Wednesday, December 9, 2009

Terkial-kial taip komputer

Bermula sebagai individu yang langsung tidak pernah mengenali komputer dan teknologi maklumat (IT), Idrus kini boleh berbangga kerana menjadi salah seorang peneraju dalam bidang ilmu tersebut.




SEBAIK saja membuka surat yang dihantar oleh posmen sebentar tadi, wajahnya pucat dan kaget. Fikirannya sedikit bercelaru. Isi kandungan surat itu menyatakan bahawa dia terpaksa berhadapan dengan perkara yang tidak pernah dilakukan sehingga usianya mencecah 18 tahun.

"Terkejut dan tidak tahu nak buat apa. Surat daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan menyatakan saya bakal menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS) dalam bidang Sains Komputer. Sejak kecil saya tidak pernah kenal, apatah lagi menyentuh komputer. Jadi mana mungkin saya boleh mendalami bidang itu dengan baik.

"Pada asalnya cita-cita saya ingin menjadi doktor. Namun kerana takutkan serangga akhirnya saya memohon bidang akaun. Kerana terlalu minat pada bidang perniagaan, jadi saya fikir jurusan akaun adalah pilihan yang tepat," ujar Idrus. Dia pada awalnya bingung kerana perlu mendalami bidang sains komputer yang cukup asing buat dirinya.

Mahu ditolak terasa sayang, tetapi khuatir pula untuk menerimanya. Bidang itu mungkin tidak menjamin masa depan yang cerah, memandangkan bidang Sains Komputer belum popular dan menawarkan banyak kerja di Malaysia.

Namun apabila memikirkannya kembali Idrus menyifatkan adalah suatu yang merugikan sekiranya dia menolak peluang keemasan itu tanpa mencubanya terlebih dahulu.

Keresahannya semakin memuncak saat melangkahkan kaki ke Universiti Evansville, Indiana, AS pada tahun 1983. Gedung ilmu itu memerlukan ketahanan mental dan fizikal supaya dia dapat menguasai dunia komputer dengan cepat, setaraf dengan pelajar AS yang sedikit sebanyak sudah mengenali 'personaliti' komputer.


MAJLIS konvokesyen Kolej Teknologi Cosmopoint ke-11.


"Keputusan peperiksaan semester pertama cukup menyedihkan. Ini kerana terlalu banyak ilmu yang perlu dipelajari dalam masa yang singkat. Dari segi menggali erti teknologi maklumat (IT) dan belajar mengendalikan komputer. Cabaran yang dihadapi cukup hebat dan lebih mendukacitakan saya ketika itu masih terkial-kial belajar menaip.

"Bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan kekuatan, semangat juang yang tinggi, cepat belajar dan pemikiran yang analitikal," tutur Idrus ketika ditemui Kosmo!, baru-baru ini. Dia juga mengakui sudah mahir menaip dan memahami selok-belok komputer ketika pengajiannya menginjak ke semester dua.

Lebih mengujakan apabila selangkah demi selangkah dia berjaya menguasai ilmu IT yang sememangnya menjadi gerbang kepada jutaan informasi berguna.

Itulah antara cebisan kisah Datuk Idrus Mohd. Satha, 44, individu yang bertanggungjawab membuka pusat latihan dan Pendidikan Teknologi Maklumat Cosmopoint sekitar tahun 1991.

Berkat kesungguhan dalam menjana sistem pendidikan teknologi maklumat, selain berjaya melahirkan graduan terbaik, akhirnya pada September 2006, pusat latihan itu dianugerahkan status kolej universiti yang kini dikenali sebagai Kolej Universiti Antarabangsa Cosmopoint (CICT).

Cosmopoint yang pada mulanya berpangkalan di Jalan Silang, Kuala Lumpur pada tahun 1991, kini sudah berpindah ke bangunan yang lebih besar dan selesa. Lokasi terbaru Cosmopoint yang berdiri gah di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, membuktikan mereka cukup bersedia memberikan pendidikan dan memacu para pelajar untuk bergelar graduan terbaik.

Menganalisis kontrak

Lebih membanggakan CICT yang sudah mempunyai 13 buah cawangan di seluruh negara, muncul pula dengan produk terbaru, Universiti Kolej Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU). Ia terletak di ibu kota dan bakal menjadi pusat latihan dan pendidikan swasta terbesar di Malaysia.

Menyelak dunia IT di AS, Idrus memberitahu ia satu pengalaman yang sukar diterjemah dengan kata-kata. Mengakui rupa-rupanya dunia sains komputer bukan sekadar menghidangkan ilmu IT. Malah pada masa yang sama memberi peluang kepada penuntut untuk mempelajari rangkaian IT, komputer, perisian komputer, hal ehwal perniagaan dan pemasaran.

Ini bermakna impian Idrus untuk bergelar usahawan bakal terlaksana kerana jurusan yang dipelajarinya turut merangkumi bidang perniagaan. Hari demi hari minatnya pada bidang IT kian bertambah. Kebolehannya menganalisis sistem telah memberinya peluang berkhidmat dengan seorang ahli perniagaan rakyat AS di sana.

Setiap hari tepat pukul 9 malam selepas pulang dari kerja di sebuah restoran Cina, Idrus bergegas ke rumah ahli perniagaan tersebut. Tugasnya menganalisis setiap kontrak yang diterima oleh usahawan tersebut dan mengendalikan hal berkaitan program IT.

Walaupun menerima wang biasiswa, Idrus enggan bergantung sepenuhnya pada wang itu. Sebaliknya, dia sanggup memerah keringat dengan melakukan bermacam-macam kerja sambilan seperti penghantar piza dan menawarkan khidmat menaip kertas kerja dan nota kepada pelajar-pelajar kolej. Setiap helai kertas dicaj RM1.50.


IDRUS yakin bidang IT mampu menjamin masa depan yang cerah kepada para graduannya.


Berfikiran analitikal

Lebih menarik lagi pada setiap hujung minggu bapa kepada dua orang cahaya mata, Nadeem Shah, 9 dan Fardeen Shah, 5, itu sanggup memandu selama enam jam ke Chicago dari Indiana. Tujuannya untuk mendapatkan bekalan daging dan ayam halal untuk dijual kepada penduduk Islam di kawasan rumahnya.

Kegigihan dan ketekunannya belajar sambil bekerja akhirnya membuahkan hasil yang cukup lumayan. Pada tahun 1987, Idrus berjaya menggenggam segulung ijazah yang selama ini diusahakan.

Tempoh empat tahun bergelumang dengan IT, membuatkan Idrus melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana Sistem Informasi sehingga tahun 1989.

"IT mengajar saya supaya berfikiran analitikal. Sebab itulah sebaik sahaja pulang dari AS, saya diterima bekerja sebagai penganalisis sistem di sebuah syarikat minyak dan gas milik AS.

"Pada waktu itu, kebanyakan syarikat AS hanya mengupah graduan kelulusan universiti AS saja. Biarpun memperoleh gaji lumayan hati lebih cenderung kepada bidang pendidikan IT.

"Saya ingin mendidik orang ramai mengenai IT kerana menerusinya (IT) segala-galanya dapat diatasi dan dilakukan. Lebih-lebih lagi, dunia pada waktu itu sedang menuju ke arah kecanggihan teknologi dan moden.

"Akhirnya, impian itu dapat direalisasikan apabila kolej swasta yang adik saya belajar memerlukan tenaga pengajar dalam bidang berkenaan. Jadi saya bekerja sebagai pensyarah IT separuh masa," terang Idrus yang ingin terus kekal dalam bidang IT sejak menjawat jawatan sebagai pensyarah.


IDRUS sentiasa berbincang bersama tenaga kerjanya bagi meningkatkan kualiti sistem pendidikan di Cosmopoint dan KLMU.


Seronok mengajar

Impiannya sekali lagi menjadi kenyataan apabila seorang rakannya setuju melabur dan bekerjasama untuk membeli pusat latihan komputer (kini Cosmopoint) di Jalan Silang, Kuala Lumpur yang dijual pada harga RM20,000.

"Sebelah pagi saya bertugas sebagai penganalisis sistem. Manakala sebelah malam pula mengajar di pusat latihan yang dihadiri oleh 10 pelajar sahaja. Pada siang harinya, operasi pusat latihan diuruskan oleh tiga orang kakitangan.

"Keseronokan mengajar semakin bertambah apabila bilangan pelajar menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Tanpa disangka pada tahun berikutnya kami menerima ramai pelajar sehingga terpaksa mencari bangunan yang lebih besar.

"Pahit getir menguruskan perniagaan semakin terasa apabila rakan kongsi saya menarik diri," luah Idrus yang terus yakin dan berusaha memantapkan Cosmopoint.

Ternyata usaha dan kebijaksanaannya menguruskan perniagaan berjaya membuatkan CICT kini menjadi tumpuan anak-anak muda dalam bidang IT.

1 comment:

  1. pembayaran asrama 350ringgit itu untuk setahun atau sebulan...?..
    saya rasa keliru dengan pembayarn asrama yang dikatakan oleh pihak klmu ,,,
    yang mengatakan 350ringgit untuk 3thu pembelajra.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: