perkara tersebut tidak dapat dibendung, kebarangkalian Taiwan akan berada di kedudukan yang terendah.
"Ramai orang berfikir pengurangan penduduk baik untuk Taiwan. Ia dapat membantu persekitaran.
"Tetapi, kita perlu mengambil berat mengenai isu kesuburan di kalangan rakyat Taiwan. Kita perlu menggalakkan penduduk Taiwan untuk melahirkan lebih ramai zuriat," kata Chen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: